Wahai saudari-saudari muslimahku,
Cubalah kalian nilaikan berapa
banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh tetapi kalian
masih tidak melakukannya. Bukaklah Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan
zikir-zikir yang Nabi Muhammad s.a.w amalkan, nilailah, cerminlah diri kita
sudahkah kita amal semua zikir-zikir yang ada di dalamnya.
Jika masih
belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi. Lihat berapa
banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan
untuk kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh
maka kami kurang beribadah berbanding lelaki.
Wahai saudari-saudari
seaqidahku,
Dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat
masih berbeza pendapat tentang pengharamannya. Seandainya saudari berpegang
kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak ibadah yang saudari boleh lakukan
bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam.
Wahai
srikandiku,
Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan
masa menonton televisyen tatkala si suami sedang bersolat. Bukanlah ia menjadi
alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malammu dengan tidur dan
membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk
kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian.
Wahai srikandiku,
Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap
solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di dalam keadaan suci. Andai
kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa dan
zikir-zikir yang Rasulullah s.a.w amalkan. Jika kalian solat malam selama 1 jam
di bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa tidak kalian gunakan sejam itu
dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan istighfar, memohon keampunan
daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar pada malam itu. Biarkan ia
menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang Maha Pengampun.
Wahai
saudariku,
Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan
yang ada pada hari itu untuk membantu kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari
boleh sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan membiarkan mereka berehat.
Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah, dan mengurangkan
kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.
Wahai
saudariku,
Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram
wanita uzur memasuki masjid, masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan
dirumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat membenarkan saudari yang uzur ke
masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid walaupun tidak
bersolat.
Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang
bermain tatkala ibu bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka
kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari
boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si ibu yang sedang
bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.
Ya ukhti,
Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari.
Janganlah saudari sempitkan jalan yang luas itu. Mahukah saudari menempun jalan
mudha ke syurga? Bukankah jalan ke syurga dimudahkan untuk mereka yang menuntut
ilmu.
Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari lakukan untuk solat
dengan membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan dengan
bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan
akidah. Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan
Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari
fahami. Saudari juga boleh membaca buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang
contoh-contoh hal yang boleh merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah
membaca buku tentang bersuci.
Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah
berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari
memperbaiki mutu solat saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam
khas untuk gadis atau wanita seperti saudari. Bacalah buku-buku berkaitan hukum
hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh membaca buku karangan Shaikh
Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini.
Wahai saudariku,
Saya kira
jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh
wanita-wanita yang uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi
bermuka-muka tulisan ini. Dan saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan
kesemuanya.
Ya ukhti,
Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada
wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa cinta pada Tuhan,
yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon keampunanNya.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment