Bila bercakap tentang nafsu, ramai di antara kita mengatakan atau menganggap ia
sebagai suatu kelakuan jahat yang terbit dari perlakuan seseorang. Ada
sesetengah orang berkata “jangan mengikut nafsu, nanti menjadi lesu” hidup ini
jangan sekali-kali mengikut nafsu kerana ia adalah pekerjaan
syaian.
Pendek kata ramai diantara kita belum lagi mengetahui takrif
nafsu dan juga martabat nafsu. Adapun takrif nafsu boleh dibahagikan kepada dua
(2) iaitu :
Nafsu adalah satu perlakuan naluri manusia yang mendorongkan
perlakuan yang dikuasai oleh iblis laknatullah untuk melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan syari’at dan hakikat Allah swt. Ianya terbit daripada
kekotoran hati manusia dengan Allah swt.
Nafsu juga boleh ditakrifkan
sebagai suatu martabat kelakuan hati dan kalbun manusia di dalam arah tuju ke
martabat kesucian seseorang itu pada hakikat dan makrifat dengan Allah swt.
Ianya boleh ditafsirkan sebagai taraf dan tahap hijab-hijab yang harus ditembusi
oleh manusia untuk mengenal dirinya dan mengenal ia akan Tuhannya.
Adapun
nafsu itu letaknya di cabang hai manusia. Ianya bertindak sebagai dinding
(hijab) perhubungan diantara diri rahsia manusia dengan tuan empunya diri
(Tuhannya).
Oleh itu tugas manusia yang hendak menuju kepada makrifat
hendaklah pula memecahkan ruyung-ruyung hijab ini sehingga ianya sampai ke
martabat yang paling tinggi kemuliaannya di sisi Alah swt. dan bebaslah diri
batin manusia itu untuk bertemu dengan diri empunya Diri pada setiap saat dan
ketika. Tanpa memecahkan ruyug-ruyung nafsu tadi, manusia tidak mungkin dapat
kembali kepada Tuhannya semasa hidup (masih bernafas) atau mematikan dirinya
sebelum mati.
Disamping itu manusia yang hendak menuju ke jalan makrifat
Tuhanya haruslah pula berusaha supaya sampai ke martabat mematikan diri sebelum
mati.
Adapun Martabat Nafsu pada diri manusia itu adalah terdiri dari
tujuh (7) nafsu sebagimana yang termaktub didalam Al-Quran :
Nafsu
AMARAH
Nafsu LAWAMAH
Nafsu MULHAIMAH
Nafsu MUTHMAINAH
Nafsu
RADIAH
Nafsu MARDIAH
Nafsu KAMALIAH
“Sesungguh nya Kami
telah menciptakan ke atas dirimu tujuh jalan (nafsu)”
( Surah
Al-Mu’minun ayat – 17 )
1. NAFSU AMARAH
Nafsu
Amarah itu adalah satu kelakuan hati yang menerbitkan suatu perangai yang
mengandungi sifat-sifat Mazmumah yang terampau banyak.
Manusia-manusia
yang memiliki nafsu Amarah biasanya memiliki sifat-sifat Mazmumah iaitu sifat
yang dikeji oleh Allah swt. Iaitu sifat-sifat seperti dengki, khianat, iri hati,
pemarah, berang, emotional mengikut hati dan lain-lain lagi. Biasanya mereka
yang dikuasai nafsu Amarah bertindak mengikut fikiran tanpa menggunakan akal.
Kadang kadang mereka merasa diri merekalah berkuasa dan semuanya adalah hak
mereka. Mereka boleh bersultan di mata dan beraja di hati. Seperti Firman Allah
:
“Sesungguhnya Nafsu Amarah itu sentiasa menyuruh berbuat
jahat”
(Surah Yusof – ayat 53)
dan FirmanNya lagi
:
“Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa
nafsunya menjadi Tuan dan dia disesatkan Allah kerana Allah mengetahui
(kejahatan hatinya) lalu di tutup Allah pendengarannya (telinga batin), mata
basirnya dan tetap tertutup.”
