Dan mereka tidak diperintah, kecuali hanya untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan di dalam menjalankan ajaran agama”. (QS Al-Bayyinah : 5)
Keikhlasan adalah inti dan ruh ibadah.
Ibnu Hazm berkata, niat adalah rahsia
peribadatan. Kedudukan niat terhadap amal adalah sama
dengan kedudukan ruh terhadap jasad. Mustahil apabila suatu ibadah itu hanya berupa amalan yang tidak ada
ruhnya sama sekali, seperti jasad yang tidak bernyawa.
Ikhlas adalah asas samada diterima atau ditolaknya sesuatu amalan dan
ia merupakan kunci samada :
1. Untuk menuju
kemenangan atau kerugian yang abadi.
2. Untuk merintis jalan
menuju syurga atau neraka.
Apabila keikhlasannya itu cacat maka ia akan
membawa pelakunya menuju neraka, tetapi apabila keikhlasan
mampu direalisasikan, maka ia akan
membawa pelakunya menuju syurga.
‘Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan
Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan
janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”.
(QS Al-Kahfi : 110)
MAKNA IKHLAS
Ikhlas berasal dari perkataan ‘khalasha’, yang memberi erti
kejernihan dan hilangnya segala sesuatu yang mengotorinya.
Oleh yang demikian, perkataan ikhlas menunjukkan kepada sesuatu yang
jernih, bersih dan bebas dari campuran dan kotoran.
Di antara makna ikhlas lagi menurut ulama’ adalah :
“Amal yang dilakukan hanya
kerana Allah, tidak untuk selain Allah”
“Keikhlasan itu adalah berusaha melindungi amal yang
dilakukan dari pengetahuan makhluk termasuk dari pengetahuan dirimu
sendiri….”
Fudhail bin Iyadh berkata :
“Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riya’,
beramal kerana manusia itu syirik. Ikhlas itu adalah engkau beramal dan engkau
dilindungi Allah dari kedua keadaan tadi.”
Ya’qub Al Makhfuuf berkata :
“Orang yang ikhlas adalah yang menyembunyikan
kebaikannya sebagaimana ia menyembunyikan keburukannya.”
Ibnu Taimiyah mengatakan :
“Orang yang Ikhlas (mukhlis) adalah orang
yang tidak peduli bila ia tidak dianggap baik di hati manusia demi
kebaikan hatinya dengan Allah dan dia tidak
ingin menampakkan amalnya meskipun hanya sebiji sawi kepada orang
lain.”
Manakala Ibnul Qayyim pula berkata dalam kitab Madarij As
Saalikin” :
“Barangsiapa yang bersaksi atas keikhlasan dirinya,
maka keikhlasannya itu memerlukan keikhlasan. Kayu ukur kekurangan orang yang ikhlas dalam
keikhlasannya ialah sejauh mana ia merasakan dirinya ikhlas, bererti dialah
seorang ikhlas dan benar-benar ikhlas.”
Ibnu Taimiyah menceritakan bahwa Abu
Hamid Al Ghazali pernah mendengar kata-kata hikmah yang menyebutkan bahwa
barangsiapa yang berbuat ikhlas semata-mata kerana Allah selama 40 hari maka
akan memancar hikmah dalam hati orang tersebut melalui ucapannya.
Abu Hamid Al Ghazali mengatakan :
“Maka aku berbuat ikhlas selama empat puluh hari, tapi
ternyata tidak memancar apa-apa dariku lalu aku sampaikan perkara ini kepada
sebahagian ahli ilmu, di antara mereka mengatakan :
“Sesungguhnya engkau ikhlas hanya untuk mendapatkan
hikmah dan bukan kerana Allah semata-mata…”
IKHLAS MODAL TERBESAR
Modal terbesar kita adalah keikhlasan. Itulah inti kekuatan
kita dalam berjalan , beramal dan berjuang.
Sungguh, keikhlasan menjadi suatu kata-kata yang kerap kita
dengar tapi jarang kita mendapati wujudnya dalam kehidupan kita. Memang ia
adalah suatu sifat yang paling sukar diwujudkan.
