BEBERAPA AMALAN YANG “TERBALIK"
Marilah kita bermuhasabah
atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang
kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.
Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya
hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan
yang terbalik:-
1. Amalan kenduri aruah
beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian
(malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa
yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran
tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan
mereka.
Keluarga tersebut telah
ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang
datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makankenduri tersebut khuatir
kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau
harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut
Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri
walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang
diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka
segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak
segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah
kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana
tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri
majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik
kemas dan segak tetapi
bila mengadap Allah baik di rumah maupun di
masjid, pakaian lebih
kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang
terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di
rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang
dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan
makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak
membazir.
5. Kalau bersolat sunat di
masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya
solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah
untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah
bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan
orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan
kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.
Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah
terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan
haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan
apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.
Anjuran berkenduri dalam
Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri,
bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.
Bukankah amalan ini
terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat
bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas
tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau
solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas
khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu
pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20
kali hadir belajar pun menggeletar tangan.
Bukankah terbalik amalan
kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika
anak tidak dapat baca Al
Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar
rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau
ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah
Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya
segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau
nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias.
Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut
seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain.
Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Perempuan bertudung
hanya untuk nampak anggun, cantik dan hanya bertudung di dalam majlis-majlis
tertentu sahaja, Sedangkan perempuan wajib bertudung (menutup aurat) di mana
sahaja apabila dia keluar dari rumahnya. Pemakaian tudung adalah tuntutan
agama, bukannya kerana peraturan manusia dan bukannya untuk dipermain-mainkan.
Mempermain-mainkan peraturan Allah boleh membawa kepada keguguran iman
seseorang.
Cukup dengan contoh-contoh
di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita
beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam
yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.
Allah yang mencipta kita
maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
Sabda Rasullullah SAW:
"Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."(Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment