Wednesday 14 December 2011

UKHTI BERSIAPLAH BERUMAHTANGGA

ukhtiku,


Rumahku syurgaku”, “Baiti Jannati” atau “Home Sweet Home” adalah suatu ungkapan yang menggambarkan betapa indah dan bahagianya kehidupan di alam rumah tangga. Rumahtangga adalah syurga dunia. Inilah yang menjadi impian setiap insan yang ingin berumahtangga. Ia merupakan suatu nikmat dunia yang merupakan tanda kebesaran Allah kepada manusia, sehingga seolah-olah menjadi syurga bagi yang menikmatinya Perasaan bahagia, tenang dan saling berkasih sayang yang menyelubungi suasana rumah tangga (sakinah, mawaddah wa rahmah) adalah suatu rahmat kurniaan Allah yang sukar dilukiskan sepenuhnya oleh coretan pena atau ungkapan kata-kata. Sebagai mana firman Allah SWT dalam surah ArRum ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya), ialah bahawa Dia menciptakan jodoh untukmu dari dirimu, supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya tentang demikian itu, menjadi tanda bagi kaum yang memikirkan”.

Rumahtangga adalah umpama sebuah negara yang kecil. Sebuah negara yang berdaulat sudah tentu mampu dan berkeinginan memenuhi keperluan dan melindungi warganya. Begitu juga dalam mendirikan rumahtangga, pemimpin rumahtangga mesti membentuk suatu penyusunan pemerintahan yang berkemampuan dan berkemahuan untuk menjadikan rumahtangganya mendapatkan keperluan, perlindungan dan kesejahteraan anggota-anggotanya. Sebagaimana namanya, rumah tangga juga membawa ibarat seperti bangunan. Tegaknya sebuah rumahtangga perlu dibangunkan di atas dasar yang kukuh, tiang-tiang yang tegak, dinding yang kuat serta atap yang teduh dan rapat. Barulah ia menjadi sebuah bangunan yang sesuai dihuni dan nyaman. Namun, bangunan yang cukup kelengkapannya sahaja tidak memadai. Rumahtangga perlu juga disertai nilai spiritual.

Binaan rumahtangga yang tidak mempunyai ruh, akan mudah runtuh. Ia juga bagaikan bangkai bernyawa, hidup seperti tidak bermakna lagi! Maka wajib bagi pemerintah rumahtangga itu menyediakan segala keperluan dari sudut fizikal mahu pun spiritual rakyat dalam negara mininya itu.Menjalani kehidupan berumah tangga juga sering diibaratkan bagai bahtera yang melayari lautan. Ia bukanlah kehidupan yang sentiasa tenang, ada sahaja gelora ujian dan ada kalanya badai fitnah yang akan melanda. Silap perhitungan, mungkin juga mengakibatkan karam pula. Maka rumah tangga akan bertukar menjadi neraka dunia. Ada pula yang menggambarkan perkahwinan itu sebagai suatu perjudian hidup, kemungkinan untuk menang dan tewasnya sama besar, oleh itu pernikahan itu mungkin juga digambarkan sebagai suatu angan-angan indah di tepi jurang yang mengerikan. Maka, tidak hairan jika ada yang amat takut untuk menempuhnya. Dari sudut yang lain, ia adalah suatu fitrah. Siapa yang tidak ingin untuk membina mahligai bahagia? Namun kita perlu sedar bahawa untuk mencapai impian indah itu tidaklah semudah kita memetik jari meskipun begitu ia juga tidaklah sampai sesukar memindahkan sebuah bukit.

Dilema inilah yang membuatkan sesetengah teruna atau gadis berasa bimbang untuk hidup di alam ini, seterusnya menjadikan mereka teragak-agak. Seterusnya, mengakibatkan perasaan ‘serba tidak kena’ dalam melalui proses ke jinjang perkahwinan. Bagi teruna atau gadis yang belum membuat keputusan untuk menikah dinasihatkan, lalui dulu proses pemantapan hati. Ini dapat dilakukan dengan membanyakkan munajat kepada Allah SWT semasa solat tahajud, solat istikharah dan solat hajat. Apabila ibadah ini dilakukan berterusan secara istiqamah, insya Allah pendiriannya akan bulat. Seterusnya langkahnya menuju gerbang pernikahan akan menjadi langkah suci yang tulus ikhlas tapi penuh keyakinan dan tawakkal kepada Allah, malah akan dipemudahkan Allah.Sebagai sebuah sunnatullah, selayaknya pernikahan itu menjadi hak setiap orang. Kita juga mesti ingat bahawa setiap hak mengandungi nilai amanah. Ini penting, sebab manakala hak itu dibebaskan dari tanggungjawab amanah, maka kezaliman dan kesewenang-wenangan akan berlaku. Setiap hak dan amanah tadi menuntut seseorang itu agar mampu dan memenuhi syarat sebagai mukallaf.

Taklif (tanggung jawab) yang mesti dipikul oleh muslim dan muslimah yang mengikat diri mereka dalam ikatan pernikahan memang berat, tetapi indah. Tidak hairanlah mengapa para ulama berpendapat medan pernikahan dan rumahtangga itu umpama jihad yang agung, kerana menuntut pengorbanan yang penuh, namun sarat dengan pahala dari Allah SWT.Perkahwinan adalah ikatan yang suci, terhormat, dan tidak boleh dicampur-adukkan dengan bentuk-bentuk yang mencemarinya. Ini bermakna ia mesti dijauhkan dari unsur jahiliyah yang merosakkan sama ada semasa proses untuk membinanya mahu pun setelah pembinaannya. Sentiasa ada sahaja gangguan dan cobaan untuk meruntuhkannya. Sebagaimana besarnya amanah menegakkan rumah tangga begitu jugalah beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memelihara keutuhan mahligai itu. Perkara ini perlu ditegaskan sejak dari awal pembinaannya agar benar-benar disedari. Oleh yang demikian, persediaan peribadi mesti dipersiapkan sebelum memasuki jinjang pernikahan. Antara persiapan penting adalah membentuk peribadi yang matang, iaitu mampu untuk berdikari.