Junaid Al Baghdadi mengatakan :
“Keikhlasan itu adalah rahsia antara Allah dan seorang
hamba. Tidak diketahui oleh malaikat sehingga tidak dapat ditulis, tidak
diketahui oleh syaitan sehingga tidak boleh dirosakkan oleh syaitan. Juga ia
tidak boleh dikenali oleh hawa nafsu sehingga tidak boleh diselewengkan oleh
hawa nafsu.”
Ertinya, keikhlasan tidak boleh :
a. Dibuat-buat.
b. Direka-reka.
c. Dikendalikan.
d. Dirasa-rasakan.
Ia akan muncul begitu sahaja dalam diri kita lalu mengalir ke
dalam darah dan menguasai jiwa. Oleh yang demikian, mengendalikan jiwa itu
menjadi suatu pekerjaan yang sangat sukar bagi para Salafus Soleh.
Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al
Ghazali mengutip ungkapan Sahl bin Abdullah At Tusturi ketika ditanya
:
“Apakah yang paling berat dilakukan oleh jiwa?”
Ia mengatakan :
“Keikhlasan, kerana jiwa tidak mempunyai bahagian untuk
mengendalikannya.”
BERATNYA MERAIH KESEMPURNAAN
IKHLAS
Para salaf mengakui bahwa merealisasikan ikhlas
dan memperbaiki niat adalah perkara yang sangat sulit.
Ini disebabkan hati kita
memiliki sifat suka berubah dan berbolak-balik sehingga boleh jadi seseorang pada mulanya berniat ikhlas, namun di tengah jalan
niatnya ternoda atau bahkan berubah. Demikian pula sebaliknya, ada yang mulanya salah dalam niat, namun akhirnya sedar akan kekeliruannya lalu memperbaiki niat tersebut.
Maka mengetahui berbagai persoalan yang berkaitan
dengan keikhlasan amat perlu bagi kita sebagai salah satu usaha menjaga hati agar sentiasa lurus
menuju kepada Allah dan tidak goyah
oleh segala gangguan dan godaan yang terdiri dari :
a. Was-was dari syaitan.
b. Segala
kecenderungan buruk oleh hawa nafsu.
Keikhlasan yang
sempurna amatlah sukar digambarkan kecuali oleh
orang yang telah menyerahkan cintanya secara utuh kepada Allah dan mengutamakan
akhirat.
Apalagi mengingatkan bahwa
manusia memiliki sifat banyak lupa dan mempunyai kecenderungan yang besar
terhadap kehidupan duniawi dan bahkan banyak pula yang
terpedaya olehnya.
Biasanya keikhlasan akan sukar untuk menembusi hati orang yang telah terpesona
dan terpengaruh dengan kehidupan dunia kecuali atas taufik
dari Allah.
Tidak perlu pergi lebih jauh, cuba kita tengok dalam hati kita masing-masing dalam perkara yang paling ringan sahajapun seperti makan atau tidur misalnya,
apakah kita melakukan itu biasanya kerana memang kita menginginkannya?
Jarang sekali terdetik di dalam fikiran kita
ketika melakukan itu agar badan kita kuat dan sihat
sehingga dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan baik. Demikian pula dalam
melakukan berbagai amal yang lain, kita sering merasakan adanya berbagai bisikan
dan gangguan yang cuba menggigit kemurnian niat ikhlas kita
kepada Allah swt.
Maka adalah selayaknya
kita masing-masing :
1. Bersikap
waspada.
2. Membenteng
diri kita.
3. Memusatkan niat dan
tujuan pada keikhlasan yang sempurna.
4. Jangan hiraukan
was-was syaitan kerana was-was dan bisikan syaitan
akan menghancurkan dan melemahkan kita.
Ketika amal-amal soleh yang
kita kerjakan terkena pencemaran, maka janganlah merasa
lemah, kerana kotoran-kotoran tersebut boleh dihilangkan sehingga amal tersebut menjadi benar-benar jernih dan tidak
hilang pahalanya.
