Ketahui olehmu yang dikehendakki dengan kata menghadhirkan Zat Sembahyang itu
ialah Niat. Manakala Niat itu adalah bekas Nur Sir Kalam Allah yang tiada
berhuruf dan bersuara ya'ni rahsia qalam qadimNya. Yang demikian itulah
dibilangkan berkata kata kita dengannya.
Maka hendaklah kamu ketahui
sesungguhnya tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram itu hal keadaannya mati
sebagaimana sabda Nabi s.a.w. pada mengisyaratkan dengan katanya:
"Mutu
Qabla Anta Mutu" Matikanlah diri kamu sebelum kamu mati. Maka adalah maksudnya
itu fana'kan dirimu yang kasar, fana'kan panca inderamu yang bangsa zahir. Maka
tatkala itu disuruh tilik atau pandang dirimu yang halus atau batin dengan
menggunakan panca indera yang batin, kerana adalah yang batin itu berpakaian
dengan Sifat Maani, manakala Sifat Maani itu adalah sifat yang lazim atau tetap
bagi Zat Allah yang Wajibal wujud lagi Baqa'. Maka jika telah tetaplah bahawa
Sifat Maani itu adalah Sifat Zat Allah wajiblah baginya dihukumkan
Maanawiyah.
Maka untuk mendapatkan kata putus atau putus bicara mengena'i
ta'arif pada Sifat Maani dan Maanawiyah perlu dibicarakan dengan teliti dan
halus, bagi memahami Sifat Maani dan Maanawiyah.
Adapun dikatakan dalam
pembicaraan taarif Sifat Maani itu demikian:-
"Hiya kullu sifatin
maujudatin qa'inatin bimaujudin aujabat lahu hukman."
Tiap tiap sifat
yang sedia ada yang berdiri dengan Zat Yang Sedia Ada diwajibkan yakni
ditetapkan baginya satu hukum. Maka dalam perkara ini Sifat Maani itu wajib
dihukumkan Maanawiyah.
Manakala hakikat Sifat Maani itu adalah "La hiya
huwa hiya ghairuhu" Sifat itu bukan Zat, tetapi tiada lain dari Zat.(Kelakuan
Sifat ini tidak berdiri dengan sendirinya tetapi lazim dia berdiri dengan Zat
sebab antara zat dan sifat tidak boleh berpisah).
Adalah taarif Sifat
Maanawiyah pula dikatakan:- "Hiyyal khaluth thabitu lizzati mada matizzatu
mu'allalatin bi illatin" Hal yang sabit yakni tetap bagi Zat selama kekal Zat
itu dikeranakan dengan satu kerana yakni Sifat Maani. Maka hakikat Sifat
Maanawiyah itu " La hiya ghairuhu" Tiada lain dari Zat. Yang demikian nyatalah
atau jelaslah sudah bahawa yang dihukum Maanawiyah itu adalah Sifat Maani atau
Sifat Maani itulah Sifat Maanawiyah.
Maka hendaklah kamu ketahui dengan
sempurna pengetahuan penegenalan bahawasanya Hakikat dirimu yang batin itu
dipakaikan dengan rahsia Sifat MaaniNya. Rahsia Sifat Maani itulah Ruh
Latifurrabaniah yang jadi hakikat bagi dirimu yang sebenar benar diri. Manakala
adalah hakikat diri yang sebenar diri itu sebagai dzil yakni bayang bayang bagi
kelakuan atau Sifat wujud Zat Allah yang mutlaq lagi tiada seumpama dengan
sesuatu.
Maka ketahuilah bahawa tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram
itu dengan berkata Allahu Akbar kamu berada didalam Maqam Tauhid. Yang mana
dituntut atas kita mentauhidkan akan ZatNya, SifatNya, Asma'Nya dan Af'alNya.
Oleh kerana itulah bahawa tempat atau Maqam Tauhid kepada Allah itu didalam
Takbiratul Ikhram pada lima waktu Solat Fardhu.
Maka untuk mendapatkan
jalan Tauhid yang sebenar benarnya itu hendaklah kita ketahui dengan sempurna
pengetahuan didalam bicara berkenaan Nafi dan Isbat. Oleh kerana didalam Nafi
dan Isbat itulah duduknya Tauhid dan Ma'rifat.
Hakikat Nafi Yang
sebenar.
Adapun sebenar benar hakikat Nafi itu Isbat dan hakikat Isbat
itu Tauhid, manakala hakikat Tauhid itu Ma'rifat. Oleh kerana itulah sabda Nabi
s.a.w. " La yufarriqu bainan nafi wal ithbat, man faraqa bainahuma fahuwa
kafirun" Tiada becerai diantara Nafi dan Isbat, barang siapa memisahkan maka
kafirlah dia. Oleh kerana hal keadaan Nafi mengandung Isbat dan Isbat mengandung
Nafi, yang demikian bererti bilamana kamu Nafikan sesuatu yang mustahil bagi
Allah, maka tak dapat tidak yang kamu Isbatkan itu sesuatu yang mustahil bagi
Allah. AWAS. Bilamana kamu nafikan sesuatu yang haq bagi Allah maka tak dapat
tidak yang kamu Isbat pun haq bagi Allah jua tiada lain. Maka faham daripada
kata kata ini bahawa tidak syak lagi bilamana kamu Nafikan Zat kamu maka yang
diisbatkan Zat Allah, Nafikan sifat kamu, diisbatkan Sifat Allah, Nafikan A'fal
kamu diisbatkan A'fal Allah, Nafikan asma' kamu, diisbatkan Asma' Allah.
Demikianlah adanya Hakikat Nafi/Isbat yang dikehendakki dibawa didalam
sembahyang.
No comments:
Post a Comment