Wednesday 14 September 2011

Detik Pertunanganku.....

Hari-hari
berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui
ialah ianya baru beberapa minggu lalu.


Iya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk
berlapang dada.


Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di
tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah
yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus
memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya
seorang hamba-Nya yang lemah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya
apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan
mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah
ini.


Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu.
Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan
sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang
lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan
seperti Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi
Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sehebat Saiful Islam yang tidak
pernah gentar melangkah memartabatkan perjuangan
Islam.


Aku hanya seorang yang sedang mengembara di
bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi
aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara
ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai
sahabat yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah berkhitbah
apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya
tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka
pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu
memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam
penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku
jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari menikah
nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab
tenang.. "Warna putih,
bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh
terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang
jubah. Jangan berlebihan."


Ibu angguk
perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu
per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku
sebagai hamba Allah.


”Malam Pertama...” Sukar sekali aku ungkapkan
perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku
ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar
menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh
ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari
pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum
tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya
nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah
yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah
al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk
gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini
rasanya orang-orang yang mendahului.


"abang", siapa
tunang abang? Mesti hebat orangnya. cantik tak?"


Aku tersenyum,
mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan
tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah
bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.


"Insya Allah,
'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan abang dengan Allah. Itu yang paling
utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan
diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku
tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya,
jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa
yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku
sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku
dengan Allah. Sahabah juga merasa kehilangan ku apabila
setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain
kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan
menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari
itu.


"Bila pakcik menikah?" Aku tiada
jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti pakcik akan
tahu..."


Aku masih menyimpan tarikh keramat
itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila
tarikhnya.


"Jemput ana tau!"


Wajah sahabatku
itu mengukir senyum megah.


"Kalau anti tak datang pun ana tak
berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! "Itu saja pesanku.


Aku juga
tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda
tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil
hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila
sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah
rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya.
Cuma,
hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah
dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya
upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada
ibu...


"Usah berlebihan ya..." Ibu angguk
perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan
mata.


"yus, jom makan!"


Aku
tersenyum lagi...


Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan
senyuman.


"Tafaddal, ana
puasa."


Sahabat juga semakin galak
mengusik.


"Wah, yus diet ya. Maklumlah hari bahagia dah
dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet,
mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan
lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya
yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga
menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut
dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu
sahaja.




............ ......... ......... .........
........... .......... ...........
...........




"innalillahi wainna ilaihi
rajiun..."


"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar.
"


"Ya Allah, tenangnya...
"


"Moga Allah
memberkatinya...."




Allah, itu suara sahabat-sahabat ku,
teman-teman seperjuangan aku pada ayah dan ibu.


Akhirnya, aku
selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabat ramai yang datang di
majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.


Akhirnya, mereka
ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada
Allah.


Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku
rahsiakan dari pengetahuan umum.


Akhirnya, mereka
sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam
sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari
pernikahan ku...


Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di
hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada
Ilahi.


Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya
mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.




"Ya Allah, telah
Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau.
Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia
sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam
majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau
sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui..."




Akhirnya, sahabatku bertanya kepada ayah
beberapa minggu kemudian...


"Yusuf bertunang
dengan siapa, pak cik?"


Ayah tenang
menjawab...


"Dengan kematian wahai
anakku…."


"Allahuakbar. .."


Terduduk susuk
tubuh itu mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku
yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ayah angguk,
tersenyum lembut...


"Ini nak, bukunya."


Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam
Pertama di Alam Kubur'.


"Ya Allah, patut la yus selalu menangis... Saya
tak tahu pak cik."


"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut,
selalu yus mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk
dimandikan..."


Sahabatku masih kaku. Tiada suara yang
terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari yus yang diberikan oleh
ayah.




"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku
di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah
bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan
diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ayah akan tenang menghadapinya, kerana baginya
anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH
meminta.”





* Kisah ini bukan kisah ana , ianya kisah KITA
(semua yang sedang membaca/tak) *


Mulai hari ini,



jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang!
Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu
bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah
dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya
walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan
KEMATIAN.


Wallahua'lam.


Cukuplah
kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan
segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh
itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah
disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak
berharga.

1 comment:

  1. Sedih baca artikel tuk...teruskan berkarya akhi, teruskan dalam penyebaran dakwah.. Usahamu akan diberkati...

    ReplyDelete