Berikut adalah beberapa persiapan kematangan yang perlu diperhatikan oleh bakal suami/isteri:

I. Kematangan Emosi.

Kematangan emosi bermaksud sejauh mana seseorang itu telah mampu berlepas diri dari bergantung kepada mereka yang selama ini dominan terhadap dirinya. Sering kita berjumpa pasangan yang baru berumahtangga di mana suami dan isteri belum dapat saling mengikat diri mereka dengan kuat. Misalnya, si isteri yang masih merasakan ikatan emosional yang lebih erat dengan orang tuanya, akan selalu membawa persoalan rumahtangganya kepada ibu bapanya sebelum diusahakan penyelesaian bersama suaminya. Bagi suami yang belum matang emosinya pula, biasanya tidak dapat bertanggungjawab sepenuhnya. Ia sering meminta pendapat ibu bapanya untuk menangani masalah berkaitan isterinya atau dalam membuat sesuatu keputusan. Inilah rumahtangga yang masih memerlukan “pengembalaan”. Ketidak matangan emosi suami/ isteri mungkin akan mengakibatkan suasana tegang malah perbalahan terhadap rumahtangga yang baru dibina itu.

II. Kematangan Sosial.

Kematangan sosial dapat digambarkan sebagai kemampuan seseorang untuk berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain secara sihat dan memuaskan. Ia akan mampu memahami keadaan orang lain, baik kelebihannya mahupun kekurangannya. Sebaliknya ia juga dapat menerima kekurangan dan kelebihan dirinya. Dengan kefahaman seperti ini ia tidak akan menyulitkan dirinya sendiri dan juga tidak menyulitkan orang lain. Mutu komunikasi antara suami isteri yang lemah menandakan ketidak matangan sosial mereka. Seseorang itu juga mestilah melatih dirinya dengan sifat sabar, supaya dapat menerima kelemahan dan kekurangan tingkah laku yang tidak disukai pada pasangannya. Ini adalah kerana ia juga mempunyai kelemahan yang harus dihadapi oleh pasangannya. Kesediaan menerima dan menyesuaikan diri ini, menjadikan pasangan suami isteri lebih matang dan dewasa dari aspek sosial.Seperkara lagi dalam aspek kematangan sosial yang mesti diperhatikan adalah kemampuan bersosial dengan keluarga dan saudara mara pasangannya. Mereka yang matang akan dapat berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan lingkungan keluarga pasangannya dengan baik. Seorang suami/isteri tidak dikatakan matang sosialnya jika hanya berjaya menyesuaikan diri dengan pasangannya sahaja tetapi tidak dengan keluarga dan saudara mara pasangannya itu.

III. Kematangan Spiritual.

Kematangan spiritual pula berkaitan dengan sejauh mana kemantapan iman dan kemampuan dalam berdikari terhadap sikap dan prinsip-prinsip yang digariskan Islam. Persoalan jodoh iaitu bila dan siapa jodoh kita, sebenarnya telah ditentukan Allah SWT sejak pertama kali roh ditiupkan kepada kita iaitu semasa dalam kandungan ibu kita lagi. Soal jodoh, rezeki, dan ajal itu adalah hal ghaib yang sepenuhnya di tanganNya. Kita hanya diwajibkan untuk berikhtiar. Tetapi, jalan atau cara kita berikhtiar itulah yang perlu diteliti agar sikap dan tindakan kita berdasarkan prinsip yang digariskan Islam.Persoalannya, apakah cara berikhtiar itu masih dalam batas-batas syara’ dan akhlak Islam ? Ada sesetengah orang yang begitu bersemangat untuk menikah, hinggakan apabila ia mengalami hambatan dalam perjalanan ikhtiar , lantas ia nekad menentang segala hambatan dengan cara kasar dan tidak berakhlak. Biasa juga terjadi, tanpa memperdulikan pandangan dan nasihat ibu bapa, keluarga, calon mertua dan tokoh masyarakat, pasangan calon pengantin itu “kahwin lari”, menikah di Siam. Sebaliknya ada pula yang amat lemah pendiriannya sehingga mereka menjadi anak yang terlalu menurut kata ibu bapa dan keluarga, hinggakan hal yang dilarang ajaran Islam (dalam perkara berkaitan pernikahan, seperti kriteria pemilihan calon, berkenalan dan sebagainyha) pun tidak berdaya untuk mengatakan tidak. Yang penting kahwin, kata mereka. Kedua keadaan di atas jelas menunjukkan belum adanya sikap berdikari dalam prinsip atau belum mencapai kematangan spiritual.

IV. Kemampuan berdikari dalam ekonomi

Walau pun kita tidak meletakkan material sebagai ciri keutamaan , tetapi kita perlu bersikap realistik. Pelbagai keperluan asas dalam rumahtangga sentiasa menuntut kewangan yang berterusan. Sewa rumah, perabot dan peralatan rumah, bil elektrik, air, telefon, makanan dan pakaian kesemuanya memerlukan kewangan. Oleh itu, bakal suami mesti mampu menyara kehidupan diri dan ahli keluarga dalam rumah tangganya. Tambahan pula apabila telah mempunyai anak. Pembiayaan gizi, kesihatan dan pendidikan anak tidak boleh dihadapi hanya dengan modal semangat tinggi dan tawakal melulu. Bukankah tawakal itu sendiri bermakna tidak membiarkan unta lepas begitu saja, melainkan harus diikat dulu? Bagi yang telah berpendapatan tetap, walau pun mampu menyara hidup keluarga, perlu juga diingatkan supaya berhemat ketika berbelanja untuk khenduri walimatul urus. Tidaklah dikatakan matang jika sudah beranak pinak, tetapi masih menanggung hutang perbelanjaan majlis khenduri.

