Ayatul Syifa' : Al-Quran Sebagai Rahmat dan Penyembuh
Sesungguhnya di dalam al-Quran banyak menyebut tentang
ayat-ayat kesembuhan (Ayatul Syifa’) yang membentangkan pelbagai
pengajaran penting berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan diri. Ayat-ayat
yang dimaksudkan ialah seperti berikut:
1. Surah at-Taubah: 14:
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka
dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan
menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang
beriman.
2. Surah Yunus: 57:
Wahai manusia, Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
3. Surah an-Nahl: 69:
Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). dari perut lebah itu ke luar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.
4. Surah al-Isra’: 82:
Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.
5. Surah asy-Syu’ara’: 80:
Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan Aku,
6. Surah Fussilat: 44:
Dan Jikalau Kami jadikan Al Quran itu suatu bacaan dalam
bahasa selain Arab, tentulah mereka mengatakan: "Mengapa tidak dijelaskan
ayat-ayatnya?" Apakah (patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (Rasul adalah
orang) Arab? Katakanlah: "Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi
orang-orang mukmin. dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada
sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka[*1]. mereka itu adalah
(seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh".
[*1] Yang dimaksudkan suatu kegelapan bagi mereka ialah
tidak memberi petunjuk bagi mereka.
Ketaatan Kepada Perintah Rasulullah dalam Penjagaan Kesihatan
Allah s.w.t. menyuruh setiap hambaNya agar mentaati Rasulullah saw, seperti yang tersebut dalam al-Quran (al-Hasyr:7).
Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota Maka adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang Kaya saja di antara kamu. apa yang diberikan Rasul kepadamu, Maka terimalah. dan apa yang dilarangnya bagimu, Maka tinggalkanlah. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat keras hukumannya.
Mengenai hal-hal yang berkaitan dengan rawatan, Rasulullah saw.
ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran.
Baginda bersabda:
Hendaklah kamu semua melakukan dua kesembuhan, iaitu dengan
menggunakan madu dan al-Quran- Riwayat Ibnu Majah.
Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam sunannya, Rasulullah saw. ada bersabda:
Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit, dan menjadikan bagi
setiap penyakit itu ubat, kerana itu hendaklah kamu semua berubat, dan jangan
berubat dengan benda yang haram.
Hadis ini diperkuatkan dengan hadis-hadis lain, di antaranya
hadis yang berbunyi:
Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua.
Al-Quran mengandungi pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, memelihara kesihatan jasad juga roh. Dalam surah al-Maa-idah: 6:
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak
mengerjakan shalat, Maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan
sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu
junub Maka mandilah, dan jika kamu sakit[*2] atau dalam perjalanan atau kembali
dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh[*3] perempuan, lalu kamu tidak
memperoleh air, Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah
mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu,
tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya
kamu bersyukur.
[*2] Maksudnya: sakit yang tidak boleh kena
air.
[*3] Artinya: menyentuh. menurut jumhur Ialah: menyentuh sedang sebagian mufassirin Ialah: menyetubuhi.
[*3] Artinya: menyentuh. menurut jumhur Ialah: menyentuh sedang sebagian mufassirin Ialah: menyetubuhi.
Dalam ayat ini Allah s.w.t. menyuruh orang yang beriman yang
hendak mendirikan sembahyang agar membasuh muka dan tangan hingga ke siku,
menyapu rambut dan kedua belah kaki hingga ke buku lali. Sesungguhnya wuduk yang
dilakukan itu berupaya memelihara jasad, menjaga kulit daripada objek najis yang
terdapat padanya. Membersihkan tanah, debu, kotoran-kotoran dan kuman yang
mengotorkan tangan. Begitu juga dengan amalan berkumur-kumur dan memasukkan air
ke dalam hidung, bersiwak untuk memelihara gigi dan alat penghadam makanan,
Allah s.w.t. juga menyuruh orang yang berjunub agar
membersihkan diri (al-Maa-idah: 6) untuk membersihkan seluruh jasad,
mengembalikan kecerdasan tubuh, memulihkan semula edaran darah juga mencergaskan
fungsi sendi otot dan urat saraf.