(Surah Al-Jaashiah – ayat
23)
Dan sesungguhnya orang-orang yang dikongkongi oleh nafsu Amarah
biasanya tak ahan di uji dan jika di uji dengan satu-satu entuk ujian atau satu
cabaran dan dugaan mereka terus melenting bertindak mengikut fikiran dibawah
hasutan syaitan dan kuncu-kuncunya.
Pada peringkat nafsu ini, manusia tetap
dikuasai oleh iblis, jiwa mereka sentiasa tegang, fikiran sentiasa kusut,
pegangan hanyut dan hati jarang-jarang sekali mengingati Allah
SWT.
Mereka di peringkat nafsu ini akan mengingati Tuhan ketika susah dan
melupaiNya ketika senang seperti firman Allah di dalam Al-Quran
:
“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia
berpaling dan menjauhkan diri, tetapi bila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak
berdoa.”
(Surah Fusilat – ayat 51)
Mereka juga bertindak di
dalam sesuatu hal, langsung tidak berpandu kepada syariat Allah swt. tetapi
mereka lebih berpandukan fikiran, angan-angan dan tidak pula penah terbit pada
hati mereka satu perasaan salah terhadap sesuatu kesalahan yang mereka sendiri
lakukan.
Sesungguhnya nafsu Amarah ini adalah nafsu binatang. Malahan
ianya lebih hina daripada binatang bagi mereka yang menguasai nafsu
Amarah.
Mereka mempunyai hati yang tidk memerhati, mempunyai mata yang tidak
melihat, mempunyai pendengaran yang tidak mendengar, malahan boleh disifatkan
mereka ini sebagai seekor binatang yang berupa manusia.
Seperti firman
Allah di dalam Al-Quran :
“Akan di campakkan ke dalam neraka
Jahanam daripada golongan-golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak
memerhati, yang mempunyai mata tidak melihat, yang mempunyai pendengaran tidak
mendengar, mereka itu adalah seperti binatang, malahan lebih hina daripadanya
dan mereka lah termasuk daripada orang-orang yang lalai”
(Surah
Al-A’araf – ayat 179)
Perlu juga diingatkan bahawa bagi orang-orang yang
dikuasai oleh nafsu Amarah biasanya suka bersifat bermuka-muka dengan sesuatu
yang diperolehinya dan suka memperbodohkan kelemahan orang lain walaupun rakan
karibnya sendiri. Mereka mencela orang lain dan membayangkan dialah orang yang
paling baik dan sempurna. Mereka bertindak menjaja keburukkan orang kepada orang
lain dengan harapan keburukkan orang itu dapat memberi keuntungan kepada diri
mereka.
Mereka ini tidak ubah seperti ayam balor yang mempunyai bulu yang
elok tetapi tahi melekat di badannya.
Justeru daripada itu, adalah
menjadi kewajipan diri manusia tersebut haruslah menyucikan sifat-sifat nafsu
Amarah tadi supaya terbitnya sifat-sifat murni dan hilangnya sifat-sifat
mazmumah dalam diri manusia itu seperti firman Allah :-
“Demi
nafsu (manusia) dan kesempurnaan (kejadian) maka Allah mengilhamkan kepada nafsu
itu jalan kefaskan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang
menyucikan nafsunya”
(Surah Asy Syam – ayat 7-10)
Oleh yang
demikian maka seseorang itu hendaklah berguru dan berzikir menyucikan diri nya
mengikut petua-petua yang diberi oleh guru mereka di dalam usahanya membersihkan
dirinya dengan Allah swt.
Maka beramal lah mereka dengan petua-petua yang
diberi oleh gurunya sehinggalah terbitnya peningkatan ke satu martabat nafsu
yang seterusnya yang bernama nafsu Lawamah.
Zikir orang-orang Amarah
biasanya di lidah tanpa menyerap di dalam hatinya. Zikir nya kosong tidak
bertenaga dan bermaya dan sesungguhnya zikir adalah merupakan klorox bagi
menyucikan kekotoran hati yang tidak boleh dicucikan oleh jenis-jenis
sabun.