APABILA KEIKHLASAN TELAH DINODAI
Bagaimana seseorang bersikap apabila keikhlasan
suatu amal yang dia kerjakan telah dinodai? Ini
adalah kerana tidak jarang orang yang
menghadapi masalah ini lantas surut dari berbuat kebaikan kerana khuatir akan terkena riya’.
Abu Thalib al-Makki berkata :
“Seseorang tidak boleh meninggalkan amal
soleh kerana
takut terkena penyakit pada amal kerana memang itulah yang
dikehendaki oleh musuhnya iaitu syaitan. Namun dia mesti kembali
kepada niatnya semula, niat yang benar. Jika amal tersebut diresapi oleh penyakit, maka hendaklah ia segera mencari
ubatnya, berusaha menghilangkannya dan tetap pada niat yang
benar dan tujuan yang baik.
Tidak boleh meninggalkan suatu amalan
kerana manusia atau kerana malu
terhadap mereka. Ini adalah kerana :
a. Beramal
kerana manusia adalah syirik.
b. Meninggalkannya
kerana mereka adalah riya’.
c. Meninggalkan amal kerana khuatir akan masuknya penyakit (riya’) di dalam
hati adalah kebodohan.
d. Meninggalkannya
ketika amal tersebut sedang dilakukan (kerana keikhlasannya
terganggu) adalah suatu kelemahan.
Siapa sahaja yang beramal
kerana Allah dan meninggalkannya juga kerana Allah, maka tidak ada masalah baginya selagi masih berada dalam
wilayah ini, tentunya setelah ia dapat membuang jauh-jauh segala niat buruk. ”
BOLEHKAH NIAT YANG ROSAK DIPERBAIKI?
Sebahagian orang ada yang
menyangka bahwa apabila amal kebaikan dimulai dengan niat yang salah, maka amal
tersebut mesti ditinggalkan. Ini adalah anggapan yang
salah. Niat itu boleh diperbaiki dan
dibangunkan di atas amal perbuatan tersebut, tanpa
perlu meninggalkannya.
Sebahagian salaf ada yang
pernah mencari ilmu tanpa niat yang sempurna dan benar, kemudian mereka
menyedari dan akhirnya kembali kepada Allah serta
memperbaiki niat mereka, memulai niat menuntut ilmu dengan niat yang benar.
Imam Az-Zahabi mengatakan :
“Para salaf mencari ilmu
kerana Allah sehingga mereka menjadi mulia dan menjadi imam
yang diteladani.” Ada juga di antara mereka yang mulanya mencari ilmu bukan
kerana Allah, namun setelah mereka
mendapatkan ilmu, mereka introspeksi diri, maka ilmu mereka
telah menghantarkan mereka kepada keikhlasan di tengah
jalan.”
Mujahid berkata :
“Kami mencari ilmu, dan pada mulanya kami
tidak memiliki niat yang benar, kemudian Allah mengurniakan
niat kepada kami.”
APAKAH NODA MENGHAPUSKAN PAHALA
KESELURUHANNYA?
Seseorang yang telah berusaha beramal dengan
ikhlas, namun ternyata masih ada noda yang mengotorinya seperti kealpaan atau
syahwat, maka pahala amalnya tidak hilang secara keseluruhannya. Ini merupakan keutamaan dari Allah untuk hamba-hambaNya sehingga kaum
muslimin tidak terjatuh ke dalam keputusasaan dan kesempitan hidup.
Kotoran-kotoran yang semacam ini sangat
sukar dihilangkan kecuali sebahagian
kecil sahaja. Namun demikian ia bukanlah bererti bahwa noda
tersebut tidak berpengaruh terhadap amal bahkan ia tetap
membuat pahala suatu amal namun ianya menjadi berkurang
kesempurnaannya, tapi tidak sampai kepada tahap menghapuskannya sama sekali.
Oleh kerana itu seorang
hamba setelah berusaha semaksima mungkin, hendaklah
sentiasa khuatir antara ditolak dan diterima amal
perbuatannya, takut kalau amal ibadahnya terdapat penyakit yang bahayanya lebih
besar daripada pahalanya. Oleh kerana itu, jangan sampai ada ujub dan bangga dengan amalnya bahkan yang
perlu dilakukan adalah terus meningkatkan kualitinya.