Oleh itu, persiapan pernikahan perlukan perhitungan yang realistik. Rumusan persiapan pernikahan yang dibahaskan pada kali ini, hanya menumpukan kepada aspek persediaan dari sudut kematangan dan kemampuan berdikari sahaja. Terdapat aspek-aspek lain seperti bilakah usia yang sesuai untuk pernikahan dan mengenali rintangan dalam langkah-langkah menuju pernikahan yang perlu dibicarakan dalam menilai sama ada sudah bersediakah seseorang itu untuk menikah. Walau bagaimana pun penjelasan di atas diharap dapat menjadi panduan bagi teruna/gadis sebelum melangkah ke jinjang pernikahan. Sesungguhnya pernikahan bagi orang yang bertaqwa merupakan satu ibadah untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Semoga usaha melengkapkan diri sebelum menikah juga dikira sebagai ibadah….

" Ya Tuhan kami! anugerahkan kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa"

Amin.....

PERSEDIAAN VS KEMAMPUAN BERNIKAH

Kurangnya persediaan untuk bernikah bukanlah penghalang untuk bertindak berusaha menuju ke arah gerbang pernikahan. Seperti yang saya sebutkan di awal bab ini, seandainya kita menanti persediaan yang sempurna sebelum melaksanakan pernikahan maka, kita tak akan menikah selama-lamanya. Perlunya segala persiapan yang saya sebutkan sebentar tadi adalah sebagai pelengkap dalam sebuah pernikahan. Seharusnya kita kembali kepada kayu ukur yang telah di tetapkan oleh Rasulullah SAW dalam menghitung kemampuan.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.”

Kemampuan untuk berkahwin itu disebut ba'ah di dalam Bahasa Arab. Ulama' berselisih pendapat mengenai ba'ah ini akan tetapi mereka menyepakati suatu hal, makna ba'ah yang utama adalah kemampuan seksualnya. Mengenai pendapat tambahan pula, Imam Asy-Syaukani berpendapat mahar dan nafkah, sedang sebahagian ulama' lain menyatakan penyediaan tempat tinggal. Tetapi yang ditekankan oleh ulama' adalah maknanya yang utama iaitu kemampuan seksual.

Jadi seandainya anda mempunyai kemampuan untuk melakukan hubungan suami isteri, mampu memberi nafkah dan membayar mahar, mampu menyediakan tempat tinggal bagi isteri maka tiada seorang ulama' pun yang berselisih pendapat mengatakan anda sudah mampu mendirikan rumah tangga. Seandainya anda belum mampu dari segi ekonomi sekalipun, ada janji Allah yang Allah akan membantumu dalam urusan itu.

“Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui.” (an-Nisa':32)

Persediaan harus terus dilakukan sebaik mungkin, itulah yang akan menghiasi rumah tangga anda. Sekadar mana yang perlu disiapkan tergantung pada kemampuan dan keadaan diri anda sendiri. Semakin banyak yang anda usahakan semakin banyak hasilnya yang anda akan kutip.

Dan barangsiapa yang berjihad (buat segala sesuatu secara bersungguh-sungguh), maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (al-Ankabut:6)

Maka aku (Nabi Nuh) mengatakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. (Nuh:10-12)

1. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

ALLAH DAN RASUL YANG MENYURUH SEGERA MENIKAH.....


Segala sesuatu itu ada baik dan buruknya. Kita ambil arak sebagai contoh, walaupun ianya jelas merupakan suatu perkara yang buruk, akan tetapi tetap sahaja mempunyai kebaikan, akan tetapi, keburukannya jauh melebihi kebaikan yang terdapat padanya.
“Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) mengenai arak dan judi, katakanlah, “pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, sedangkan dosanya lebih besar dari manfaatnya.... ” (2:219)

Sedangkan Allah SWT sahaja lah yang maha tahu akan baik atau buruknya segala sesuatu, kita sebagai manusia hanya mampu berusaha menimbangkan sedaya upaya kita, yang mana satu lebih utama berbanding yang lain. Allah SWT cakap
“Diwajibkan keatas kamu berperang sedang ia adalah suatu yang tidak kamu sukai. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untuk dirimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk bagi dirimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”(2:216)


Jadi, Allah lah yang maha mengetahui tentang segala sesuatu. Allah menurun kan agama islam adalah sebagai kaedah terbaik untuk hidup di muka bumi, maka segala suruhan Allah adalah sesuatu yang baik bagi diri setiap manusia sedangkan apa sahaja yang Allah larang merupakan perkara yang buruk. Apa yang Allah dan rasulnya tidak nyatakan pula adalah perkara yang manusia perlu menimbang sendiri, apakah lebih banyak manfaat atau mudaratnya. Lihat dan ukur kemampuanmu

Lantas cuba kita lihat kembali kepada persoalan utama yang kita hadapi sekarang, apakah nikah itu baik atau buruk bagi diri kita?. Allah berfirman :
Dan kahwinkan lah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahaya mu yang lelaki dan hamba-hamba sahaya mu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui..” (24:32)

Allah menyuruh masyarakat mengahwinkan orang yang belum bernikah diantara mereka. Ini merupakan suatu kewajiban masyarakat. Perlu ada usaha-usaha memudahkan dan menggalakkan perkahwinan berlaku. Perkahwinan bukan sahaja memberi manfaat yang besar kepada individu, malah ia memberi manfaat yang besar kepada negara Ramainya orang yang bujang adalah masalah negara1 Suruhan ini juga terkena pada ibu bapa dan kaum keluarga agar membantu mengahwinkan ahli keluarga mereka yang lain sesuai dengan firman Allah SWT, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia...” (at-Tahrim:6)

Ayat ini juga menerangkan bahawa jangan berasa risau seandainya kita masih kekurangan wang dan harta untuk bernikah kerana Allah sendiri menjanjikan bantuan-Nya memberi kemampuan kepada kita. Seandainya Allah telah berjanji maka pasti akan Dia tepati. Kalau anda teliti kembali, ramai di antara para sahabat yang melaksanakan arahan Tuhan ini supaya segera bernikah. Antara mereka ada yang cuma mempunyai sehelai pakaian namun itu tak menghalangnya daripada menikah.
Isteri-isteri mu itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsu mu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu....” (al-Baqarah:187)

Ayat ini pula menyatakan dengan jelas bahawa Allah telah menjadikan isteri-isteri itu sebagai pakaian kita dan Allah menjadikan kita sebagai pakaian mereka. Suatu gambaran yang cukup cantik mengenai tugas dan fungsi suami isteri di dalam islam. Bukankah pakaian fungsinya melindungi, menjaga, menghias, menutup kelemahan dan sebagainya.