Jiwa mereka pada masa ini kosong hubungan dirinya dengan Empunya
Diri adalah terputus langsung. Malahan diri rahsianya dihijab tebal daripada
Allah swt. Diri batinnya kurus melidi, sakit tersiksa sedangkan badan zahirnya
gemuk dan sihatnya seperti ubi kayu di tanah bukit, sedang tubuh batinnya di
anai-anaikan oleh nafsu Amarah.
Penyakit Nafsu Amarah ini jika dibiarkan
menular pada jiwa manusia ianya menyebabkan bertimbunnya pada hakikat
selaput-selaput tebal, gelap dan kemas untuk mengingati Tuhannya. Dan hidupnya
terus hanyut tidak berpedoman sebagai kabus di waktu pagi ataupun bagai awan di
langit. Sesungguhnya bagi mereka yan dikuasai nafsu Amarah merekalah termasuk di
dalam golongan manusia yang rugi di sisi Allah SWT.
2. NAFSU
LAWAMAH
Pada peringkat nafsu Lawamah manusia telahpun dapat
menguasai satu perasaan semacam melarang seseorang manusia itu melakukan sesuatu
kesalahan kezaliman dan apa saja yang ditegah oleh syariat.
Perasaan ini
timbul pada sudut-sudut hatinya pada setiap ketika mereka melakukan sesuatu
kesalahan, maka bisikan di dalam hati mereka inilah dinamaan
Lawamah.
Sesungguhnya Lawamah ini bolehlah diibaratkan seperti lampu
isyarat (Alarm) di dalam sebuah kereta di mana lampu ini akan menyala berwarna
merah/kuning bila kereta tersebut kehabisan minyak dan mengisyaratkan tuannya
supaya mengisi minyak baru sebelum bahaya merempuh datang dari hadapan. Bagi
mereka yang mempunyai Lawamah (isyarat larangan) dan mereka pula mematuhinya
dengan penuh rasa tanggungjawab, maka mereka akan terselamat dari bahaya yang
datang dari gejala-gejala nafsu Amarah yang masih berdaki laput di dalam
jiwanya.
Sebaliknya jika seseorang itu yang telah meningkat ke martabat nafsu
Lawamah tetapi tidak mematuhi isyarat larangan Lawamah, maka lama-kelamaan
isyarat tersebut akan padam dan akan kembali lah mereka kepada nafsu
Amarahnya.
Zikir mereka pada martabat nafsu Lawamah biasanya masih
melekat di bibir tetapi kadang-kadang mulai telah menyerap masuk ke dalam
hatinya dan keadaan tersebut tidak tetap. Maka haruslah seseorang itu meneruskan
zkirnya sebagaimana yang dipetuakan oleh gurunya dengan tabah.
Mereka pada
martabat ini masih lagi bergelumang dengan daki sifat-sifat Mazmumah tetapi
ianya mulai menurun ke satu tahap minima. Sifat-sifat seperti gelojoh, marah,
lekas melenting, hasad dengki dan lain-lain sifat terkeji mulai mengurang hasil
kepatuhannya terhadap isyarat Lawamah yang terbit dari sudut hatinya. Kekusutan
fikirannya telah pun menurun dan mereka mulai merasa segan untuk melakukan
sesuatu dari sifat Mazmumah malahan mereka sering menyesali di atas sikap-sikap
zalim yang pernah dilakukan oleh mereka dahulu.
Seperti firman Allah di dalam
Al-Quran :
“Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali
dirinya sendiri”
(Surah Al-Qiyaamah – Ayat 2)
Maka dengan
ketekunan mematuhi isyarat serta kuat pula berzikir maka tingkatan nafsu mereka
akan meningkat ke martabat nafsu ketiga yang dinamakan Nafsu Mulhamah.