MEMPERLIHATKAN AMAL
KEBAIKAN
Memang, pada dasarnya amal kebaikan mestilah disembunyikan dan tidak perlu di
pertunjukkan kepada orang lain kecuali yang memang
perlu dinampakkan seperti
solat berjamaah dan haji.
Namun dalam keadaan tertentu, memperlihatkan amal soleh
adalah dibenarkan asalkan memenuhi dua syarat iaitu:
PERTAMA : Bebas dari riya’ (bukan untuk mempamirkan)
KEDUA : Terdapat faedah deeniyah dari menampakkannya
seperti :
a. Untuk memberikan
contoh kebaikan.
b. Menguatkan orang
yang lemah.
c. Menenangkan
orang yang tertindas.
d. Memberikan
khabar gembira.
Ini sepertimana yang pernah
dikatakan oleh Abu Sufyan
bin Harits, salah seorang bapa saudara Nabi menjelang
wafatnya :
“Janganlah kamu
menangisi aku, kerana sejak masuk Islam aku tidak pernah
melakukan dosa.”
IKHLAS DI JALAN DAKWAH
Jika kita berada di jalan dakwah, maka keikhlasan itu memiliki
definasinya yang tersendiri sepertimana yang disampaikan oleh Imam Hasan Al
Banna :
“Ikhlas adalah bila seorang pejuang Muslim yang
mengorientasikan perkataannya, amalnya dan jihadnya semuanya untuk Allah swt dan
mengharapkan ridhanya dan kebaikan pahalanya tanpa melihat kepada :
1. Perolehan harta.
2. Manfaat.
3. Penampilan.
4. Kedudukan.
5. Kemasyhuran.
6. Kemajuan.
7. Kemunduran.
Agar, ia menjadi seorang yang ikhlas, menjadi bala
tentera fikrah (ideologi) dan aqidah (keyakinan), bukan bala tentera keinginan
atau manfaat.”
MELANGKAH TERUS
Berjalan dan melangkahlah terus dan jangan berhenti.
Mungkin sahaja ada kebahagiaan dan kenikmatan yang dapat
menyenangkan kita di sini, namun itu tidak boleh menyimpangkan niat dan tujuan
kita di sini bahkan kita disuruh meluruskannya hanya :
- Untuk Allah swt.
- Untuk ridhaNya.
- Untuk dakwahNya.
Ketika kita melangkah, berlari , diam dan berbahagia di jalan
ini, maka semuanya itu adalah untuk dan kerana Allah swt.
Lalu :
- Jika ada aral dan batu di jalan ini yang mengganggu langkah.
- Jika ada cuaca dan suasana jalan ini terasa menekan hati untuk berhenti.
- Jika ada peristiwa yang boleh melelehkan airmata dalam hati, kedukaan atau luka di jalan ini.
Tetaplah berjalan dan jangan berhenti.
Kita akan terus berjalan di sini agar, hanya Allah yang tahu
semua kepahitan dan luka itu adalah sebahagian dari persembahan, pengabdian,
pengorbanan untukNya dan di jalanNya.
Hanya dengan itulah, kesulitan dan kepahitan akan menjadi
nikmat dan kebahagiaan kerana kita di sini adalah keranaNya dan untukNya bukan
untuk siapa-siapa.
Semoga kita ikhlas menerima dan menjalani semuanya.
Ya Allah tetapkanlah keikhlasan di dalam hati kami walaupun
ianya digoncang oleh badai was-was syaitan dan keinginan hawa nafsu kerana kami
tidak tahu amal manakah yang benar-benar diterima olehMu di akhirat nanti.
Kuatkanlah jiwa kami supaya kami tidak terpedaya dengan perasaan bahwa kami
lebih banyak beramal berbanding saudara-saudara kami yang lain. Sesungguhnya
Engkau hanya menerima amal yang ikhlas tanpa dikotori dan dicemari oleh perasaan
‘ujub dan riya’.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
<yusuf hanapi>
No comments:
Post a Comment