Allah juga menyatakan bahawa manusia itu tidak kuat untuk sentiasa menahan nafsunya, sebab itulah Allah menjadikan pernikahan sebagai jalan untuk melepaskan nafsu pada tempat yang sepatutnya. Seorang yang sudah mempunyai isteri atau isteri-isteri sekalipun tidak mampu menahan nafsunya pada bulan Ramadhan, apatah lagi seorang yang bujang. Dorongan atau instinct dalam diri seorang itu untuk melakukan hubungan seks amatlah kuat, terutama bagi seorang yang masih belum kahwin. Wajarlah hukuman zina bagi seorang yang belum kahwin 100 kali sebat, lebih ringan berbanding hukuman zina bagi seorang yang sudah pernah mendirikan rumah tangga, dibaling dengan batu sampai mati.

Kerana itulah musuh-musuh islam menggunakan kelebihan ini untuk merosakkan umat islam. Ini telah dibuktikan dalam sejarah umat islam, pada saat kejatuhan empayar Uthmaniyah, mereka mengeksport pelacur ke dalam empayar Uthmaniyah secara besar-besaran untuk merosakkan para pemuda.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.”2

Kemampuan untuk berkahwin itu disebut ba'ah di dalam Bahasa Arab. Ulama' berselisih pendapat mengenai ba'ah ini akan tetapi mereka menyepakati suatu hal, makna ba'ah yang utama adalah kemampuan seksualnya. Mengenai pendapat tambahan pula, Imam Asy-Syaukani berpendapat mahar dan nafkah, sedang sebahagian ulama' lain menyatakan penyediaan tempat tinggal. Tetapi yang ditekankan oleh ulama' adalah maknanya yang utama iaitu kemampuan seksual.

Kalau kita selusuri kembali apa yang berlaku pada generasi awal umat, mereka mengahwinkan anak-anak mereka sejak mula mendapat mimpi basah. Atau dengan kata lainnya sejak akil baligh lagi. Yusuf al-Qardhawi berkahwin pada usia belasan tahun, Ali at-Thantawi juga berkahwin pada usia belasan tahun, sebahagian sahabat nabi seperti Usamah bin Zaid juga berkahwin pada usia belasan tahun. Ibnu Mas'ud, seorang sahabat nabi pernah mengatakan, “Seandainya tinggal sepuluh hari saja dari usiaku, niscaya aku tetap ingin kahwin agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan masih bujang.” Bahkan diceritakan oleh seorang ustaz bahawa masyarakat di zaman imam malik, asy-Syafi'e, Ahmad bin Hanbal tidak ada kenakalan remaja kerana biasanya perkahwinan muda.

Zaman datuk nenek kita sendiri pun tak lepas. Kebiasaan kahwin muda pada ketika itu adalah sebahagian dari faktor yang memberi kekuatan pada mereka membebaskan diri dari penjajahan. Siapa berani kata perkahwinan muda suatu yang baru dilaksanakan?.
Kita lihat lagi beberapa hadis Rasulullah SAW, Dari Saad bin Abi Waqqas katanya: “Rasulullah SAW melarang Othman bin Ma'zun untuk membujang, seandainya baginda membenarkannya, pasti kami akan membujang” (Hadis riwayat Muslim).
Dari Anas ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya beberapa orang sahabat ra bertanya kepada isteri-isteri Nabi s.a.w mengenai amalan yang dilakukan oleh baginda secara diam-diam. Maka ada di antara mereka yang memberitahu bahawa dia tidak akan berkahwin. Ada juga yang memberitahu bahawa dia tidak makan daging dan ada pula yang memberitahu bahawa dia tidak pernah tidur di atas hamparan. Mendengar hal itu semua, Nabi s.a.w memuji kepada Allah dan bersabda: Apa kena dengan kaum itu, mereka berbicara itu dan ini, sesungguhnya aku mendirikan sembahyang dan aku juga tidur, aku berpuasa, berbuka dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yang tidak suka sunnahku, dia bukanlah golonganku iaitu umatku.” (hadis riwayat Muslm)
Apa lagi hujah bagi menyangkal yang bernikah itu bukan suruhan Tuhan? Andai ia suruhan Tuhan apakah lagi yang menjadi alasan bagi kita untuk melengah-lengahkan?
1
2Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

menjaga diri dari melakukan maksiat

Kadang-kadang perkataan maksiat itu sudah tidak berapa memberi kesan yang mendalam kepada kita. Seringkali apabila diingatkan oleh kawan-kawan supaya menjauhi maksiat, maka yang tergambar hanyalah perbuatan zina. Sedangkan maksiat mempunyai maksud derhaka. Maka segala penderhakaan yang dilakukan manusia terhadap tuhannya adalah maksiat. Dengan ini maksiat merangkumi seluruh perbuatan dosa baik kecil mahupun besar.


Suatu hari Imam Syafi’i duduk di hadapan Imam Malik. Dia membacakan sesuatu yang membuatkan Imam Malik berasa kagum. Imam Malik sangat mengagumi kecepatannya dalam menangkap pelajaran, kecerdasannya, dan pemahamannya yang sempurna. Imam Malik berkata “Aku telah melihat bahawa Allah telah meletakkan sinar di dalam hatimu. Jangan padam sinar itu dengan kegelapan maksiat”. Imam Syafi’i menjawab, “Aku mengadukan hafalanku yang buruk kepada Waki’. Ia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Waki’ berkata, “Ketahuilah bahawa ilmu Allah itu anugerah dan anugerah Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat”.


Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam bukunya “ad-da’ wa ad-dawa’”, ( penyakit dan ubat ), menerangkan keburukan maksiat kepada seorang pelakunya:



Maksiat akan membuat seseorang itu :

  1. Terhalang daripada Ilmu,
  2. Berkurangnya rezeki,
  3. Timbul kegelisahan dan kekacauan di dalam hati,
  4. Urusannya menjadi bertambah sukar,
  5. Hatinya akan menjadi gelap,
  6. Badan dan jiwanya akan melemah,
  7. Dia akan terhalang dari melakukan ketaatan,
  8. Umur dan keberkatan padanya akan berkurang,
  9. Keinginannya melakukan kebaikan akan hilang,
  10. Maksiat akan berkumpul padanya,
  11. Dia akan menjadi hina di hadapan Allah SWT,
  12. Dia akan sentiasa berasa cemas,
  13. Dia akan menjadi hina,
  14. Akalnya akan merosak,
  15. Dosa yang telah menompok akan terus terpahat di hatinya
  16. Dosa yang masuk ke dalam hati itu akan menyebabkannya mendapat laknat Rasulullah SAW.
  17. Tidak akan termasuk dalam golongan yang didoakan oleh Rasulullah
  18. Menimbulkan kerosakan di muka bumi
  19. Hilang sikap Malu
  20. Hilang keesaan Allah dalam hatinya
  21. Lupa kepada Allah
  22. Menghalau Ihsan dari pelakunya
  23. Menghilangkan nikmat dan menghalalkan dendam
  24. Mendatangkan rasa takut, khuatir, cemas
  25. Membutakan pandangan daripada kebenaran
  26. Mengecilkan Jiwa
  27. Menjadikan pelakunya tawanan syahwat
  28. Menjatuhkan Martabatnya di hadapan Allah dan manusia
  29. Mendatangkan celaan
  30. Mempengaruhi akal
  31. Memutuskan hubungan seorang hamba dengan tuhannya
  32. Menghinakan orang di hadapan diri sendiri
  33. Membutakan hati dan melemahkan kesedaran1



Bertapa banyaknya kesan dari melakukan maksiat itu terhadap diri si pelakunya. Sehingga seandainya saya memberi komen tentang setiap satu daripada kesan-kesan ini sudah cukup untuk menghasilkan satu bab yang lain. Tidak cukup besarkah maksiat itu sehingga seorang manusia harus takut kepadanya?. Tidak cukup bahayakah maksiat itu sehingga saya menjadikannya di antara sebab utama saya melangkahkan kaki memberanikan diri untuk berkahwin?.



Peraturan dan budaya masyarakat atau bimbingan ilmu pengetahuan memberi 3 pilihan kepada kita sebagai jalan keluarnya. Ketiga-tiganya buruk, kecuali yang keempat, iaitu jalan yang diberikan Allah, iaitu…. berkahwin !!!

Ketiga-tiga alternatif tersebut adalah:



Pertama : Menuruti fitrah dan bayangan impian nafsu syahwat. Selalu mengisi fikiran dengan gambar-gambar lucah, sama ada menerusi filem, cerita kotor, gambar dan potret perempuan telanjang. Apa yang dikhayalkan, dilihat, dibaca dan didengar ialah wanita yang tidak senonoh. Kesemua itu dapat dilihat setiap waktu. Bangun tidur kelihatan di dinding kamar, membaca buku pelajaran, terpamer di meja, pendek kata di setiap kegiatan, sama ada di alam sedar ataupun mimpi. Cara untuk melupakan dengan jalan seperti ini bukan sahaja tidak berjaya, tetapi justeru akan membayangi dan mengganggu fikiran, sehingga akan merosakkan saraf dan mengakibatkan gila atau putus asa.



Kedua : Melakukan onani (istimnaa). Kebiasaan buruk ini merupakan yang paling ringan dari alternatif yang ketiga. Cara onani ini apabila dilakukan berlebih-lebihan akan mengganggu keseimbangan jiwa, timbul perasaan sedih, tubuh lemah, mudah sakit, kelihatan tua sebelum waktunya, murung, muka pucat, menyendiri, menjauhkan diri dari pergaulan masyarakat, malu bertemu orang, takut risiko hidup, menghindari setiap tanggungjawab. Sesungguhnya dia telah mati sebelum mati.



Ketiga : Menimba dari sumur dosa dan merasakan kelazatan dari yang haram, meniti jalan sesat, menjadi pelanggan rumah-rumah pelacuran, merosakkan kesihatan, meruntuhkan kepemudaannya dan agamanya, merobek-robek baju agamanya sekadar untuk ditukar dengan kenikmatan yang sebentar sahaja dirasakan. Apabila anda terus hidup dalam dunia penzinaan, sehingga menyebabkan anda diberhentikan sekolah atau anda kehilangan pekerjaan dan jawatan, kehilangan ilmu pengetahuan yang anda cita-citakan, maka ini bererti anda tidak lagi mempunyai daya kemampuan, kekuatan dan keghairahan untuk bekerja secara bebas.



Demikianlah yang dikatakan oleh Syeikh Ali Thantawi dalam tulisannya yang bertajuk nasihat dan bimbingan buat putera-puteriku.



Mari kita renung sebentar, apakah kesukaran yang bakal kita tempuhi daripada keinginan kita untuk melaksanakan tuntutan agama, iaitu nikah, adalah lebih tinggi ataupun menjaga diri dari melakukan maksiat itu lebih tinggi kesukarannya?



