MAKSUD MENYEMBAH ALLAH
Perbezaan Qasad orang yang
mengerjakan Ibadat
Barangsiapa menyembah Allah kerana suatu yang
diharapnya daripadaNya atau kerana menolakkan ia dengan taatnya akan datang
siksa daripadanya, maka tiadalah ia berdiri pada haq segala SifatNya kerana
bahawasanya Haq Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan
Dia kerana segala SifatNya yang Jamiilah.
Mengikut Ahli Tahqiq, yang
dimaksudkan "Menyembah Allah" bukanlah semata-mata dengan maksud mendirikan
solat, berpuasa, berzikir dan menlaksanakan hak-hak yang dituntut oleh syarak,
dan bukanlah pula hanya bermaksud kepada pengabdian diri yang berkaitan dengan
seluruh hal-ehwal diri sama ada yang berkaitan dengan makhluk atau pun yang
bersangkutan dengan ketuhanan; bahkan jika benar-benar ditahqiq maksud
penyembahan itu ialah sesuatu yang melampaui kepada setiap tilikan dan pandangan
hati kita. Sesuatu, sebagaimana yang terisyarat di sebalik firman
Allah;
"Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah
Allah".
Dengan itu adalah tidak wajar sekali bagi
kamu;
dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang yang ala kadar itu,
mengandungi bersama sesuatu hajat kebaikan, kononnya sebagai penghargaan kepada
apa yang telah kamu kerjakan.
Walaupun bukan kejahatan yang ditujui bahkan
kebaikan diri yang diharapkan, namun adalah tidak patut sekali kamu pertaruhkan
harapan yang baik itu sebagai galang-ganti (balasan/pahala) di atas amal taat
yang dikerjakan itu.
Dan adalah tidak wajar juga, dalam mendirikan segala
taat dan ibadat yang dipelihara itu kita dasarkan keinginan untuk keselamatan
diri di dunia, kesejahteraan hati, keberkatan hidup, keistimewaan-keistimewaan
tertentu yang kononnya boleh menyelamatkan diri kita daripada bala musibah dan
azab siksaNya di Hari Kiamat nanti.
Jikalau ditagihkan juga kebaikan dan
perlindungan tersebut, kerana merasa seperti telah mengerjakan satu ketaatan
yang ikhlas buat Allah, maka ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian,
tiadalah (kamu) berdiri pada haq segala SifatNya yakni selama-lamanya engkau
belum mendirikan Haq-Haq Ketuhanan. Kamu belum lagi berada di atas jalan ibadat
yang lurus, jalan yang tidak dimurkai, jalan yang diredhoiNya. Apa yang
sepatutnya ditiliki oleh seorang hamba yang sempurna Ubudiyahnya ialah kepada
Keesaan Zat itu dengan Kesempurnaan Segala Sifat-SifatNya Yang Indah. Ini adalah
kerana Haq Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia
kerana segala SifatNya yang Jamiilah yakni Haq Ketuhanan yang wajib dilaksanakan
oleh hamba-hambaNya yang ta'bud kepadaNya ialah memerhati dan memandang kepada
Segala Keindahan SifatNya Yang Kamalat (Yang Maha Sempurna) itu. Memerhati
sesuatu dengan disandarkan itulah kenyataan Sifat-Sifat Tuhan Yang Qahar, Yang
Qhani, Yang Rahim dan lain-lain Sifat yang disedari olehnya.
Mereka
sembahyang kerana sedar kepada kenyataan Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi dan
Agung;
Mereka berpuasa kerana sedarnya kepada kenyataan Sifat-Sifat Yang
Menahani, Yang Menyempitkan dan Yang Empunya Kehendak.
Mereka berzakat kerana
sedar tentang Sifat-SifatNya, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah, dan Yang Maha
Adil .
Mereka mengerjakan Haji kerana sedar tentang Panggilan Dan Seruan
TuhanNya menghadapNya.
Inilah Haq Tuhan atas segala hambaNya iaitu
Menghendaki bahawa menyembah mereka itu akan Dia adalah kerana sedar akan nyata
wujudnya segala Sifat Allah yang Jamiilah di setiap yang terzahir pada amal
ketaatannya.
Oleh itu palingkan kejahilan dan kebebalan kita dalam beramal
itu kepada menghadap "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah
Allah".
Kata-kata Sheikh Ibnu A'rabi ini baik sekali sebagai perumus
keterangan di atas.
Rahsia Kemurahan Tuhan itu terzahir pada wujud yang tidak
ada daya upaya kecuali Allah.
Jika anda hendakkan syurga sebagai ganjaran
dari amal-ibadatmu, di manakah kemurahan Tuhan di situ?.
Jika amal yang
anda hendakkan ganjaran itu pun bukan kepunyaan anda, bagaimanakah mungkin anda
pandang kepada amal anda itu?
Maka barangsiapa menyembah Allah kerana
sesuatu, maka ada ia bagi sesuatu itu dan terdindinglah ia kepadaNya
(Allah).
Dengan demikian barangsiapa menyembah Allah kerana inginkan sesuatu
selain dariNya, maka mereka adalah hamba kepada sesuatu yang diingini itu; dan
tertutuplah pandangan mata hati mereka daripada memandang Keesaan
Allah.
Inginkan barakah, hamba bagi barakah.
