Tuesday 27 September 2011

Diantara Dua Tangisan





Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dhiasi tangisan.Nyaring berkumandang menghiasi telinga si ibu.Mereka tersenyum hatinya gembira penawar sakit dan lesu serta berjuang dengan maut. Lalu mulailah sebuah kehidupan yang baru di dunia dengan sebuah risiko pahit dan kejamnya kehidupan ini dengan bercucurlah darah dan titisan air mata.


Dua titisan Yang Dicintai Allah,
Airmata adakalanya penyubur hati,penawar duka.Adakalanya buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini.Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor dilimpah.Namun setitis air mata kerana takut kepada Allah persis permata indahnya gemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru.Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi Allah dan RasulNya,bukan semata kerana harta dan kedudukan.


Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang.Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang."Alangkah sempitnya kuburku," keluh seorang batil.Sebalikny,"Alangkah sedikitnya hartaku", kesal si hartawan (pemuja dunia).


Dari  mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan.Dari mata yang redup merenung hari akhirat yang dirasakan dekat,mengalirkan air mata keinsafan mengharap kemenangan,serta rindu akan Rasul-Nya.

Tangis adalah basahan hidup,justeru hidup dimulakan dengan tangis,dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis,Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sabda Rasulullah SAW :Ada dua titisan yang Allah cintai,pertama titisan darah para syuhada dan titisan airmata yang jatuh kerana takutkan Allah.


Nabi Muhammad bersabda lagi:Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para Wali.


Oleh kerana itu berhati-hatilah dalam tangisan kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya.Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.


Nabi SAW bersabda: Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih,lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbul rasa takbur.


Banyak Menangis dan Sedikit Ketawa.


Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan.Ketawa seorang ulama dunia hilang ilmu, hilang wibawanya.Ketawa seorang jahil,semakin keras hati dan perasaanya.
Nabi Muhammad bersabda:Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.


Seorang Hukama pernah bersyair: Aku hairan dan terperanjat,melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.


Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut-takut tidak diterima ibadatnya,kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.


Nabi SAW pernah bersabda: Sesiapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.


Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai.Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai.Nikmat disambut ria,kedukaan menjemput duka.


Namun Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:


Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu pada hal ianya amat buruk bagimu.Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.


                                                                                                                              (Al-Baqarah:216)


Bukankah Nabi pernah bersabda: Neraka dipagari nikmat,Syurga dipagari bala.


Menangislah wahai diri,agar senyumanmu banyak di kemudian hari.Kerana engkau belum tahu,nasibmu dihisab kanan atau hisap kiri.Disana lembaran sejarahmu dibuka satu persatu,menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan.Kenangilah,sungai-sungai yang mengalir itu banjiran airmata Nabi Adam yang menangis bertaubat,maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang ,aku takut akulah orang itu.


Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya:Kenapa engkau menangis?


Aku tidak mempunyai anak lagi untuk saya kirimkan ke medan Perang, jawabnya.


Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan.Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup,lalu berkata:Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.


Ibnu Mas'ud r.a berkata: Seorang yang mengerti Al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur,dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya diwaktu orang lain tertawa.Diamnya diwaktu orang lain berbangga.Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,kejam,lalai,bersuara keras dan marah..


Tanyai lah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur:Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami,kubur itu dihadapan kami,kiamat itu janjian kami,Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah..


Seorang hukama berkata:Ketawa menyusahkan hari-harimu di akhirat,sedangkan hiburanmu kelak diakhirat ialah tangisanmu didunia.


Menangislah disini,Sebelum menangis disana!!!!!


rujukan

1.Tafsir pimpinan Ar-Rahman Kepada Pergertian Al-Quran.Terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri
2.Al-Qurtubiy,al-jami'li Ahkam al-Quran,5/279.
3.Al-Nawawiy,Syarh al-Nawawiy'ala Sahih Muslim,jilid 13,m.s9,cetakan Dar al-Ihya al-Taurath al-'Arabiy,Beirut.
4.Al-Majmu'kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuha wa Ma La Yukrah:4/377-378.

No comments:

Post a Comment