AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menghiburkan nabi-Nya sebagaimana yang
terdapat dalam ayat yang lalu memuatkan pendustaan kaumnya terhadapnya.
Sebahagian daripada rasul sebelummu telah didustakan oleh kaumnya
sebagaimana engkau sekarang didustakan.
Para rasul dahulu menghadapi
penderitaan daripada kaumnya sebagaimana yang engkau hadapi sekarang. Bahkan
(penderitaan mereka dahulu) lebih berat. Sebahagian daripada mereka ada yang
dibunuh seperti yang tejadi kepada Nabi Yahya a.s dan Nabi Zakaria
a.s.
Sebab nuzul ayat ke-185
Ibnu Abbas berkata: Tatkala turunnya ayat
daripada surah Sajadah ayat 11 yang bermaksud: Katakanlah yang mematikan kamu
ialah malaikat maut yang diwakilkan denganmu, lantas mereka bertanya: Hai
Rasulullah, sesungguhnya ayat ini diturunkan terhadap anak Adam, bagaimana
berkenaan dengan kematian jin, burung dan binatang? Lantas turunnya ayat
ini.
Iktibar dan fiqh ayat ke-185
l Ibnu Kathir berkata: Allah SWT
menceritakan secara umum yang meliputi semua makhluk-Nya bahawa setiap yang
bernyawa pasti akan merasa kematian. Yang tidak mati hanyalah Allah sahaja.
Antara yang mati ialah jin, manusia, malaikat dan lain-lain. Ayat ini dengan
jelas merupakan takziah kepada semua manusia. Tidak ada yang kekal di atas muka
bumi kecuali pasti menerima kematian.
l Ibnu Jauzi berkata: Ayat ini
memberi berita gembira kepada yang melakukan kebaikan dan memeberi ancaman yang
melakukan kejahatan.
Ayat ini juga memberitahu hakikat kehidupan penuh
dengan tipu daya dan diberi panjang angan-angan tentang kehidupan yang kekal,
sedangkan ia boleh berlaku kematian pada bila-bila masa.
l Al-Qurtubi
berkata: Apabila Allah menceritakan berkenaan orang bakhil dan kufur, lantas
Allah perintahkan kepada orang yang beriman supaya bersabar di atas ujian yang
dihadapi oleh mereka.
l Al-Maraghi berkata: Setiap yang berjiwa akan
mengalami saat perpisahan dengan jasad (badan). Ini menunjukkan jiwa tidak akan
mati sekalipun badannya mati.
Ini disebabkan yang mampu merasakan sesuatu
adalah sesuatu yang wujud (ada), sedangkan yang mati tidak akan mampu berasa
sesuatu.
l Hamka berkata: menurut ahli-ahli tafsir terutamanya
ditegaskan oleh Ibnu Jarir bahawasanya ayat ini yang menyatakan bahawa tiap-tiap
nyawa pasti merasakan mati, adalah lanjutan tasliyah ubat penawar hati Nabi
dalam kesibukan perjuangan yang kadang-kadang menghadapi tentangan, dan dia pun
menjadi ubat penawar bagi sekalian orang yang menegakkan iman.
l
Al-Sonhadji berkata: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan
bertemu ajal. Sebenarnya nyawa itu tidaklah sekali-kali mati dengan sebab
matinya tubuh badan atau jasad.
Hanya yang hidup sahaja yang menikmati
kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang
bernyawa.
Iktibar dan fiqh ayat ke-186
l Ibnu Kathir berkata: Orang
beriman pasti diuji sama ada tentang hartanya, jiwanya, anaknya, dan
keluarganya. Ujian tersebut berdasarkan kadar keimanannya. Jika imannya kuat
maka ujiannya bertambah, sebaliknya jika lemah maka ujiannya perlahan
l
Al-Qurtubi berkata: ayat ini ditujukan kepada nabi dan umatnya. Maknanya kamu
pasti akan diuji pada harta kamu dengan musibah dan lain-lain taklif syarak.
Begitu juga jiwa dan kematian, sakit dan kehilangan orang yang dikasihi.
l Al-Maraghi berkata: Ujian terhadap harta adakalanya dalam bentuk
galakan, kebajikan yang dapat mengangkat martabat umat Islam dan menghancurkan
musuh, menolak bala, membasmi wabak penyakit dan lain-lain.
Ujian terhadap
diri (jiwa) dalam bentuk pengerahan tenaga adalah untuk berjihad pada jalan
Allah SWT, kematian ahli keluarga, teman yang dicintai dan berjuang membela
kebenaran.
l Hamka berkata: Dalam kehidupan, dugaan pasti datang. Segala
kesulitan pasti akan dapat diatasi. Orang bersenjata kita pun bersenjata. Orang
menyerang kita menangkis dan sesekali kita pun menyerang. Tetapi pertahanan
batin tidak lain ialah sabar dan takwa.
l Al-Sonhadji berkata: Satu
peringatan untuk memberi kesedaran kepada orang mukmin supaya tidak terkejut
sampai hilang kewarasan dan terperanjat bilamana ujian Allah SWT datang menimpa
ke atas harta mereka atau diri mereka.
Semoga kita sentiasa reda dengan ujian
Allah dan bersyukur di atas segala nikmatnya. Mudah-mudahan nikmat tersebut akan
bertambah dan berkekalan. Amin.
No comments:
Post a Comment