Umar al-Khattab pernah berkata, “aku tidak melihat pada seorang pemuda yang masih membujang kecuali mereka ini adalah dari dua golongan, pertama mereka adalah seorang ahli maksiat, dan kedua mereka bukan lelaki sejati.” Apa lagi alasan yang tinggal bagi mereka yang tidak melaksanakan pernikahan?



Apakah seorang yang mengambil jalan maksiat akan puas dan berhenti dari melakukan perbuatan keji tersebut? Tidak, tidak sama sekali, bahkan mereka akan ketagih. Mereka akan menjadikan memuaskan nafsu sebagai matlamat utama di dalam kehidupan mereka.



Seorang yang mengambil dadah biasanya bermula dari kebiasaannya menghisap rokok. Lama-kelamaan kesan rokok yang dihisapnya akan kurang terasa. Mereka mula memberanikan diri menghisap dadah. Sedikit demi sedikit kesan dadah yang mereka ambil akan berkurangan. Mereka akan sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih besar. Mereka akan menukar jenis dadah yang diambilnya. Sehinggalah perbuatan tersebut menjatuhkan mereka ke lembah yang paling hina.



Pencegahan paling baik yang dapat diambil oleh seorang itu dari melakukan maksiat adalah sebelum dia terjerumus ke lembah maksiat itu sendiri. Seandainya mereka telah terbiasa maka untuk mengeluarkan diri dari lembah maksiat itu semakin sukar. Mereka lebih cenderung untuk menikmati sesuatu yang lebih lazat lagi. Mereka akan memberi alasan kepada diri, “Alah kau memang dah jadi jahat, alang-alang jadi jahat baik kau rasai segala kelazatan menjadi orang jahat. Kalau kau tak buat pun semua orang dah pandang kau jahat. Buat apa kau tahan-tahan lagi.” Maka bagi mereka hampir-hampir tiada jalan untuk keluar lagi dari kemaksiatan tersebut.



“Ada tiga golongan yang Allah wajib menolongnya. Pertama, budak mukatab yang ingin melunasi dirinya agar mendapat kemerdekaan. Kedua, orang nikah untuk menjaga kesucian dirinya dari maksiat, Ketiga orang yang berjihad di jalan Allah.”2

1 Ad-Da’ wa ad-Dawa’ – Ibnu Qayyim al-Jauzi

2Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasai, dan Ibnu Majah

mengubah peribadi...

Bagi mereka yang ingin mengubah peribadi diri menjadi lebih baik, menikahlah, insya'Allah anda akan merasakan perubahan dalam diri anda. Masakan anda tidak berubah, anda akan mempunyai seorang teman yang setia menemani anda di mana sahaja anda berada.


“Dahulu anda adalah manusia biasa bebas yang boleh pergi sesuka hati. Tetapi sejak pagi ini , apabila anda masih belum pulang setelah larut malam, di rumah anda ada seorang wanita yang tak dapat tidur kerana cemas memikirkan tentang anda. Kini, bila berhari-hari anda tidak pulang ke rumah tanpa berita, di kamar anda ada seorang perempuan lembut yang akan membasahi bantalnya dengan linangan air mata. Dahulu, bila anda mendapat musibah, anda hanya akan mendapat ucapan, “turut berduka cita” dari sahabat-sahabat anda. Tetapi kini, seorang isteri akan bersedia mengorbankan apa saja agar anda meraih kembali kebahagiaan anda. Anda sekarang mempunyai kekasih yang diciptakan Allah untuk berbagi suka dan duka dengan anda.”
1



Begitulah suatu perubahan besar yang akan berlaku pada diri anda setelah anda melangkahkan kaki melewati gerbang pernikahan. Setiap yang anda lakukan bukan lagi cuma memberi kesan terhadap diri anda sendiri, akan tetapi turut memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan isteri. Insya'Allah semua itu akan banyak merubah peribadi anda.



Istilah kuasa percintaan yang dapat merubah segalanya bukanlah suatu yang jarang kita dengar. Biasanya istilah tersebut dipakai oleh orang yang bercinta di luar pernikahan. Bahkan yang paling selalu kita temui adalah dari filem hindustan. Bertapa besar kuasa cinta yang mereka momok kan. Mereka sanggup merubah diri kerana cinta mereka terhadap pasangan. Itu adalah cinta yang cuma berasaskan nafsu. Cinta yang cuma berasaskan instinct atau naluri menginginkan pasangan. Demi cinta yang sedemikian kita dapat lihat berapa ramai orang yang membunuh diri. Tak kurang ramai juga yang berjaya dalam hidup mereka kerana cinta.



Suatu pepatah ada menyebutkan, “di sebalik setiap lelaki yang hebat, ada seorang wanita yang hebat juga.” Selagi anda masih belum mendirikan rumah tangga, semuanya cuma khayalan semata-mata. Seorang pasangan yang masih tidak bersedia berkongsi hidupnya dengan anda dengan suatu ikatan yang sah adalah seorang yang masih boleh diragukan cintanya. Perhubungan yang tidak berdasarkan cinta adalah perhubungan yang goyah, malah boleh menjerumuskan diri ke dalam dosa. Bagaimanakah sebuah perhubungan yang berasaskan dosa boleh membawa kebaikan kepada diri anda? Mungkinkah Tuhan yang mengetahui segala-galanya menjadikan perbuatan yang membawa kebaikan kepada diri seorang manusia sebagai perbuatan yang berdosa?



Lihatlah pada semua yang diberi tanda dosa, apakah ada kebaikan padanya? Lihat pula pada semua yang diberi tanda pahala, apakah ada sebarang keburukan padanya? Kalaupun anda menjawab ada! Maka ianya tidak lebih dari apa yang difirmankan oleh Allah SWT, “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (2.219)

1Ini adalah sebuah khutbah nikah yang disampaikan oleh Jalaluddin Rahmat.

seorang pembantu setia....

