Wednesday 14 December 2011

menjaga diri dari melakukan maksiat

Kadang-kadang perkataan maksiat itu sudah tidak berapa memberi kesan yang mendalam kepada kita. Seringkali apabila diingatkan oleh kawan-kawan supaya menjauhi maksiat, maka yang tergambar hanyalah perbuatan zina. Sedangkan maksiat mempunyai maksud derhaka. Maka segala penderhakaan yang dilakukan manusia terhadap tuhannya adalah maksiat. Dengan ini maksiat merangkumi seluruh perbuatan dosa baik kecil mahupun besar.


Suatu hari Imam Syafi’i duduk di hadapan Imam Malik. Dia membacakan sesuatu yang membuatkan Imam Malik berasa kagum. Imam Malik sangat mengagumi kecepatannya dalam menangkap pelajaran, kecerdasannya, dan pemahamannya yang sempurna. Imam Malik berkata “Aku telah melihat bahawa Allah telah meletakkan sinar di dalam hatimu. Jangan padam sinar itu dengan kegelapan maksiat”. Imam Syafi’i menjawab, “Aku mengadukan hafalanku yang buruk kepada Waki’. Ia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Waki’ berkata, “Ketahuilah bahawa ilmu Allah itu anugerah dan anugerah Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat”.


Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam bukunya “ad-da’ wa ad-dawa’”, ( penyakit dan ubat ), menerangkan keburukan maksiat kepada seorang pelakunya:



Maksiat akan membuat seseorang itu :

  1. Terhalang daripada Ilmu,
  2. Berkurangnya rezeki,
  3. Timbul kegelisahan dan kekacauan di dalam hati,
  4. Urusannya menjadi bertambah sukar,
  5. Hatinya akan menjadi gelap,
  6. Badan dan jiwanya akan melemah,
  7. Dia akan terhalang dari melakukan ketaatan,
  8. Umur dan keberkatan padanya akan berkurang,
  9. Keinginannya melakukan kebaikan akan hilang,
  10. Maksiat akan berkumpul padanya,
  11. Dia akan menjadi hina di hadapan Allah SWT,
  12. Dia akan sentiasa berasa cemas,
  13. Dia akan menjadi hina,
  14. Akalnya akan merosak,
  15. Dosa yang telah menompok akan terus terpahat di hatinya
  16. Dosa yang masuk ke dalam hati itu akan menyebabkannya mendapat laknat Rasulullah SAW.
  17. Tidak akan termasuk dalam golongan yang didoakan oleh Rasulullah
  18. Menimbulkan kerosakan di muka bumi
  19. Hilang sikap Malu
  20. Hilang keesaan Allah dalam hatinya
  21. Lupa kepada Allah
  22. Menghalau Ihsan dari pelakunya
  23. Menghilangkan nikmat dan menghalalkan dendam
  24. Mendatangkan rasa takut, khuatir, cemas
  25. Membutakan pandangan daripada kebenaran
  26. Mengecilkan Jiwa
  27. Menjadikan pelakunya tawanan syahwat
  28. Menjatuhkan Martabatnya di hadapan Allah dan manusia
  29. Mendatangkan celaan
  30. Mempengaruhi akal
  31. Memutuskan hubungan seorang hamba dengan tuhannya
  32. Menghinakan orang di hadapan diri sendiri
  33. Membutakan hati dan melemahkan kesedaran1



Bertapa banyaknya kesan dari melakukan maksiat itu terhadap diri si pelakunya. Sehingga seandainya saya memberi komen tentang setiap satu daripada kesan-kesan ini sudah cukup untuk menghasilkan satu bab yang lain. Tidak cukup besarkah maksiat itu sehingga seorang manusia harus takut kepadanya?. Tidak cukup bahayakah maksiat itu sehingga saya menjadikannya di antara sebab utama saya melangkahkan kaki memberanikan diri untuk berkahwin?.



Peraturan dan budaya masyarakat atau bimbingan ilmu pengetahuan memberi 3 pilihan kepada kita sebagai jalan keluarnya. Ketiga-tiganya buruk, kecuali yang keempat, iaitu jalan yang diberikan Allah, iaitu…. berkahwin !!!

Ketiga-tiga alternatif tersebut adalah:



Pertama : Menuruti fitrah dan bayangan impian nafsu syahwat. Selalu mengisi fikiran dengan gambar-gambar lucah, sama ada menerusi filem, cerita kotor, gambar dan potret perempuan telanjang. Apa yang dikhayalkan, dilihat, dibaca dan didengar ialah wanita yang tidak senonoh. Kesemua itu dapat dilihat setiap waktu. Bangun tidur kelihatan di dinding kamar, membaca buku pelajaran, terpamer di meja, pendek kata di setiap kegiatan, sama ada di alam sedar ataupun mimpi. Cara untuk melupakan dengan jalan seperti ini bukan sahaja tidak berjaya, tetapi justeru akan membayangi dan mengganggu fikiran, sehingga akan merosakkan saraf dan mengakibatkan gila atau putus asa.



