RAHSIA TIPU MUSLIHAT IBLIS
Allah swt telah memerintahkan
seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah saw untuk
memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya.
Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai
peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis
dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh
engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia
engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan
sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan
diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab
yang amat keras.
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis
sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar
sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai;
panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak
juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis(alaihi laknat),"Ya
Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu
sangat mulia di sisi Allah?" Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru
Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku
sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati
teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup
dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara
beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan
kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa
Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai
Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam
engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal
baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar
diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?" Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah!
Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat
kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala
tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya
Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu
dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah
menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang
sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu"
Apabila
mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah
satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian
sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian
umatku.
Soalan Nabi (1) –
"Hai
Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap
engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling
besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang
muka Iblis,dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul
Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia,
binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali
diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya
hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba
cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi
nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu
jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba
akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya
masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"
Soalan
Nabi ke 2 –
"Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk
Allah"
Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang
merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya
hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya
meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba
lalaikan dengan harta benda drp emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya,
ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika
temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar
godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka
hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan
terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki
hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah
mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka
teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan
galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya
menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datang
lah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada
lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba
goda mereka setiap saat."
Soalan Nabi ke 3 –
"Hai
Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak
mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar
di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau?
Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa
yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan
engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah drp Tuhan Yang Maha
Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar
jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada
sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu
langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian
Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan
seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta
lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada
lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kepada hamba dan
muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh.
Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan
dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari.
Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba
tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya
dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian
dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang
anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil.
Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga
Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan
mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh
manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba
turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya
hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah
dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak
dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak
Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga
hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala.
Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya
terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk
menjalankan tugas hasutan."
Soalan Nabi ke 4 –
"Hai
Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"
Jawab Iblis -
"Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya, imannya kepada kafir sama ada dari
segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba
akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus
mengikut kemahuan jalan hamba"
Soalan Nabi ke 5
–
"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah
badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh
iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya.
Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia
yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya
matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang
brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan
orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau
duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu
semua membawa kepada kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda
manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat
hukuman"
Soalan Nabi ke 6 –
"Jika umatku membaca
Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"
Jawab Iblis - "Jika mereka
membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus
segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."
Soalan Nabi ke 7
–
"Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa
engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba
kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"
Soalan Nabi ke 8
–
"Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar
bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah
cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi
orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan
digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama
dia berpuasa. Yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi;
yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam
mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa
ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka
ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan
angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam
syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah
sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin,
syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai
serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang
lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba
dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri
telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur
seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan
biasa."
Soalan Nabi ke 9 –
"Hai Iblis! Bagaimana
sekelian sahabatku kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan
hamba juga adalah sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan
tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah
berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu
mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula
setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga
dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang
sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat
amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana
tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz
Hadis tuan.
Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan
wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama.
Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana
sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apatah lagi tuan telah mengatakan,
"Jikalau adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia
adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga
digelar 'Al-Faruq'.
Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir,
kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar,
penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana
taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana
Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis
Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah,
nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid"
Saidina Ali Abi
Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan
perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin
memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat
beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah
menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu'
dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata
"Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi
menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi
ke 10 –
"Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?"
Jawab
Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti
bersambung hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang
memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta
meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia
dan pelita akhirat"
Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu
orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh,
tawakal dan kebajikan.
Yang ketiga umat tuan seperti Firaun;
terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba
pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan
derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa
bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat,
tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya
minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan
beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya.
Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan
hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama
Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan
maksiat, tempat perjudian dan perempuan pelacur"
Soalan Nabi ke
11 -
"Siapa yang serupa dengan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang
yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama
Islam"
Soalan Nabi ke 12 -
"Siapa yang mencahayakan
muka engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi
palsu, pemungkir janji"
Soalan Nabi ke 13 -
"Apakah
rahsia engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi
buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba
gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia
sedari"
Soalan Nabi ke 14 –
"Jika umatku bersatu
dengan isterinya, bagaimana hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Jika umat tuan
hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka
larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan
isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi
anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan,
durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka
makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka
makan, tiadalah rasa kenyang."