Secara fitrahnya manusia itu adalah makhluk sosial, punyai kehendak dan keperluan untuk berkawan, berkerjasama, saling bantu membantu atau saling mempergunakan antara satu sama lain. Tiada seorang pun di dunia ini yang mampu atau ingin hidup sendirian tanpa orang lain. Dan merupakan suatu fitrah juga bagi manusia itu menginginkan seorang yang boleh dia percayai sepenuhnya sebagai teman hidup. Itulah tempat seorang isteri atau suami. Bertapa cantiknya Allah SWT menggambarkan peranan seorang suami dan isteri dalam ayatnya yang berbunyi:


Dihalalkan bagimu pada malam Ramadan untuk bersetubuh dengan isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri, tetapi dia menerima taubat mu dan memaafkan kamu...” (al-Baqarah:187)



Suami isteri itu diibaratkan sebagai pakaian satu sama lain. Suami adalah pakaian isteri dan isteri adalah pakaian suami. Pakaian berfungsi untuk melindungi, memberi keselesaan, mencantikkan, menggambarkan peribadi, menutup kelemahan, menampakkan kelebihan dan sebagainya.



Daripada perkara tersebut dapat kita ambil beberapa pelajaran di sini:



  1. Suami sebagai pakaian isteri



    1. Perlindungan fizikal

Suami adalah pelindung isteri daripada sebarang bahaya yang mengancam dirinya, baik dari seorang lelaki lain yang berkeinginan buruk terhadapnya mahupun dari sebarang bentuk ketidakadilan yang berlaku pada isteri. Secara mudahnya dapat kita simpulkan, suami perlu melindungi isterinya dan menyayangi isterinya sebagaimana dia melindungi dan menjaga dirinya sendiri daripada sebarang bahaya dan malapetaka.



    1. Perlindungan mental

Suami juga turut berperanan mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada isterinya. Isteri adalah orang yang paling banyak berinteraksi dan mendidik anak, lantas kebahagiaan dan kebijaksanaan anak itu tergantung banyak kepada kebijaksanaan isteri. Pendapat yang mengatakan islam cuma menyuruh isteri tidak perlu berpendidikan tinggi adalah silap. Di dalam islam terlalu banyak contoh-contoh isteri yang menjadi ulama’ dan tempat rujukan masyarakat terutama kepada wanita juga. Bahkan Rasulullah SAW telah menumpukan sebahagian masa beliau yang sangat berharga itu untuk mendidik ummahatul mukminin (gelaran bagi isteri-isteri nabi) dan seluruh kaum wanita .



Pendidikan bagi para isteri merupakan tanggungjawab seorang suami. Suami tidak boleh melepaskan tangan terus daripada tanggungjawab ini. Isteri perlu diajarkan semua pelajaran yang diperlukan olehnya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. Selain itu yang lebih utama isteri perlu diajarkan tentang pendidikan agama agar suami isteri nanti sama-sama mendapat keredhoan daripada Allah yang bermakna ganjarannya syurga.



    1. Perlindungan iman

Isteri juga perlu dibimbing dengan keimanan dan ketakwaan. Suami akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti seandainya isterinya tidak dapat bersama-samanya memasuki syurga. Allah berfirman, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu....” (at-Tahrim:6)



Mengapa masih ada keraguan lagi bagi seorang wanita untuk bergelar isteri? Anda akan mendapat kasih-sayang, perlindungan, ilmu, pelajaran, bimbingan, dan perhatian penuh dari seorang yang bernama suami. Malah di dalam sebuah hadis nabi, “Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ketika seseorang masuk syurga, ia menanyakan orang tua, isteri dan anak-anaknya. Lalu dikatakan kepadanya, “Mereka tidak mencapai darjat amalan mu.” Dia berkata, “Ya tuhanku, aku beramal bagiku dan bagi mereka.” Lalu Allah memerintahkan untuk memasukkan keluarganya ke syurga menyusulinya.” Setelah itu Ibnu Abbas membacakan, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”(at-Thuur:21)



    1. Perlindungan naluri

Suami bertanggungjawab memuaskan nafsu isteri selagi mampu. Sesetengah ulama' mewajibkan suami menyetubuhi isterinya minimal setiap kali dia suci dari haidh bermakna sebulan sekali. Sesetengah yang lain mewajibkan tidur bersama isteri minimal sehari dalam empat hari.



    1. Perlindungan dari melakukan kesilapan



Seseorang itu sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang yang tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan berani menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri kita. Lantas suami lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita sehari-hari dan akan menjadi orang yang pertama menegur setiap kesilapan diri kita.



    1. Perlindungan-perlindungan yang lain

Suami juga perlu berlemah lembut dengan isterinya. Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”1



  1. Isteri sebagai pakaian suami



Begitu juga seorang suami, pernikahan bagi anda mewajibkan seorang wanita untuk patuh terhadap segala suruhan anda selagi tidak bertentangan dengan suruhan Yang Esa. Pernikahan menjadikan seorang isteri hanya akan menumpukan seluruh hidupnya untuk menemani segala perjalanan yang anda pilih untuk melaluinya.



    1. Perlindungan maruah dan kehormatan



Isteri adalah penjaga maruah suami. Isteri perlu menjaga dirinya tatkala suami keluar dari rumah. Isteri lah yang menguruskan rumah tangga suaminya sehingga seorang suami dapat memberikan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Berapa ramai isteri-isteri orang-orang besar yang tidak dikenali. Mereka telah berjaya menguruskan rumah tangga mereka dengan baik sehingga suami-suami mereka berjaya menjadi seorang yang terhormat di mata masyarakat.



Peranan yang cukup besar ini diakui oleh barat sendiri, mereka meletakkan peraturan harta sepencarian yang memberikan isteri separuh dari harta suami seandainya mereka bercerai.



