Pagar Pertama (1)
Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan
tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah.
Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah
apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang
berbunyi:
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan
mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari
itu".
(Riwayat al Bukhari.)
Pagar Kedua (2)
Berwuduk sebelum
tidur.
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang
mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh
para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka. Sabda
Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan
menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci
terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat.
Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan
doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan
bersuci.'
(Riwayat at Tabraaniy )
Pagar Ketiga (3)
Mengambil berat
tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan
menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap
sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang
untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan
berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. Mengikut riwayat Abu
Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:Ertinya:
'Mana-mana kampung
mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun
penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu
hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan
kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.'
(Riwayat Abu Daud ).
Pagar Keempat (4)
Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri
dari sihir.
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah
mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh
memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu.Apabila syaitan
telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi
yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut. Ibnu
Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal
seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam,
maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya:
"Sesungguhnya syaitan telah
kencing di dalam telinganya"
(Riwayat al Bukhari dan Muslim).
Pagar
Kelima (5)
Membaca doa perlindungan apabila masuk ke dalam tandas.
Tandas
adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba
sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim
setiap kali orang itu masuk ketandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir
telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa
perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan. Apabila
Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan
dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku
berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan". (Riwayat al
Bukhari dan Muslim.)
Pagar Keenam (6)
Memagar isteri selepas selesai
akad nikah.
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan
adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di
atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon
kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku
berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke
atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari
segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir
apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka
melakukan tipu daya."
(Riwayat Abu Daud ).
Pagar Ketujuh
(7)
Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat alKursi dan berzikir kepada Allah
sehingga terlelap.
Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa
syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat
al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala
syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.
Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil
berkata:
"Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri
sememangnya penipu."
(Riwayat al Bukhari).
Selamat Beramal !
No comments:
Post a Comment