Pada
peringkat nafsu Lawamah seseorang itu telahpun dapat menerima ilmu Ghaib melalui
Laduni pada peringkat NUR atau mimpi di dalam tidurnya dan kadang-kadang pula
dapat menerima ilmu Laduni di peringkat tajalli. Oleh yang demikian maka
seseorang itu haruslah pula berusaha dengan tekun dan sabar mengikuti
petua-petua gurunya dan jangan sekali leka, semoga peningkatan martabat nafsunya
akan tecapai.
3. NAFSU MULHAMAH.
Setelah
seseorang itu berjaya mengikuti petua-petua daripada gurunya dan menerima
teguran isyarat Lawamah dengan patuhnya, maka seseorang itu akan tercapai tahap
nafsu yang lebih tinggi dan mulia martabatnya daripada nafsu Amarah dan nafsu
Lawamah.
Adapun yang dimaksudkan dengan nafsu tersebut adalah nafsu
Mulhmah. Pada peringkat nafsu ini seseorang itu telahpun dapat menyingkir
sebahagian besar daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah swt. Jiwa mereka
pada masa ini telah pun mulai berkembang sifat-sifat tenang, lapang dadanya dan
mereka telah pun dapat pengajaran ilmu ghaib melalui jalan Laduni, diperingkat
Nur dan Tajalli daripada Tuhannya. Tetapi manusia diperingkat ini masih wujud
lagi terkadang-kadang siat-sifat Mazmumah yang dikeji oleh Allah swt. Jiwa
mereka kadang-kadang tenang dan ada masanya fikirannya gelabah, gelisah dan
sebagainya. Pendek kata sifat-sifat Mazmumah itu masih lagi melanda jiwa
mereka.
Zikir mereka di peringkat ini telah pun mulai melekat di hati dan
bukan lagi melewa-lewa di lidah sahaja. Walaubagaimanapun tidak lah bermakna
yang zikirnya di peringkat ini 100% telah tetap di hati mereka. Di samping itu
pada tahap Mulhamah ini, isyarat larangan Lawamah tetap berkembang malah lebih
membesar dan sesungguhnya pada peringkat zuk ini mereka telapun dapat menerima
perasan zuk (mulhamah) dengan zikirnya dan dapat lah sedikit sebanyak menerima
nikmat zikir yang diamalkan. Sesungguhnya tugas tersebut haruslah dilakukan
bersungguh-sungguh dan lebih bekerja keras untuk meningkat martabat nafsu
Mutmainah yang diakui syurga oleh Allah Taala.
Di dalam masa mereka
menerima zuk di dalam zikirnya serta dapat pula mereka merasai nikmat zikirnya,
maka seseorang itu diperingkat Mulhamah pula akan menerima satu lagi penyampaian
ilmu ghaib melalui Laduni di peringkat Sir iaitu di mana seseorang itu akan
dapat mendengar satu suara ghaib yang mengajar dirinya tentang ilmu ghaib
melalui telinga batin.
Biasanya suara Ghaib itu adalah suara guru ghaib yang
terdiri daripada wali-wali Allah yang Agong yang mengajar seseorang itu dengan
terang dan jelas.
4. NAFSU MUTMAINAH
Setelah
mencapai suatu martabat Mulhamah dan berjaya pula mengikut petua-petua gurunya
serta dapat pula menerima zuk dan sir di samping hilang pula segala sifat
mazmumah pada dirinya. Maka seseorang itu akan mendapat ketenangan, kelapangan
jiwanya, hilang sifat-sifat resah gelisah hatinya.
Hatinya ketika itu mulai
melekat rasa lamunan asih terhadap Allah swt dan mereka ini adalah dijamin 100%
oleh Allah syurga, maka itu lah mereka yang telah berjaya mencapai ke martabat
nafsu Mutmainah.
Seperti firman Allah di dalam Al-Quran
:-
“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Alah itu
tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati iaitu
orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira
di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.”
(Surah Yunus – ayat 62 –
64)
Dan firman Allah Taala lagi :-
“Wahai orang yang
bernafsu Mutmainah pulanglah ke pangkuan Tuhanmu dengan perasaan lapng dan
kesenangan dan jadilah kamu hambaKu dan kekallah dirimu di dalam
syurga.”
