Kurangnya persediaan untuk bernikah bukanlah penghalang untuk bertindak berusaha
menuju ke arah gerbang pernikahan. Seperti yang saya sebutkan di awal bab ini,
seandainya kita menanti persediaan yang sempurna sebelum melaksanakan pernikahan
maka, kita tak akan menikah selama-lamanya. Perlunya segala persiapan yang saya
sebutkan sebentar tadi adalah sebagai pelengkap dalam sebuah pernikahan.
Seharusnya kita kembali kepada kayu ukur yang telah di tetapkan oleh Rasulullah
SAW dalam menghitung kemampuan.
Nabi Muhammad SAW
pernah bersabda, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah
mempunyai keupayaan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya
perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka
sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat
mengawal iaitu benteng nafsu.”
Kemampuan untuk berkahwin itu disebut
ba'ah di dalam Bahasa Arab. Ulama' berselisih pendapat mengenai ba'ah ini akan
tetapi mereka menyepakati suatu hal, makna ba'ah yang utama adalah kemampuan
seksualnya. Mengenai pendapat tambahan pula, Imam Asy-Syaukani berpendapat mahar
dan nafkah, sedang sebahagian ulama' lain menyatakan penyediaan tempat tinggal.
Tetapi yang ditekankan oleh ulama' adalah maknanya yang utama iaitu kemampuan
seksual.
Jadi seandainya anda mempunyai kemampuan untuk melakukan
hubungan suami isteri, mampu memberi nafkah dan membayar mahar, mampu
menyediakan tempat tinggal bagi isteri maka tiada seorang ulama' pun yang
berselisih pendapat mengatakan anda sudah mampu mendirikan rumah tangga.
Seandainya anda belum mampu dari segi ekonomi sekalipun, ada janji Allah yang
Allah akan membantumu dalam urusan itu.
“Jika mereka miskin Allah akan
memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha
Mengetahui.” (an-Nisa':32)
Persediaan harus terus dilakukan sebaik
mungkin, itulah yang akan menghiasi rumah tangga anda. Sekadar mana yang perlu
disiapkan tergantung pada kemampuan dan keadaan diri anda sendiri. Semakin
banyak yang anda usahakan semakin banyak hasilnya yang anda akan
kutip.
Dan barangsiapa yang berjihad (buat segala sesuatu secara
bersungguh-sungguh), maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya
sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu)
dari semesta alam.” (al-Ankabut:6)
Maka aku (Nabi Nuh) mengatakan kepada
mereka: "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.
Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, memperbanyakkan harta
dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di
dalamnya) untukmu sungai-sungai. (Nuh:10-12)
1. Hadith riwayat Bukhari
dan Muslim
No comments:
Post a Comment