Di samping membersihkan anggota zahir, sembahyang merupakan
tuntutan menyucikan batin. Mengelakkan diri daripada melakukan dosa-dosa kecil
yang berpanjangan juga kemungkaran dosa-dosa besar. Akan lahir daripada ibadah
tersebut semulia-mulia akhlak dalam diri. Dengan sembahyang jiwa menjadi tenang.
Ketenangan merupakan asas kesejahteraan individu.
Allah s.w.t. mewajibkan setiap orang agar berpuasa untuk
melahirkan rasa takwa. Berpuasa secara tidak langsung memberi kerehatan pada
seluruh organ penghadaman, menyebabkan puasa sekarang ini merupakan satu kaedah
terbaru, yang diterima umum untuk mengubat penyakit dalam perut, radang
paru-paru, sakit sendi juga lain-lain penyakit serius.
Untuk memelihara kesihatan, Islam menegah seseorang memakan
makanan yang memberi mudarat seperti bangkai, babi dan sebagainya, juga melarang
zina kerana ia merosakkan diri dan masyarakat. Rasulullah saw. juga memberi
amaran agar jangan memasukkan makanan ke dalam makanan (menambah makanan sebelum
makanan di mulut hancur terkunyah), memberi amaran tentang bahaya taun dan kusta
dan menggesa orang yang sakit agar berubat. Baginda juga menegah seseorang
membuang air kecil di air yang berlari.
Mengambil makanan ketika perlu merupakan satu faktor utama
kesihatan yang berterusan. Selain daripada mendatangkan mudarat, amalan menelan
makanan sebelum hadam, melakukan pergerakan yang banyak selepas makan juga tidak
baik.
Baginda saw. juga menyuruh agar setiap makanan dan minuman
ditutup dengan menyebut nama Allah, agar tidak jatuh padanya binatang yang
beracun, yang boleh membunuh pemakan atau peminumnya.
Allah s.w.t. menegah seseorang makan atau minum berlebihan
(A1-A’raaf: 31),
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di Setiap
(memasuki) mesjid[*4], Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan[*5].
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
[*4] Maksudnya: tiap-tiap akan mengerjakan sembahyang atau
thawaf keliling ka'bah atau ibadat-ibadat yang lain.
[*5] Maksudnya: janganlah melampaui batas yang diperlukan oleh tubuh dan jangan pula melampaui batas-batas makanan yang dihalalkan.
[*5] Maksudnya: janganlah melampaui batas yang diperlukan oleh tubuh dan jangan pula melampaui batas-batas makanan yang dihalalkan.
Al-Ustaz Marzuq (1989: 28) menjelaskan bahawa sekiranya
seseorang itu ingin hidup terhindar daripada penyakit, mereka hendaklah makan
dalam keadaan sederhana, Punca penyakit ialah makanan yang berlebihan.
Sayidina Umar ada berkata:
Jauhilah makan berlebihan, sesungguhnya ia penyebab rosak
diri, mewarisi penyakit, menyebabkan malas sembahyang, dan hendaklah kamu
menjaga makan, kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada
berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk — Riwayat
Abu Naim.
Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda:
Orang mukmin makan dalam satu perut, walhal orang kafir
makan dalam tujuh perut — Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Hadis yang mulia ini mengandungi rahsia kesihatan yang besar.
Orang yang sedikit makan, sedikit minumnya. Orang yang sedikit minumnya, kurang
tidurnya. Daripada orang yang kurang tidur akan lahir keberkatan pada umurnya.
Sebaliknya orang yang penuh perutnya, banyak minumnya, menyebabkannya banyak
tidur. Orang yang banyak tidur kurang keberkatan umurnya.
Orang yang mengambil makanan berpatutan sejahtera alat
penghadaman tubuhnya. Menyebabkan tubuh dan hatinya dalam keadaan baik.
Sebaliknya orang yang banyak makan alat penghadamannya akan lemah, penat bekerja
dan berkemungkinan akan rosak, menyebabkan rosak seluruh jasad, keras hatinya,
pendengarannya lambat menerima hakikat, menyebabkan seluruh pancainderanya
sukar tunduk taat kepada perintah Allah, untuk patuh melakukan sesuatu yang
baik.
(Petikan dari Buku Doa & Rawatan Penyakit oleh Tuan
Guru Dato' Dr. Haron Din)
No comments:
Post a Comment