Soalan Nabi ke 15
–
"Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"
Jawab Iblis -
"Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal
akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka
padamlah marahnya."
Soalan Nabi ke 16 -
"Siapakah
orang yang paling engkau lebih suka?"
Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan
yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan)
selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung,
berbuai seperti pijat pada bulu itu"
Soalan Nabi ke 17
-
"Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang
tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur
semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu
zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk
solat"
Soalan Nabi ke 18 -
"Apakah jalan yang
membinasakan diri engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang banyak menyebut nama
Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus
Al-Quran dan solat tengah malam"
Soalan Nabi ke 19
-
"Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis -
"Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di
dalamnya"
Soalan Nabi ke 20 -
"Apa lagi yang
memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang taat kepada kedua
ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka
hidup, kerana tuan telah bersabda, 'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu'
"
Soalan Nabi ke 21 -
"Hai Iblis! Apakah yang
merantai engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang berjual beli dengan betul
timbangan, sukatan, ukuran dan tukarannya"
Soalan Nabi ke
22 -
"Hai Iblis! Apabila umatku memberi salam antara satu sama lain,
betapa hal engkau?"
Jawab Iblis - "Apabila bertemu dua Islam di tengah
perjalanan memberi salam serta dijawab oleh yang lain, maka rasa pecah dada
hamba dan hamba pun meratap kerana keduanya mendapat ampun sehingga keduanya
berpisah"
Soalan Nabi ke 23 -
"Hai Iblis! Siapa pula
yang hampir kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang meminum arak, tuak,
penghisap candu, ganja kerana bahaya zahirnya membawa kepada pecah-belah,
perkelahian, penceraian dan pembunuhan"
Soalan Nabi ke
24 –
"Siapa pula yang sekutu dan sekedudukan dengan
engkau?"
Jawab Iblis - "Apabila bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan
muda, hamba akan duduk pada leher perempuan itu, hamba hiaskan mukanya dengan
jeling dan senyum yang menarik. Apabila dipandang dari belakang nampak lehernya
yang halus, pinggang dan punggung yang bergerak-gerak yang mana membangkitkan
nafsu. Dari hadapan pula hamba hiaskan dadanya dengan buah dada yang melekap.
Lalu hamba panah pada jantung hati salah seorang atau keduanya hingga bergerak
nafsu syahwatnya. Orang yang tidak memelihara hatinya tidaklah terpelihara
farajnya atau kemaluannya. Oleh itu tidaklah terpelihara
imannya."
Soalan Nabi ke 25 –
"Hai Iblis! Di mana
engkau diam?"
Jawab Iblis - "Pada rumah berhala dan pada mana-mana batu,
kayu, tembaga dan sebagainya. Apabila mereka menyembah, hamba cenderungkan
hatinya supaya bertambah yakin pada kerja syiriknya itu. Sudah banyak umat tuan
yang telah hamba pesongkan masuk ke rumah berhala Majusi dan Hindu walaupun
sekadar melawat, menunjukkan sangat tipis imannya"
Soalan Nabi ke
26 -
"Hai Iblis! Di mana tempat perhimpunan engkau?"
Jawab
Iblis - "Setiap rumah wayang, tempat joget dan seumpamanya yang bercampur pemuda
dan pemudi"
Soalan Nabi ke 27 –
"Hai Iblis! Aku lihat
engkau mengintai di dalam masjid. Apa yg engkau hendak buat?"
Jawab Iblis
- "Hamba hendak mengacau dan merosakkan sembahyang orang di situ, tetapi hamba
takutkan seorang yang tidur di situ" Nabi bertanya, "Mengapa engkau tidak takut
kepada orang yang sembahyang itu, padahal dia bermunajat kepada Allah. Kenapa
pula engkau takut pada orang yang tidur itu padahal dia lalai dan tidak
memandang satu apa pun?" Jawab Iblis, "Orang yg sembahyang itu jahil dan amat
mudah hamba goda, tetapi orang yang tidur itu alim. Jika hamba goda juga, hamba
takut orang yang tidur itu bangun lalu menegur dan membetulkan sembahyang si
jahil itu"
Soalan Nabi ke 28 -
"Hai Iblis! Apakah
puji-pujian engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang menyanyi, berpantun,
berpantun-seloka dan sebagainya kecuali orang yang bernazam, berlagu-lagu,
bernasyid memuji Allah serta selawatkan Nabi"
Soalan Nabi ke
29 -
"Hai Iblis! Siapa yang sekaum dengan engkau?"
