Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan
kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata
menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan
disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu
terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya
Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja
dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan
iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan
diganggu.
Tetapi pada satu hari,
sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun,
tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut
"Allah". Puteri
tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya
kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada
mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak
berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan
Tuhan sekalian Alam.
Puteri itu dengan
serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat
bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan
kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman
untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun
sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi
tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa
usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada
Masyitah.
Inilah masanya untuk
menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan
jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak
dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa
pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk
mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya
mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat
orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan
Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan
ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah
dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah
Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.
Dengan keputusan itu,
Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga
Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih ketawa
terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah
dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan
mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas
menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke
dalam kawah tersebut.
Syaitan membisikkan ke
telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu
disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun
tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu
berkata-kata kepada ibunya, Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul
ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".
Bila mendengarkan
kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa
kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah
yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman
mereka kepada Allah.
Tetapi Allah tidak
membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun,
Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat
pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan
tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut.
Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam
keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.
Sewaktu Rasulullah
s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat
wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang
mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah
seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah
berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun
di sisi Allah mereka sangat mulia.
Wahai wanita yang
mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan,
kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah
sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan
keredhaan Allah. Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah
dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik
anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat.
Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan
nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah.
Tidakkah kita ingin
mengikut jejaknya ?
*Mari berCinta dengan Allah!
^_^
No comments:
Post a Comment