SOALAN:
KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak
kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah
ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?
Jawapan:
Mentaati ibu
bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga
bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.
Adapun janji syurga di bawah
telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu
ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran
dan hadis baginda.
Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi
memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara
mereka. (al-Nisa': 34)
Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat
yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah
swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara
dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul Rahman
bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan
ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:
Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara
diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada
suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan
menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah
menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak
akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW
dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan
Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik
daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat
(sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari
kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran,
18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada bersabda yang
bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan
(Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di
akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana
saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660,
661)
Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat
isteri yang solehah adalah sebagai berikut:
1. Mentauhidkan Allah dengan
mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya
dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang
rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada
Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya.
Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa
dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan
dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami
sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia
menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak
melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.
Demikian juga menjaga
anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh
diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada
suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan
kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang
penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika
suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan
suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat
al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)
2. Melayani suaminya (berkhidmat
kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan
seumpamanya.
3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan
dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma' bintu Yazid r.ha
menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan
wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang
menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan
barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?"
Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi
Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar
melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud:
"Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan
yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara
manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)
4. Selalu berpenampilan yang
bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan
menyenangkannya.
5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak
menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi
suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali
bila suaminya mengizinkan.
6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan
suami, tidak melupakan kebaikannya.
7. Bersegera memenuhi ajakan suami
memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak
menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita
Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya,
tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri
menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si
suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)
No comments:
Post a Comment