Wednesday 14 December 2011

mengubah peribadi...

Bagi mereka yang ingin mengubah peribadi diri menjadi lebih baik, menikahlah, insya'Allah anda akan merasakan perubahan dalam diri anda. Masakan anda tidak berubah, anda akan mempunyai seorang teman yang setia menemani anda di mana sahaja anda berada.


“Dahulu anda adalah manusia biasa bebas yang boleh pergi sesuka hati. Tetapi sejak pagi ini , apabila anda masih belum pulang setelah larut malam, di rumah anda ada seorang wanita yang tak dapat tidur kerana cemas memikirkan tentang anda. Kini, bila berhari-hari anda tidak pulang ke rumah tanpa berita, di kamar anda ada seorang perempuan lembut yang akan membasahi bantalnya dengan linangan air mata. Dahulu, bila anda mendapat musibah, anda hanya akan mendapat ucapan, “turut berduka cita” dari sahabat-sahabat anda. Tetapi kini, seorang isteri akan bersedia mengorbankan apa saja agar anda meraih kembali kebahagiaan anda. Anda sekarang mempunyai kekasih yang diciptakan Allah untuk berbagi suka dan duka dengan anda.”
1



Begitulah suatu perubahan besar yang akan berlaku pada diri anda setelah anda melangkahkan kaki melewati gerbang pernikahan. Setiap yang anda lakukan bukan lagi cuma memberi kesan terhadap diri anda sendiri, akan tetapi turut memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan isteri. Insya'Allah semua itu akan banyak merubah peribadi anda.



Istilah kuasa percintaan yang dapat merubah segalanya bukanlah suatu yang jarang kita dengar. Biasanya istilah tersebut dipakai oleh orang yang bercinta di luar pernikahan. Bahkan yang paling selalu kita temui adalah dari filem hindustan. Bertapa besar kuasa cinta yang mereka momok kan. Mereka sanggup merubah diri kerana cinta mereka terhadap pasangan. Itu adalah cinta yang cuma berasaskan nafsu. Cinta yang cuma berasaskan instinct atau naluri menginginkan pasangan. Demi cinta yang sedemikian kita dapat lihat berapa ramai orang yang membunuh diri. Tak kurang ramai juga yang berjaya dalam hidup mereka kerana cinta.



Suatu pepatah ada menyebutkan, “di sebalik setiap lelaki yang hebat, ada seorang wanita yang hebat juga.” Selagi anda masih belum mendirikan rumah tangga, semuanya cuma khayalan semata-mata. Seorang pasangan yang masih tidak bersedia berkongsi hidupnya dengan anda dengan suatu ikatan yang sah adalah seorang yang masih boleh diragukan cintanya. Perhubungan yang tidak berdasarkan cinta adalah perhubungan yang goyah, malah boleh menjerumuskan diri ke dalam dosa. Bagaimanakah sebuah perhubungan yang berasaskan dosa boleh membawa kebaikan kepada diri anda? Mungkinkah Tuhan yang mengetahui segala-galanya menjadikan perbuatan yang membawa kebaikan kepada diri seorang manusia sebagai perbuatan yang berdosa?



Lihatlah pada semua yang diberi tanda dosa, apakah ada kebaikan padanya? Lihat pula pada semua yang diberi tanda pahala, apakah ada sebarang keburukan padanya? Kalaupun anda menjawab ada! Maka ianya tidak lebih dari apa yang difirmankan oleh Allah SWT, “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (2.219)

1Ini adalah sebuah khutbah nikah yang disampaikan oleh Jalaluddin Rahmat.

No comments:

Post a Comment