MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa
dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Setiap yang
bernyawa tetap akan mati, begitulah juga manusia yang asal usulnya dijadikan
daripada tanah, maka kepada tanahlah juga ianya akan dikembalikan. Firman Allah
Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 55 tafsirnya :
“Dari bumilah Kami
ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan menggembalikan kamu dan daripadanya
pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.
Oleh itu ingatlah bahawa
kematian itu tetap menemui kita, tiada siapa boleh lari daripadanya. Bukankah
Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dalam Surah ‘Ali Imran ayat 180
tafsirnya :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati”.
Kerana itu kita
jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia ini sehingga lalai dan lupa akan
akhirat, sedangkan akhirat itulah tempat kekal abadi. Di sinilah perlunya kepada
peringatan, tetapi apakah manusia sedar akan peringatan-peringatan Allah
Subhanahu Wataala itu atau senghaja tidak mahu sedar. Di antara peringatan Allah
Subhanahu Wataala itu ialah seperti umur tua, beruban, kurang penglihatan,
kurang pendengaran dan bermacam-macam lagi.
Tetapi berapa banyakkah
manusia yang mengambil peringatan daripadanya? Kerana ada juga yang masih lalai
dan alpa dengan kehidupan dunia ini, sedangkan sepatutnya kita melazimkan diri
melakukan amal ibadat dan perkara berkebajikan.
Di antara langkah-langkah
untuk menjaga diri kita dari terus lalai dengan dunia, kita digalakkan untuk
sentiasa mengingati mati kerana dengan jalan demikian, hati akan sentiasa merasa
takut akan azab seksa, baik ketika ajal tiba, ketika di dalam kubur mahupun di
Hari Kiamat kelak. Jika perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala ada
pada diri seseorang sudah tentu akan menggerakkan hati kita untuk mentaati
perintah Allah Subhanahu Wataala dengan sentiasa beramal ibadat. Kerana itu
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menggalakkan umatnya untuk ingat pada
kematian sebagaimana sabda Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
maksudnya :
“Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu katanya : Telah bersabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati
pemutus kematian (mati).”Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah.
Kematian
adalah suatu yang menakutkan bagi orang yang masih tidak mahu hilang kemewahan,
apatah lagi yang tidak punya persiapan dengan amal ibadat yang hidup melawan
arus kebenaran, tetapi tidak bagi orang yang beriman dan beramal salih, di mana
mereka bersedia jika dijemput Allah Subhanahu Wataala pada bila-bila masa dengan
harapan memperolehi husnul khatimah iaitu mati dalam kesudahan yang baik atau
mati dalam iman. Keadaan inilah yang diimpikan oleh setiap orang
mukmin.
Sebenarnya tanda-tanda orang yang mati dalam husnul khatimah itu
boleh dilihat semasa hayat atau hidup seseorang itu, iaitu mereka taat dan patuh
kepada perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi larangan-Nya, mengamalkan
perkara berkebajikan dan menjauhi kemaksiatan. Perkara ini dijelaskan oleh hadis
yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tarmizi daripada Anas Radhiallahuanhu,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bahawa jika Allah menghendaki
seseorang itu dengan kebaikan, Dia akan memakainya dengan kebaikan atau
memperlakukan baginya kebaikan. Ditanya oleh sahabat : Bagaimana Allah
memakaikannya atau memperlakukannya dengan kebaikan itu? Menjawab Baginda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam “Allah akan menuntunnya untuk melakukan
amal salih sebelum sampai ajalnya”.
Untuk jelasnya amalan yang dikerjakan
itu bukanlah dikerjakan secara berkala atau dengan kata lain bila rajin buat dan
bila malas tidak, tetapi hendaklah dikerjakan secara istiqamah atau berterusan
dan tidak bercampur dengan perbuatan maksiat atau dosa.
Lawan husnul
khatimah itu ialah suul khatimah iaitu mati dalam kesudahan yang tidak baik.
Inilah mati yang minta dijauhkan oleh orang-orang yang beriman kerana kematian
dalam keadaan sebegini setentunya akan mendapat balasan azab dan seksa Allah
Subhanahu Wataala. Apakah faktor penyebab seseorang itu tergolong dalam golongan
yang mendapat suul khatimah? Ulama ada menyebutkan seperti berikut :
Pertama
: Mengabaikan ibadat sembahyang.
Kedua : Minum arak.
Ketiga : Derhaka
kepada ibu bapa.
Keempat : Menyakiti orang Islam.
Semua orang tahu
bahawa seseorang yang mati itu akan ditanamkan dalam kubur, tempat singgah
sementara sebelum tibanya Hari Akhirat. Itulah tempat yang akan menjadi Taman
Syurga bagi orang-orang yang beriman, tetapi menjadi lubang Neraka bagi
orang-orang yang jahat yang ingkar perintah Allah Subhanahu Wataala dan yang
menyekutukan Allah Subhanahu Wataala. Kubur telah ditakdirkan oleh Allah
Subhanahu Wataala berkata-kata, sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dari Abi Said bahawa kubur berkata : Akulah
rumah dagang, akulah rumah menyendiri, akulah rumah tanah dan akulah rumah
cacing.
Apabila seorang mukmin dikuburkan, kubur pun berkata kepadanya :
Selamat datang! Engkaulah orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di
atasku menuju ke arahku, hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali
kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang aku lakukan terhadapmu.
Maka pada
ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang dan dibukakan pintu
baginya menuju Syurga.
Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang
derhaka atau kufur, kubur berkata kepadanya : Tidak ada selamat datang untukmu!
Sesungguhnya engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan
di atasku menuju ke arahku, hari ini akulah yang menjadi penguasamu dan engkau
telah pun kembali kepadaku. Maka engkau akan lihat pula apa yang akan aku
perbuat kepadamu.
Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur menyempit
sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.
Mengingati kematian itu
banyak hikmat dan kebaikannya bagi mereka yang sedar dan ingin mengambil iktibar
daripadanya. Tanya diri kita apakah kita sudah membuat persiapan menghadapinya.
Sebenarnya tiada jalan lain jika kita mahu bahagia dan selamat di dunia dan di
akhirat melainkan dengan mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi
larangan-Nya, bukan dengan pengakuan lisan sahaja tetapi disertai dengan hati
dan mengamalkannya. Ingatlah hari yang tiada gunanya harta dan
anak-anak.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy Syu’araa’ ayat
88-89 tafsirnya :
“Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat
memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali orang-orang yang datang
menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera dari syirik dan penyakit
munafik”.
No comments:
Post a Comment