(Surah Al-Fajr – ayat 27-30)
Zikir mereka pada
martabat ini telahpun melekat dihati dan terus bersama ingatan dengan Allah
Taala pada setiap masa dan ketika. Dan pada peringkat ini mereka telahpun
mendapat kalbun iaitu satu cahaya yang bergerak diantara atas dan bawah pada
bahagian jantung yang bertindak sebagai dynamo untuk mengalirkan current ingatan
kasih mesra, cinta rasa dengan Allah swt.
Pada peringkat martabat ini
seseorang manusia itu bolehlah disifatkan telah mencapai martabat wali iaitu
dinamakan oleh para ahli Tasauf sebagai Wali Kecil. Disamping telahpun mulai
menerima Ilmu Ghaib (Laduni) melalui cara sirusir dan telahpun berjaya mendapat
mata basir.
Pada peringkat nafsu Mutmainah ini juga, mereka telahpun
dapat menerokai dengan pendengaran dan penglihatan mereka melalui telnga batin
dan mata basir merekake alam barzah (alam kubur). Merea telahpun boleh melihat
dengan mata kepala mereka sendiri, bagaimana nasib suka duka seseorang itu yang
telah meninggal dunia dan berada di alam barzah serta diberi peluang juga
melawat ke alam lain (alam ghaib).
Pada peringkat ini, timbul lah
sifat-sifat super yang tidak boleh dimiliki oleh orang-orang awam seperti
keramat, mulut masin, berkat da sebagainya. Bagi mereka diperingkat ini sering
dilamun perasaan pana akibat kuatnya gelora lamunan cinta terhadap Allah
swt.
5. NAFSU RADIAH
Setelah mencapai
martabat nafsu Mutmainah dan gigihnya pula melatih dirinya untuk makrifat dengan
Allah swt., maka seseorang itu akan ditingkatkan lagi iaitu martabat nafsu
Radiah.
Zikir mereka pada martabat ini tetap berada dihatinya dan ucapan
zikirnya pula dihatinya semata-mata. Mereka tidak pernah leka, lalai dari
ingatannya dengan Allah swt.
Mereka sering mengalami pana’ akibat kuatnya
gelora lamunan cinta dirinya dengan Allah swt. Mulut mereka sering terlatah
tentang sesuatu yang bertentangan pada pandangan zahir syaria, hidupnya terus
terampungan bersama Allah swt.
Pada martabat ini jiwa mereka telahpun
suci, hatinya bersih hening dan setiap apa yang dilakukan olehnya samaada dengan
mulu, tingkah laku, semuanya mulaimendapat keredaan Allah swt. Adapun pana’
mereka diperinkat nafsu Radiah ini adalah dinamakan pana’ kalbi iaitu hatinya,
nuraninya terus dilambung perasaan cinta terhadap Allah swt pada setiap saat di
dalam masa hayatnya.
Mereka diperingkat ini sering di jemput oleh para
Wali-Wali Allah yang agong untuk menjelajahi ke alam-alam ghaib yang lebih jauh
keluar daripada pemikiran manusia di samping mereka terus di ajar tentang ilmu
ghaib yang lebih tinggi dan teknologi ilmu Allah yang tinggi yang sudah tentu
tidak boleh ditandingi oleh teknologi manusia.
Disamping itu mereka boleh
membuat perhubungan terus dengan para rasul, nabi-nabi, aulia dan para wali-wali
Alah yang agong dan mereka dapat berbincang hal-hal yang berkaitan dengan ilmu
ghaib dan tentang petua-petua makrifat dengan Allah swt.
Perhubungan mereka
dibuat melalui Nur, Sir dan Sirusir di dalam masa mereka membuat sesuatu
perhubungan dengan para rasul-rasul, nabi-nabi, aulia dan para wali-wali Allah
ini mereka akan dapat menikmati satu kelazatan yang payah sekali untuk
diterangkan disini dan ianya hanya boleh dirasai sendiri oleh mereka yang telah
sampai ke martabatnya.