Kedua : Melakukan onani (istimnaa). Kebiasaan buruk ini merupakan yang paling ringan dari alternatif yang ketiga. Cara onani ini apabila dilakukan berlebih-lebihan akan mengganggu keseimbangan jiwa, timbul perasaan sedih, tubuh lemah, mudah sakit, kelihatan tua sebelum waktunya, murung, muka pucat, menyendiri, menjauhkan diri dari pergaulan masyarakat, malu bertemu orang, takut risiko hidup, menghindari setiap tanggungjawab. Sesungguhnya dia telah mati sebelum mati.



Ketiga : Menimba dari sumur dosa dan merasakan kelazatan dari yang haram, meniti jalan sesat, menjadi pelanggan rumah-rumah pelacuran, merosakkan kesihatan, meruntuhkan kepemudaannya dan agamanya, merobek-robek baju agamanya sekadar untuk ditukar dengan kenikmatan yang sebentar sahaja dirasakan. Apabila anda terus hidup dalam dunia penzinaan, sehingga menyebabkan anda diberhentikan sekolah atau anda kehilangan pekerjaan dan jawatan, kehilangan ilmu pengetahuan yang anda cita-citakan, maka ini bererti anda tidak lagi mempunyai daya kemampuan, kekuatan dan keghairahan untuk bekerja secara bebas.



Demikianlah yang dikatakan oleh Syeikh Ali Thantawi dalam tulisannya yang bertajuk nasihat dan bimbingan buat putera-puteriku.



Mari kita renung sebentar, apakah kesukaran yang bakal kita tempuhi daripada keinginan kita untuk melaksanakan tuntutan agama, iaitu nikah, adalah lebih tinggi ataupun menjaga diri dari melakukan maksiat itu lebih tinggi kesukarannya?



Umar al-Khattab pernah berkata, “aku tidak melihat pada seorang pemuda yang masih membujang kecuali mereka ini adalah dari dua golongan, pertama mereka adalah seorang ahli maksiat, dan kedua mereka bukan lelaki sejati.” Apa lagi alasan yang tinggal bagi mereka yang tidak melaksanakan pernikahan?



Apakah seorang yang mengambil jalan maksiat akan puas dan berhenti dari melakukan perbuatan keji tersebut? Tidak, tidak sama sekali, bahkan mereka akan ketagih. Mereka akan menjadikan memuaskan nafsu sebagai matlamat utama di dalam kehidupan mereka.



Seorang yang mengambil dadah biasanya bermula dari kebiasaannya menghisap rokok. Lama-kelamaan kesan rokok yang dihisapnya akan kurang terasa. Mereka mula memberanikan diri menghisap dadah. Sedikit demi sedikit kesan dadah yang mereka ambil akan berkurangan. Mereka akan sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih besar. Mereka akan menukar jenis dadah yang diambilnya. Sehinggalah perbuatan tersebut menjatuhkan mereka ke lembah yang paling hina.



Pencegahan paling baik yang dapat diambil oleh seorang itu dari melakukan maksiat adalah sebelum dia terjerumus ke lembah maksiat itu sendiri. Seandainya mereka telah terbiasa maka untuk mengeluarkan diri dari lembah maksiat itu semakin sukar. Mereka lebih cenderung untuk menikmati sesuatu yang lebih lazat lagi. Mereka akan memberi alasan kepada diri, “Alah kau memang dah jadi jahat, alang-alang jadi jahat baik kau rasai segala kelazatan menjadi orang jahat. Kalau kau tak buat pun semua orang dah pandang kau jahat. Buat apa kau tahan-tahan lagi.” Maka bagi mereka hampir-hampir tiada jalan untuk keluar lagi dari kemaksiatan tersebut.



“Ada tiga golongan yang Allah wajib menolongnya. Pertama, budak mukatab yang ingin melunasi dirinya agar mendapat kemerdekaan. Kedua, orang nikah untuk menjaga kesucian dirinya dari maksiat, Ketiga orang yang berjihad di jalan Allah.”2

1 Ad-Da’ wa ad-Dawa’ – Ibnu Qayyim al-Jauzi

2Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasai, dan Ibnu Majah

No comments:

Post a Comment