    1. Perlindungan naluri



Isteri wajib menerima ajakan suami ke tempat tidur seandainya tiada alasan yang syar'i seperti sakit dan sebagainya. Ini jelas dinyatakan di dalam hadis, “Dari Abu Hurairah ra, Nabi s.a.w telah bersabda, “Apabila seorang isteri tidur dengan keadaan lari dari katil suaminya iaitu tidak mahu disetubuhi, para Malaikat melaknat nya sehingga dia bangkit dari tidurnya di waktu pagi”

(Hadis riwayat Muslim)



    1. Perlindungan iman



Isteri juga bertanggung jawab menjaga iman suaminya atas dalil yang sama, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu....” (at-Tahrim:6)



    1. Perlindungan dari melakukan kesilapan



Seorang sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang yang tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan berani menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri kita. Lantas Isteri lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita sehari-hari dan menegur setiap kesilapan diri kita.



    1. Perlindungan dari membukakan keaiban



Seorang isteri akan menjaga keaiban diri suaminya dari mata masyarakat kerana suaminya adalah sebahagian dari dirinya sendiri.



Begitulah keindahan mendapat pakaian suami atau isteri. Pernikahan yang sebenarnya memberikan kita seorang pembantu setia yang kebanyakkan masa dalam kehidupannya akan dihabiskan kepada kita. Segalanya akan dikongsi bersama, susah dan senang, sakit dan gembira, semuanya dihadapi berdua.

1Diriwayatkan oleh Tirmidzi, lafaz ini sahih baginya. Al-Hakim berkata, “para perawinya terpercaya berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim”

pentingnya kawin muda disebabkan kelemahan diri....

Alah, kalau datang godaan sekuat mana pun, andai benteng pertahanan diri kuat dan kukuh, tak akan berlaku apa-apa. Mari kita renung sebentar, dari perspektif daya tahan diri, apakah pernikahan itu suatu keperluan diri?

Kalau sebelum ini kita membicarakan tentang serangan dan suasana yang buruk dalam persekitaran kita, sekarang kita akan melihat pula kepada aspek dalaman diri kita sendiri. Tak dinafikan, andaikata seseorang itu kukuh dan kuat dalam menghadapi ujian dan cubaan, sudah pastilah sekuat mana pun cubaan yang datang dapat ditangkisnya dengan baik dan tepat.




Malangnya, tak ramai yang betul-betul mempunyai kekuatan seperti itu, kekuatan yang menyababkan dirinya tetap tegar dalam arus kuat yang mengajak manusia meninggalkan kebaikan dan melakukan kemaksiatan. Kekuatan yang hanya dapat dibina daripada latihan dan pengarahan yang jelas daripada pihak yang menjalankan tugas mendidik yaitu ibubapa.





Diceritakan di dalam cerita mengenai seorang pemuda pada zaman pemerintahan Saidina Umar RA, seorang pemuda kacak yang selalu ke masjid dituduh memasuki sebuah rumah yang dihuni seorang wanita muda yang amat cantik lalu menggoda wanita tersebut untuk melakukan zina. Apabila diadili oleh saidina Umar, rupa-rupanya wanita tersebut yang tertarik terhadap pemuda itu lalu berpakat dengan seorang nenek untuk menggoda lelaki tersebut. Nenek itu meminta pertolongan dari lelaki tadi untuk memerahkan susu domba yang dimilikinya. Lelaki itu bersetuju. Setelah ikut masuk ke rumah nenek tersebut, nenek itu menyuruh duduk sebentar sementara dia pergi mengambil domba itu. Lalu masuklah wanita muda tadi lantas terus menggoda lelaki itu untuk melakukan zina.



Lelaki itu meminggirkan diri dan menolak sekeras-kerasnya. Setelah meyakini bahawa keinginannya tidak akan terpenuhi, maka wanita itu menjerit meminta tolong dari orang ramai dengan menuduh lelaki itu yang menceroboh rumahnya dan menggodanya. Setelah mendengarkan alasan lelaki itu, Umar terus memanggil semua wanita tua di sekitar itu sehinggalah bertemu dengan wanita yang dimaksudkan tadi. Disebabkan ketakutan berhadapan dengan saidina Umar, nenek itu pun mengaku akan perbuatannya.





Nabi Yusuf adalah seorang yang sangat kacak.. Suatu hari dia dipanggil oleh isteri tuannya, Zulaikha, masuk ke satu bilik. Di dalam bilik itu tiada seorang pun kecuali mereka berdua. Terjadilah kisah diantara mereka berdua seperti yang diceritakan oleh Allah SWT dalam ayat berikut,




Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: "Marilah ke sini." Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung.” (Yusuf:23)




Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tiada melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.” (Yusuf:24)




Dan keduanya berlomba-lomba menuju pintu dan wanita itu menarik baju gamis Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: "Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?"(Yusuf:25)




Yusuf berkata: "Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)", dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: "Jika baju gamisnya koyak di muka, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.”(Yusuf:26)




Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar.” (Yusuf:27)




Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: “Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar.”(Yusuf:28)





Allah SWT memberi tahu kita bahawa di dalam diri Nabi Yusuf AS sebenarnya telah timbul keinginan untuk melakukan perbuatan zina dengan Zulaikha. Akan tetapi keimanannya kepada Allah SWT telah menyelamatkan diri Nabi yusuf dari perbuatan yang keji lagi hina. Bertapa kuat dan kukuhnya iman Nabi Yusuf tatkala digoda oleh Zulaikha, seorang wanita bangsawan yang sangat cantik.





Seandainya kita berada di dalam posisi sang pemuda di zaman Umar itu ataupun di dalam posisi Nabi Yusuf AS apakah kita mampu berbuat seperti yang dilakukannya?. Dan apakah situasi tersebut mustahil untuk berlaku pada zaman kita?.Terlalu ramai wanita murahan yang tak malu-malu mengorat si jejaka, bahkan bukan sedikit di kalangan mahasiswa yang berzina. Semua itu terlalu mudah untuk berlaku, sedangkan pendinding diri kita masih lagi terlalu lemah. Lantas apakah lagi alasan saya untuk mengatakan berkahwin itu belum menjadi keperluan saya?