Jawab
Iblis - "Orang yang menipu harta orang, memakan harta anak yatim dan memakan
riba' "
Soalan Nabi ke 30 -
"Hai Iblis! Engkau
gelapkan hati manusia kerana apa?"
Jawab Iblis - "Sebab mereka makan
minum pencarian haram kerana mereka sudah gelap mata untuk mencari rezeki yang
halal. Juga mereka yang tidur meninggi hari hingga tertinggal sembahyang subuh
serta memenuhkan perut sekenyang-kenyangnya"
Soalan Nabi ke
31 -
"Hai Iblis! Siapa yang menyukakan hati engkau?"
Jawab
Iblis - "Orang kaya yang bakhil; tidak mengeluarkan zakat pada hamba Allah yang
daif. Zakatnya dihantar pada orang lain, padahal kaumnya miskin. Bahawasanya
orang bakhil itu seteru Allah dan yang tak berzakat itu akan masuk ke dalam
neraka bersama hamba"
Soalan Nabi ke 32 -
"Hai Iblis!
Siapa yang menyuburkan badan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang hasad
dengki, orang yang tak belajar peraturan agama Islam dan semua perempuan jahat,
perempuan yang mencabul dirinya sendiri dan menjual
maruah"
Soalan Nabi ke 33 -
"Hai Iblis! Jika mati
seorang ulama, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Bertambah subur dan
bertunaslah kerja hasutan hamba, Maka kata Nabi, "Sesiapa berdukacita atas
kematian seorang ulama, maka dituliskan Allah pahala baginya seperti seribu alim
dan seribu syahid." Tambah Nabi, Akan datang umatku akan lari daripada ulama.
Setiap orang yang bencikan orang yang mengajar agama itu akan diturunkan oleh
Allah dengan 3 bala:
1) Diangkatkan berkat daripada pencariannya.
2) Allah
akan mendatangkan raja atau ketua yang zalim.
3) Mereka dikeluarkan daripada
dunia dengan tidak beriman.
Soalan Nabi ke 34 -
"Hai
Iblis! Jika umatku sembahyang berjemaah, bagaimana hal engkau?"
Jawab
Iblis - "Sesungguhnya mereka telah menghuraikan simpulan tipudaya
hamba"
Soalan Nabi ke 35 -
"Hai Iblis! Jika umatku
membaca selawat keatas ku, betapa hal engkau?"
Jawab Iblis - "Mereka
telah membelah muka hamba kerana sangat ingat akan tuan."
Soalan
Nabi ke 36 –
"Jika umatku sembahyang Hari Raya, betapa hal engkau?
Kerana Allah Maha Besar telah berfirman demikian: "Hai sekelian Malaikat!
Saksikan oleh kamu bahawa sesungguhnya Aku telah ampunkan sekelian dosa Nabi
Muhammad; lelaki dan perempuan" Apabila telah selesai sembahyang dan kuthbah
pula, firman Allah : "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing.
Sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa kamu yang terdahulu dan Aku gantikan dosa
kamu dengan kebajikan."
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Apabila umat tuan
pergi sembahyang Hari Raya, maka hamba sangat menanggung dukacita dan menyesal.
Maka hamba pun bertempik dan datanglah sekelian tentera hamba dan bertanya,"Hai
Raja kami! Siapa tuan murkakan? Adakah ia dari langit atau dari bumi? Titahkan
kami sekelian untuk membinasakan yang di langit atau di bumi itu!" Maka kata
hamba, "Hai bala tenteraku! Apa yg menyebabkan hamba menanggung dukacita ialah
kerana Allah Taala telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya ini. Tidakkah
kamu ketahui bahawa Allah telah mengkabulkan puasa mereka? Tuhan sangat sayang
akan mereka dan dikasihankan dengan rahmat, diperkenankan doa akan apa yang
dipinta dan diampunkan segala kesalahan mereka. Hai tenteraku! Goda mereka
supaya malas beramal ibadat, bersuka-suka, bermain-main, memuaskan hawa nafsu
dengan pelbagai maksiat; agar datang kemurkaan Tuhan kepada mereka dan kelak
diturunkan bala. Kerana itu kemudian akan menyenangkan hatiku." Maka pergilah
sekelian iblis dan syaitan mengacau umat Muhammad"
Soalan Nabi ke
37 -
"Jika umatku membaca doa akhir tahun (Hijrah), betapa hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Telah bersusah payah hamba menggoda mereka
sepanjang tahun; tiba-tiba mereka membaca doa dalam masa yang sedikit. Maka
lemahlah hamba, lalu hamba sapu muka dengan tanah. Hai celaka malang diriku
dengan kerugian, maka hamba pun berpaling pergi."
