Tuesday 24 January 2012

meniti di jalan dakwah


Assalammualaikum....salam ukhwah...

Jalan dakwah ini benar-benar berbeza.

Aku teliti jalan ini, sejak ia mula dilalui oleh golongan-golongan terdahulu, sehinggalah jalan yang sama dilalui kita hari ini, aku melihat terlalu banyak perubahan yang besar, pengorbanan yang benar dan kesakitan yang sukar.

Di jalan inilah aku melihat, orang-orang sakit masih bangun menggagahi langkahnya ke medan dakwah dan tarbiyyah, masih boleh berkata-kata untuk mengisi jiwa-jiwa pemuda, masih boleh mengembara menyampaikan kebenaran.

Di jalan inilah aku melihat, orang-orang muda melepaskan keinginan dirinya semata-mata kerana agamanya, sekalipun tiada halangan untuk dia memilih kehendak diri, orang-orang muda yang berhempas pulas tenaganya, masanya, wangnya, seluruhnya dicurah ke jalan dakwah, orang-orang muda yang kurang sekali hiburannya padahal tiada halangan andai dia mahu memilihnya.

Di jalan inilah aku melihat, orang-orang tua yang masih kuat dan bertenaga, terus maju melangkah gagah, sekalipun jasad sudah tidak terlalu mengizinkan, tetap dia terus bekerja, demi melihat generasinya kembali ke jalan Allah, orang-orang tua yang tiada henti mendidik, tidak terhalang dia oleh apa-apa, siang malam, harta dan keluarga, semuanya diserahkan kepada Allah.

Di jalan inilah aku melihat, wanita-wanita yang bangun merubah dunia, wanita-wanita yang berdikari dan sedia berani, sekalipun tiada siapa menemani, tetap dia terus melangkah ke segenap penjuru alam, demi menyemai benih-benih Islam, sekalipun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta, terpaksa berseorangan menongkah hidupnya, tetap bangkit bersemangat waja.

Di jalan inilah aku melihat, lelaki-lelaki segagah singa di siang harinya tetapi lemah lututnya di hadapan Allah, bagai rahib di malam harinya. Aku melihat lelaki-lelaki yang menitiskan air mata, kerana menangisi umat yang lemah, menangisi dosa dan kelemahan diri, menahan dugaan yang kian mendatangi. Aku melihat lelaki-lelaki yang benar-benar menguasai diri, menahan keinginan yang sebelum ini benar-benar menguasai hati, membersihkan jiwa yang sudah sedia suci.

Aku kagum.
Benar-benar kagum...


Inilah jalan tarbiyyah.

Jalan yang menyaksikan benar-benar banyak perubahan. Jalan yang menyaksikan seribu satu kesukaran, jalan panjang yang tidak akan berkesudahan sehinggalah diseru ke hari pembalasan.

Inilah jalan tarbiyyah,

yang menemukan aku dengan seribu satu manusia, yang kental hatinya, cekal jiwanya, tidak pernah gentar kepada sesiapa pun, hanya nama Allah yang menggetarkan jiwanya.

Inilah jalan tarbiyyah,

yang mempertemu kita sesama Islam, yang mempersaudarakan kita yang sebelum ini tiada pernah bertegur sapa, yang mengikat hati-hati yang sebelum ini tidak pernah mengenali.

Inilah jalan tarbiyyah...
Inilah jalanku...Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tancapkanlah hati kami di atas jalan ini.




"Ya Allah,sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati (orang yang dibayangkan) ini,telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadap-Mu,bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu.Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk menolong meninggikan syariat-Mu.Oleh itu,Ya Allah,Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan mawaddah antara kami.Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan yang sebenat serta penuhkanlah piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap.Lapangkanlah hati sanubari ini dengan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu.Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu.(Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu.Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.Ya Allah,perkenankanlah doa kami."
 
<yusuf hanapi>

No comments:

Post a Comment