Ingin nama, kedudukan dan
kemasyhuran di sisi manusia, maka jadilah hamba bagi manusia.
Inginkan
terbuka alam ghaib, hamba bagi alam.
Inginkan balasan pahala, hamba bagi
pahala.
Inginkan syurga, hamba bagi syurga.
Di mana semuanya itu adalah
makhluk Allah. Memandang kepada makhluk dengan melupakan Yang Ampunya Haq
menjadikan mereka terhijab daripada maksud ibadat yang sebenarnya yakni
memandang kepada Segala Sifat-SifatNya Yang Jamil. Maka sayugianya atas hamba
itu bahawa mengerjakan amal ia bagi TuhanNya 'Azzawajalla, kerana JalalNya dan
'AzomahNya, dan barang yang atasNya daripada segala Keelokan SifatNya yang tiada
sekutu dalamNya.
Sayugia di sisi ahli sufi ialah Wajib. Maka wajib atas
mereka mengerjakan amal-taat yang dituntut oleh syarak, dengan kerana sedar dan
dapat memandang Keagungan dan Kebesaran Tuhan dengan segala KesempurnaanNya
daripada segala Keelokan SifatNya yang Esa. Bukan kerana inginkan itu dan bukan
dengan kerana inginkan ini, bukan pula dengan maksud itu dan maksud ini, tetapi
semata-mata tunduk dan sedar kepada KeagunganNya. Jika tidak maka selama-lamanya
diri akan berdosa dan menderhakai Allah dengan kerana masih bersyirik dalam amal
taat yang dikerjakan.
Jikalau menyalah ia akan demikian itu dan mengerjakan
ia atas bahagian nafsunya, maka tiadalah berdiri pada Haq Sifat TuhanNya, dan
adalah yang demikian kejadian daripada Jahil dan Qaflah dan tiada kasihnya bagi
TuhanNya dan tiada makrifatnya.
Jika mereka masih tagihkan itu dan ini,
mahukan itu dan ini kerana merasa punya sedikit kebaikan yang dilakukan, maka
yang demikian itu semata-mata kerana ingin memenuhi bahagian nafsunya yang
tersembunyi. Amat perlu sekali disedari bahawa segala keinginan selain daripada
memandang Allah itu adalah daripada runtunan keperluan hawa nafsunya. Jika sudah
berdiri kepada bahagian nafsu mereka, maka sama sekali tidak akan berdiri pada
Haq Sifat TuhanNya.
Bukankah memilih keinginan nafsu dengan meninggalkan Haq
KetuhananNya menunjukkan betapa mereka ini adalah termasuk ke dalam golongan
mereka yang Jahil dan Qaflah dan tiada kasihnya bagi TuhanNya dan tiada
makrifatnya. Tidak kenal kepada TuhanNya. Yang Bersyirik dan yang menyembah diri
mereka sendiri.
Sungguhpun begitu, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang. Dia Mengatur dan Menyusun aturan kehidupan hamba-hambaNya mengikut
maqam dan martabat yang dikehendakiNya. Dengan itu perbezaan akan sentiasa ada.
Sama ada dari segi maqam atau martabat atau tahap pemahaman dan kesedaran mereka
terhadap Allah. Berlainan maqam, maka berlainan lah hal ehwal dan pengertian
mereka kepada hakikat.
Dan sesungguhnya telah bersalah-salahan segala
qosad orang yang mengerjakan ibadat dengan sekira-kira Maqam mereka itu dan
martabat dan faham mereka itu daripada Allah.
Maqam, martabat dan kefahaman
mereka terhadap Allah itu bergantung kepada segala tujuan hati mereka
yang
mengerjakan ibadat.
Maka barangsiapa menyembah Allah kerana
mengharapkan pahalaNya dan takut siksaNya, maka sah ibadatnya pada hal ijtima'.
Tetapi ceritera daripada Imam Al-Razi atas ketiadaan sah ibadat orang yang
menyembah Allah kerena takut akan siksaNya atau kerana mengharap-harapkan akan
pahalaNya. Ini berkenaan khilaf atau perbezaan pendapat mengenai apakah akan
diterima amal-ibadat mereka yang mengharapkan pahala dan siksa
Allah???.
Mereka yang teliti akan mengamalkan pandangan dari Imam Al-Razi di
atas. Dan kita bersyukur kerana melalui ijtima' ulama di atas, mereka yang masih
bersyirik dengan pahala dan siksaNya masih berpeluang diterima ibadatnya .
Sesungguhnya ini adalah satu kebaikan dan limpah kurnia yang besar dari Allah
'Azzawajalla.
Namun demikian tersangat jauhlah beza keikhlasan dan siddiq
amalan mereka yang menyembah kerana Allah dengan mereka yang menyembah Allah
kerana bahagian dirinya.
Maka jauh lah antara orang yang menyembah kerana
Allah dan antara orang yang menyembah akan Dia kerana bahagiannya.
Memang
berbeza kerana percakapan mereka pun berbeza, hal-ehwal mereka pun banyak
bezanya; mengikut kehampiran dan kefahaman mereka berkenaan dengan Allah Taala.
Maka orang yang Muhaqiq itu iaitu orang yang menyembah akan Dia kerana malu dan
ta'zim.
No comments:
Post a Comment