Soalan Nabi ke
38 -
"Hai Iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun (Hijrah), betapa
hal engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Putuslah harapan hamba, kerana
sesiapa membaca doa awal tahun ini, Allah akan memerintahkan dua Malaikat supaya
dibakar buku kesalahannya dan ditulis kebajikan di dalamnya kerana membaca doa
ini."
Soalan Nabi ke 39 –
"Hai Iblis! Siapakah yang
menyokong engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang tidak bertaubat dari dosanya
dan suka ketawa ketika berbuat dosa. Ya Nabi Allah! Bahawa telah hamba binasakan
sekelian manusia dengan pelbagai dosa maksiat maka sukalah hamba. Tiba-tiba
mereka mengucap kalimah Lailahaillallah dan beristighafar, maka binasalah hamba
kerana ucapannya itu. Lagi satu keuntungan besar hamba ialah orang tua dan
kanak-kanak yang bersiul-siul. Mereka itu adalah anak buah hamba. Kerana pada
masa hamba dibuang ke dunia ini dahulu, hamba mengembara dan berjalan dengan
bersiul-siul. Orang yang bersiul-siul itu adalah penghibur Iblis dan syaitan,
tetapi orang yang bang (azan) itu penghambat Iblis dan syaitan kerana
Malaikat-Malaikat akan hadir sembahyang bersama-sama
mereka."
Soalan Nabi ke 40 –
"Hai Iblis! Sekarang
apakah kesudahan ikhtiar engkau kerana aku telah dibangkitkan oleh Tuhan ke alam
dunia ini bagi menyelamatkan sekelian Bani Adam daripada kafir kepada beriman,
daripada gelap-gelita kepada terang benderang"
Maka Iblis pun mengangkat
kepalanya ke Hadrat Allah dan berkata: "Ya Rabbi! Demi kemuliaan Engkau,
sentiasalah hamba akan berusaha bersungguh untuk menarik sekelian anak Adam
kepada berbagai-bagai jalan maksiat selama nyawa ada di dalam batang tubuh
mereka itu, hamba jadikan pemuda pemudi bercampur dan berkenalan supaya senang
hamba mencelah di antara mereka."
Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t :
"Hai Mala'un! Demi kebesaranKu dan ketinggianKu, bahawa Aku sentiasa sedia
mengampuni akan dosa umat Muhammad, selagi mereka itu meminta ampun kepadaKu"
Maka kata Nabi, "Hai Iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"
Maka Iblis
berkata, "Ya Rasulullah! Bahawa hamba sangat ajaib melihat dua perkara sekelian
hamba Allah. Yang pertama mereka mengaku kasih akan Allah padahal pula mereka
taat akan hamba dengan berbuat maksiat. Yang kedua mereka sangat marah akan
hamba tetapi mereka menurut juga hasutan hamba." Maka datang lagi firman Allah
s.w.t : "Hai Mala'un! Demi kemuliaan dan kebesaranKu, aku anugerahkan umat
Muhammad dua kebahagian iaitu
(1) kasih mereka itu akan Daku iaitu Aku
jadikan kaparah(penebus dosa) bagi maksiat mereka itu kerana perdayaan
engkau.
(2) mereka itu marah kepada engkau (juga) Aku jadikan
kaparah(penebus dosa) bagi mereka itu (yang telah) berbuat maksiat
kepadaKu".
Maka Iblis pun tercengang-cengang kerana umat Muhammad sangat
dikasihi oleh Allah Al-Ghafurur Rahim….
INSYAALLAH.
No comments:
Post a Comment