6. NAFSU MARDIAH.
Bagi
mereka yang mencapai martabat nafsu Mardiah, jiwa mereka bakabillah iaitu
hatinya, kalbunya dan jasadnya sekali mempunyai perasaan cinta yang amat sangat
terhadap Allah swt. Jiwanya tenang, lapang tidak gelisah malahan seluruh jiwa
raganya tertumpu kepada Allah semata-mata. Zikir mereka diperingkat ini tetap
bersemadi di dalam kalbun dan tidak pernah pun lalai dan lupa kepada Allah,
walaupun sesaat di dalam hidupnya.
Pada peringkat ini mereka telah pun
dapat menerima tetamu-tetamu agong yang terdiri daripada rasul, nabi-nabi, para
ariffinbillah, para sidiqqin dan para wali-wali Allah di samping mereka juga
dapat menerima ilmu ghaib dan teknologi Allah melalui Laduni di peringkat
TAWASSUL.
Disamping itu mereka juga telahpun berpeluang menjelajahi seluruh
alam maya dan alam ghaib yang lan termasuk syurga, neraka, Arasy dan Kursi Alah
swt. Sebagaimana jaminan Allah di dalam firmannya di dalam Al-Quran
:-
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya dia akan
mengadakan baginya jalan keluar (ke alam lain)”
(Surah Al-Talak –
ayat 2)
Di dalam hal pemecahan wajah dirinya, sesorang diperingkat ini
telah mendapat wajah di antara 7 wajah ke 8 wajah bergantung kepada badan
masing-masing.
7. NAFSU KAMALIAH.
Adapun yang
dimaksudkan dengan Kamaliah ini adalah keadaan telah berkamil atau bersebati
kelakuan diri zahir dengan kelakuan diri batin pada kontek dirinya dengan Allah
swt. di dalam hidupnya.
Pada martabat ini, apa saja kelakuan diantara
diri batin dan jasad adalah sama dan tidak bercerai tanggal diantara satu dengan
yang lain. Dimana setiap perlakuan yang dilahirkan oleh mereka di martabat ini
direstui dan diredhai oleh Allah Taala secara spontan. Keadaan ini dinamakan
Kata Jadi ( Kun Fayakun ). Pendek kata, barang kata barang jadi, mereka ini nak
dikatakan sakit, amat sakit, kalau keramat amat keramat, kalau alim teramat alim
dan mereka mempunyai segala kelebihan yang tidak boleh sekali diterokai oleh
manusia awam.
Sesiapa saja yang tercapainya ke martabat nafsu ini
(Kamaliah) mereka boleh berpeluang pula menerima ilmu syahadah iaitu Ilmu Allah
yang paling tertinggi yang dapat melalui guru yang dinamakan guru
batin.
Bagi mereka yang telah mencapai martabat nafsu Kamaliah, mereka
hendaklah pula berusaha mengembalikan dirinya ke martabat nafsu orang mukmin
iaitu nafsu Mutmainah. Mereka tidak harus tinggal lama di martabat nafsu
Kamaliah. Mereka harus menjadikan diri mereka kembali kepada orang awam, bergaul
berniaga, berpolitik dan menjadi khalifah di alam maya tetapi jiwa raganya tetap
bersama Allah buat selama-lamanya sehingga darjat dirinya payh ditelah oleh
orang ramai dan ini boleh disebut sebagi orang alim tidak alim, orang jahil
tidak jahi. Pendek kata sifa manusia yang sempurna dan sederhana dimiliki oleh
mereka di martabat ini dan mereka mulia di dunia dan akhirat.
Oleh itu
wahai teman-teman dan anak-anak, tuntutilah Ilmu Tasauf sehingga tercapai
martabat yang bapak coretkan ini, semoga kita bersama selmat di dunia dan
akhirat.
“Berbahagialah engkau yang mencapai
martabatnya”
Wassallam.
No comments:
Post a Comment