“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada
rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin”
Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan
rumahtangga..
“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri
buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10” Ayat-ayat
yang biasa didengar.
Tergaman dibuatnya.
Masyarakat kita
sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat
dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya,
tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang
membimbangkan.
Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak
perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan
keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah
‘birokrasi’ daripada ibu bapa.
Hikmahnya ditinggalkan.
Apabila
acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi
tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon
mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka
dan diri sendiri.
Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah
nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa
mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga
hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom
‘segan’ kepada orang sekeliling.
Bagai terlupa perkahwinan bukan satu
hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada
jasad, semua ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun
kewangan kukuh.
JANGAN ADATKAN IBADAT
Allah Taala berfirman yang
bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang
yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka
miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan
Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)
Bagi
wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda
Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.
Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang
kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan
merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.
Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari
sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah
dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak
wanita yang menunggu perlu ditangani.
Dapatkan Mesej
Bergambar di Sini
Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah
berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami
isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak
mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa
terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri,
dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang
perempuan dari ibu dan bapanya.
Mahar bukan harga jualan.
Jangan
adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada
ternampak warga ‘terlajak’ umur antara lingkungan 40-45 tahun yang menolak
stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya kerana menunggu lama simpanan penuh
sebelum dapat kahwin.
TERBITNYA MASALAH LAIN
Sebenarnya masalah
couple atau maksiat hati, mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah
ini terbit dari masalah yang lain.
Apabila budaya kita yang
mempersulitkan bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin
yang mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki
sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple
dahulu.
Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan juga merupakan
suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa perlu bercouple.
Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks sebelum perkahwinan adalah
satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah, sesuatu yang janggal
sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh belas tahun. Mereka
lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum berkahwin supaya
tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin nanti.
Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun sekarang tidak jauh
bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki dan perempuan. Tidak
mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.
Tugas berat ini
terletak di bahu kita sekarang sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian
kita, tempat kerja untuk mengubah suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah
kemuliaan mukmin yang mendamba sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan
perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan hantaran mahal tidak akan menjadi musibah
merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam
masyarakat seperti di atas.
Moralnya, jangan adatkan sesuatu ibadah.
No comments:
Post a Comment