Rasulullah berpesan elak menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana menyamai
syirik
RIAK ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW
menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika
menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.
Kerisauan itu
dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling
ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul
ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Riak ialah
memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta
perhatian orang lain seperti solat dan puasa.
Baginda SAW bersabda yang
bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada
Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu
apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana
melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Al-Hafidz
Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari berkata: "Riak ialah
menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku
amalan itu."
Ada insan yang ketika beribadah secara bersendirian kualiti
amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Contoh seseorang yang
solat bersendirian maka solatnya tidak sepanjang atau bacaan dalam solat tidak
dilagukan atau dinyaringkan.
Apabila di depan orang ramai, solat menjadi
panjang dan suaranya dikuatkan supaya orang lain mendengar bacaan yang berlagu.
Tasbihnya pula dibiarkan di tangan sambil mulut terkumat-kamit agar dilihat
orang.
Begitu juga boleh dianggap riak jika seseorang memakai pakaian
seperti ulama iaitu berjubah dan serban besar bertujuan menampakkan dirinya
sebagai alim dan kuat beribadah. Ada juga individu sengaja menghitamkan dahi
dengan menggosoknya menggunakan objek keras supaya kelihatan seperti yang kuat
mengerjakan solat dan lama bersujud..
Kerisauan Baginda SAW terhadap
sifat riak disebabkan penyakit hati ini mudah menyerang setiap insan kerana jiwa
manusia memiliki kecenderungan suka menerima puji dan kedudukan tinggi di
hadapan orang lain. Al-Muhasibi menjelaskan penyebab riak: "Senang dipuji dan
takut dicela, tunduk kepada dunia dan tamak kepada perkara dimiliki orang lain."
Riak juga berbahaya kerana meresap dalam amalan umat Islam dalam keadaan
samar. Mereka yang dihinggapi penyakit riak tidak menyedari ibadah sudah
tercemar kerana hilang keikhlasan.
Riak dianggap Rasulullah SAW sebagai
amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini
ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya
menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan
menarik perhatian insan itu.
Justeru, riak bukan sekadar boleh
menyebabkan seorang terjebak dalam dosa, ia sebenarnya boleh menyebabkan amalan
tidak diterima Allah. Imam Ibnu Taymiyyah berkata: "Sesungguhnya bagi seseorang
yang bersikap riak dalam ibadah, bukan saja ibadahnya batal, malah dia turut
mendapatkan dosa daripada perbuatannya itu yang dianggap syirik kecil."
Apabila suatu amalan dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, ia akan
diterima oleh-Nya. Sebaliknya, apabila amalan diniatkan untuk mendapat
perhatian, pujian atau meraih keuntungan duniawi, maka ia tidak diterima Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan itu
tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan
apa yang dia niatkan." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Allah berfirman
bermaksud: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan
memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus,
dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian
itulah agama yang lurus." (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)
Imam Ibnu
al-Qayyim ketika menafsirkan ayat itu menyatakan: "Seperti Allah adalah satu dan
tiada Tuhan selain-Nya begitu pula hendaklah amal ibadah itu layak
dipersembahkan hanya untuk-Nya dan tiada sekutu. Demikian juga halnya jika hanya
Dia sebagai sembahan, maka wajiblah mengesakannya dalam perhambaan kerana amal
yang salih adalah amal yang bersih daripada riak dan terikat dengan sunah."
Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat
ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat
(mengikuti sunnah Nabi).
Allah berfirman bermaksud: "Barang siapa
berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan jangan
mempersekutukan dalam menyembah Tuhannya dengan suatu apa pun." (Surah al-Kahfi,
ayat 110)
Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW
mengajar umatnya memohon perlindungan dengan membaca doa: "Ya, Allah!
Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami
ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak
mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)
Dosa syirik yang tidak diketahui
merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah
itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat
perhatian dan pujian manusia.
Perasaan riak dapat disingkirkan dalam
jiwa setiap insan jika dia benar-benar memahami keagungan sifat Allah yang Maha
Mendengar dan Maha Melihat serta Maha Mengetahui apa yang nampak ataupun
tersembunyi.
Firman Allah bermaksud: "Katakanlah, jika kamu
menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah
mengetahuinya" (Surah Ali-Imran, ayat 29)
Apabila seseorang mengetahui
tiada apa yang terdetik di hatinya tersembunyi daripada Allah, dia akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan ibadahnya hanya kepada Allah.
Pada akhirat nanti, bagi mereka yang riak akan menerima pembalasan
dengan dibongkarkan niatnya yang buruk itu di depan seluruh makhluk seperti
sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari
manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelekannya. Siapa
berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu (di depan makhluk)."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Al-Khathabi berkata: "Makna hadis ini,
orang yang melakukan amalan tanpa niat ikhlas, namun hanya mahu dilihat dan
didengar manusia, maka pada hari kiamat dia akan dibalas atas hal itu iaitu
dengan cara memperkenalkannya, membongkarkan kejelekannya dan menampakkan apa
yang dia sembunyikan (di sebalik amalannya)."
Oleh itu, mari kita
berlumba untuk mengerjakan amal salih secara tulus ikhlas kerana Allah dan jika
perasaan riak timbul perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus
bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.
Jika seseorang pada asalnya berniat mengerjakan ibadah ikhlas kepada
Allah, namun kemudian perasaan riak itu datang secara tiba-tiba dan dia berusaha
menghilangkannya, keadaan itu tidak menyebabkan amalannya ditolak Allah.
No comments:
Post a Comment