“Dihalalkan bagimu pada malam Ramadan untuk bersetubuh dengan
isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi
mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri,
tetapi dia menerima taubat mu dan memaafkan kamu...” (al-Baqarah:187)
Suami isteri itu diibaratkan sebagai pakaian satu sama lain. Suami
adalah pakaian isteri dan isteri adalah pakaian suami. Pakaian berfungsi untuk
melindungi, memberi keselesaan, mencantikkan, menggambarkan peribadi, menutup
kelemahan, menampakkan kelebihan dan sebagainya.
Daripada perkara tersebut dapat kita ambil beberapa pelajaran di
sini:
-
Suami sebagai pakaian isteri
-
Perlindungan fizikal
Suami adalah pelindung isteri daripada sebarang bahaya yang mengancam
dirinya, baik dari seorang lelaki lain yang berkeinginan buruk terhadapnya
mahupun dari sebarang bentuk ketidakadilan yang berlaku pada isteri. Secara
mudahnya dapat kita simpulkan, suami perlu melindungi isterinya dan menyayangi
isterinya sebagaimana dia melindungi dan menjaga dirinya sendiri daripada
sebarang bahaya dan malapetaka.
-
Perlindungan mental
Suami juga turut berperanan mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada
isterinya. Isteri adalah orang yang paling banyak berinteraksi dan mendidik
anak, lantas kebahagiaan dan kebijaksanaan anak itu tergantung banyak kepada
kebijaksanaan isteri. Pendapat yang mengatakan islam cuma menyuruh isteri tidak
perlu berpendidikan tinggi adalah silap. Di dalam islam terlalu banyak
contoh-contoh isteri yang menjadi ulama’ dan tempat rujukan masyarakat terutama
kepada wanita juga. Bahkan Rasulullah SAW telah menumpukan sebahagian masa
beliau yang sangat berharga itu untuk mendidik ummahatul mukminin (gelaran bagi
isteri-isteri nabi) dan seluruh kaum wanita .
Pendidikan bagi para isteri merupakan tanggungjawab seorang suami.
Suami tidak boleh melepaskan tangan terus daripada tanggungjawab ini. Isteri
perlu diajarkan semua pelajaran yang diperlukan olehnya dalam menunaikan
tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. Selain itu yang lebih utama isteri
perlu diajarkan tentang pendidikan agama agar suami isteri nanti sama-sama
mendapat keredhoan daripada Allah yang bermakna ganjarannya syurga.
-
Perlindungan iman
Isteri juga perlu dibimbing dengan keimanan dan ketakwaan. Suami akan
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti seandainya isterinya tidak dapat
bersama-samanya memasuki syurga. Allah berfirman, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan
keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu....”
(at-Tahrim:6)
Mengapa masih ada keraguan lagi bagi seorang wanita
untuk bergelar isteri? Anda akan mendapat kasih-sayang, perlindungan, ilmu,
pelajaran, bimbingan, dan perhatian penuh dari seorang yang bernama suami. Malah
di dalam sebuah hadis nabi, “Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Ketika seseorang masuk syurga, ia menanyakan orang tua, isteri dan
anak-anaknya. Lalu dikatakan kepadanya, “Mereka tidak mencapai darjat amalan
mu.” Dia berkata, “Ya tuhanku, aku beramal bagiku dan bagi mereka.” Lalu Allah
memerintahkan untuk memasukkan keluarganya ke syurga menyusulinya.” Setelah itu
Ibnu Abbas membacakan, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka
mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka,
dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia
terikat dengan apa yang dikerjakannya.”(at-Thuur:21)
-
Perlindungan naluri
Suami bertanggungjawab memuaskan nafsu isteri selagi mampu.
Sesetengah ulama' mewajibkan suami menyetubuhi isterinya minimal setiap kali dia
suci dari haidh bermakna sebulan sekali. Sesetengah yang lain mewajibkan tidur
bersama isteri minimal sehari dalam empat hari.
-
Perlindungan dari melakukan kesilapan
Seseorang itu sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang
yang tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan
berani menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri
kita. Lantas suami lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita
sehari-hari dan akan menjadi orang yang pertama menegur setiap kesilapan diri
kita.
-
Perlindungan-perlindungan yang lain
Suami juga perlu berlemah lembut dengan isterinya. Rasulullah SAW
bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling
baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”1
-
Isteri sebagai pakaian suami
Begitu juga seorang suami, pernikahan bagi anda
mewajibkan seorang wanita untuk patuh terhadap segala suruhan anda selagi tidak
bertentangan dengan suruhan Yang Esa. Pernikahan menjadikan seorang isteri hanya
akan menumpukan seluruh hidupnya untuk menemani segala perjalanan yang anda
pilih untuk melaluinya.
-
Perlindungan maruah dan kehormatan
Isteri
adalah penjaga maruah suami. Isteri perlu menjaga dirinya tatkala suami keluar
dari rumah. Isteri lah yang menguruskan rumah tangga suaminya sehingga seorang
suami dapat memberikan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Berapa ramai
isteri-isteri orang-orang besar yang tidak dikenali. Mereka telah berjaya
menguruskan rumah tangga mereka dengan baik sehingga suami-suami mereka berjaya
menjadi seorang yang terhormat di mata masyarakat.
Peranan
yang cukup besar ini diakui oleh barat sendiri, mereka meletakkan peraturan
harta sepencarian yang memberikan isteri separuh dari harta suami seandainya
mereka bercerai.
-
Perlindungan naluri
Isteri wajib menerima ajakan suami ke tempat tidur
seandainya tiada alasan yang syar'i seperti sakit dan sebagainya. Ini jelas
dinyatakan di dalam hadis, “Dari Abu Hurairah ra, Nabi s.a.w telah bersabda,
“Apabila seorang isteri tidur dengan keadaan lari dari katil suaminya iaitu
tidak mahu disetubuhi, para Malaikat melaknat nya sehingga dia bangkit dari
tidurnya di waktu pagi”
(Hadis
riwayat Muslim)
-
Perlindungan iman
Isteri juga bertanggung jawab menjaga iman suaminya atas dalil yang
sama, “ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah
dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan
batu....” (at-Tahrim:6)
-
Perlindungan dari melakukan kesilapan
Seorang sukar sekali mendapat teguran yang jujur dari orang yang
tidak mengasihinya. Hanya orang yang benar-benar kasih kepada kita akan berani
menanggung risiko di marahi untuk menegur kesalahan dan kesilapan diri kita.
Lantas Isteri lah orang yang akan sentiasa memerhati perbuatan kita sehari-hari
dan menegur setiap kesilapan diri kita.
-
Perlindungan dari membukakan keaiban
Seorang
isteri akan menjaga keaiban diri suaminya dari mata masyarakat kerana suaminya
adalah sebahagian dari dirinya sendiri.
Begitulah
keindahan mendapat pakaian suami atau isteri. Pernikahan yang sebenarnya
memberikan kita seorang pembantu setia yang kebanyakkan masa dalam kehidupannya
akan dihabiskan kepada kita. Segalanya akan dikongsi bersama, susah dan senang,
sakit dan gembira, semuanya dihadapi berdua.
1Diriwayatkan oleh Tirmidzi, lafaz ini sahih baginya.
Al-Hakim berkata, “para perawinya terpercaya berdasarkan syarat Bukhari dan
Muslim”
No comments:
Post a Comment