Thursday 26 January 2012

Merentasi Sempadan Jama'ah-jama'ah Islam

Di antara bukti berlaku perpecahan di kalangan umat Islam pada hari ini adalah munculnya pelbagai bentuk jama’ah-jama’ah atas nama Islam. Kemudian diikuti pula sikap taksub dari kalangan ahli dan pendukung jama’ah terhadap jama’ah-jama’ah tersebut.

Lebih menguatkan lagi perkara ini adalah apabila setiap jama’ah saling bertelagah, saling menyerang, dan saling membelasah di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah yang lain.



Kepelbagaian Ideologi Pemikiran

Ketika ini, kita amat sering digemparkan dengan pelbagai isu semasa yang sangat menyentuh sensitiviti dalam beragama. Pelbagai manhaj dan ideologi pemikiran melanda masyarakat ketika ini. Kita tidak pernah sunyi dari isu ajaran syi’ah, mazhab demonstrasi, ideologi kepembangkangan, isu-isu demokrasi, dan yang terbaru isu ideologi seks bebas atas kerangka ideologi mazhab hak asasi manusia. Selain itu, kita juga tidak kering dengan isu-isu murtad dan ajaran sesat.

Sebenarnya fenomena seperti ini bukanlah suatu yang baru. Kalau kira-kira seribu tahun lalu kita dapat lihat dari bacaan sejarah akan kewujudan mazhab-mazhab aqidah yang sesat seperti Khawarij, Rafidhah, Qadariyah, Jahmiyah, Murji’ah, dan Jabariyah. Kemudian dari kelompok-kelompok ini berkembang pula kelompok-kelompok yang lainnya seperti Muktazilah, sufi, tasawuf, al-Asya’irah serta yang seumpamanya. Demikian juga pada hari ini sebenarnya tidak jauh beza keadaan yang melanda. Ideologi pemikiran yang dibawa tetap sama, tapi mungkin label dan penamaan sahaja yang berubah.

Di antara punca lahirnya mazhab-mazhab sesat seperti ini adalah kerana mengabaikan manhaj yang benar dalam menghadam dalil-dalil al-Qur’an dan as-Sunnah. Di samping kejahilan dan sikap hawa nafsu, kelompok-kelompok ini turut mengasaskan kerangka mazhab-mazhab mereka dengan akal, mantiq, dan falsafah. Kemudian dengan kerangka mazhab inilah setiap jama’ah dan kelompok tadi menyeru manusia kepadanya.



Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:


مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ


“Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berpecah-belah mengikut puak. Setiap puak berbangga dengan apa yang ada pada puak masing-masing.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)



Isyarat Perpecahan

Sebenarnya fenomena perpecahan di kalangan umat Islam ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sejak lebih 1400 tahun dahulu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:



وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة، وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة، كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة، قَالُوا: مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.”



Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Sebagaimana yang penulis sebutkan berkaitan kewujudan firqah-firqah sesat tadi, pada hari ini kita mungkin melihat nisbat kelompok-kelompok pengaku jama’ah-jama’ah Islam seperti Tabligh, Qur’aniyuun, Hizbut Tahrir, Ikhwanul Muslimin, Wahhabi, al-Ahbash, Ahlul Bait, dan seumpamanya. Setiap mereka masing-masing mendabik dada bahawa merekalah yang paling benar di samping saling menghentam di antara satu dengan yang lainnya.

Perbezaan ketara dalam setiap mazhab aqidah dan pemikiran yang dipegang menjadikan setiap kelompok ini gagal disatukan walaupun setiap mereka sama-sama umat Islam.

Di antara mereka ada yang berhujah dengan dalil kasyaf dan mimpi, ada yang menolak hadis ahad, ada yang menjadikan pembangkangan terhadap pemerintah sebagai ibadah, ada yang menyeru kepada slogan “Islam moderate”, ada yang menyeru kepada mazhab arus perdana, dan ada pula yang menyesatkan dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah selaku pembawa agama yang terpercaya. Sebenarnya ini semua bermula dari sikap mendahulukan hawa nafsu dan akal berbanding nash-nash syari’at.

Jama'ah Yang Benar

Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan berlakunya perpecahan besar di kalangan umat Islam, beliau juga telah mengkhabarkan tentang jama’ah yang selamat dari sekian banyak golongan yang wujud dalam kalangan umat Islam. Sebagai umat Islam yang memiliki fitrah yang murni, sudah tentu kita akan berusaha untuk menyertai golongan yang selamat tersebut. Dan bukan sebaliknya dengan mencari-cari dalil dan membuat akal untuk memenangkan kelompok masing-masing walaupun telah jelas kesesatan dan ketergelincirannya dari agama.



Dari hadis di atas, ketika para sahabat bertanya:



مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي


“Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)



Dalam riwayat yang lain:



وَسَبْعِينَ ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ


“... 72 di neraka, dan yang 1 di dalam jannah, dan mereka itu adalah al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 12/196, no. 3981. Dinilai sahih oleh al-Albani)



Dalam riwayat yang lain:



تختلف هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة، اثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة. قلنا: انعتهم لنا قال: السواد الأعظم


“Akan berpecah umatku ini menjadi 73 firqah, 72 golongan di neraka dan hanya 1 di jannah. Satu golongan itu adalah as-Sawaadul A’zham.” (Hadis Riwayat al-Lalika’i, Syarah Ushul I’tiqad, 1/155, no. 131. ath-Thabrani, 8/273, no. 8051. Kata al-Haitsami, “Para perawinya tsiqah”)

Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan oleh hadis ini sebagai al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham? Maka riwayat pertama dan riwayat-riwayat yang lainnya sebenarnya saling menjelaskan. Al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham adalah sesiapa sahaja yang berjalan di atas jalan agama Rasulullah bersama-sama para sahabatnya.

Beruntunglah jama’ah Islam yang berjalan di atas jalannya Rasulullah bersama-sama para sahabatnya. Biarpun mereka itu sedikit jumlahnya dengan kadar 1 nisbah 72. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:



بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ


“Islam itu bermula asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Hadis Riwayat Muslim, 1/350, no. 208)



Dalam riwayat yang lain:



فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ


“Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing, iaitu orang-orang yang melakukan islah (pembaikan) di ketika manusia berkeadaan rosak.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/219, no. 2554. At-Tirmidzi mensahihkannya)



Dalam riwayat yang lain:



إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ "، قِيلَ: وَمَنِ الْغُرَبَاءُ ؟ قَالَ: " النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ


“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Para sahabat) bertanya:

“Siapakah al-Ghuroba’ (golongan yang asing) itu?” Rasulullah bersabda, “Orang-orang yang menjauhi sikap berpuak-puak.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Kata Syu’aib al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Muslim”)



Label atau Manhaj?

Berdasarkan dalil-dalil yang diutarakan, label bukanlah menjadi fokus, sebaliknya manhaj dan prinsip menjadi pegangan. Iaitu agar selari dengan jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya dalam beragama. Iaitu hanya tunduk dengan hujah dan kebenaran, bukan menegakkan taksub, fanatik, dan memperjuangkan ashabiyyah jama’ah masing-masing. Sebaliknya menempatkan diri di dalam kebenaran, mengamalkannya, dan mendakwahkannya.



Kata Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:



إنما الجماعة ما وافق طاعة الله وإن كنت وحدك


“Sesungguhnya al-Jama’ah itu adalah dengan mentaati Allah walaupun engkau berseorangan.” (Syarah Ushul I’tiqad, 1/163)



Dalam riwayat yang lain:



ان جمهور الناس فارقوا الجماعة وأن الجماعة ما وافق الحق وأن كنت وحدك


“Sesungguhnya kebanyakan manusia berpecah dari al-Jama’ah dan al-Jama’ah itu adalah apa yang bersesuaian dengan kebenaran walaupun engkau berseorangan.” (al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, 1/22)



Sebaliknya, ashabiyyah pula adalah (sebagaimana dalam sebuah hadis), Daripada Watsilah Bt. al-Asqa’, ayahnya berkata:



قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ


“Aku pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah dia ashabiyyah?” Rasulullah menjawab, “Engkau menolong kaummu dalam kezaliman (kebathilan).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 13/323, no. 4454. Dinilai hasan lighairihi oleh Syu’aib al-Arnauth)

Tapi sayangnya sikap ashabiyyah inilah yang meracuni jama’ah-jamah Islam hari ini. Setiap jama’ah saling mendabik dada mendakwa kebenaran bersama-sama mereka. Setiap mereka ego dengan kelompok sendiri sehingga tidak mungkin akan bersatu melainkan atas label atau nama jama’ah masing-masing.

Sikap dan karektor seperti ini jauh menyelisihi ciri-ciri golongan yang selamat yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Iaitu golongan yang bersatu di atas manhaj kebenaran. Suatu kerangka manhaj yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah sebagaimana kefahaman para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.

Bukan kefahaman yang dibina atas hawa nafsu dan mendahulukan akal atas nash-nash syari’at. Bukan juga bentuk-bentuk kesatuan yang dibina atas nama parti, nama jama’ah, atau nama-nama organisasi yang mencampur-adukkan pelbagai pemikiran dan manhaj sesat yang dinobatkan dengan nama agama dan kebenaran.

Sebab itulah dapat kita lihat hari ini begitu ramai tokoh-tokoh mengaku ulama bijak pandai yang berhujah dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, tetapi saling bertelagah di antara satu sama lain. Ini menjadi bukti wujudnya suatu jurang perbezaan manhaj yang besar dalam memahami Islam di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah Islam lainnya.
 
wallahu A'alam
<yusuf hanapi>


Tuesday 24 January 2012

penduduk bumi berbicara tentang kita




Amal-amal kita tidak hanya dicatat oleh para malaikat kerana cerita-cerita dan kesan-kesan yang kita tinggalkan di dunia setelah kita mati adalah seperti cermin nilai dari perilaku kita selama kita hidup di dunia.
  1. Alangkah indahnya, sebuah kematian yang mampu meninggalkan cerita-cerita baik pada keluarga kita.
  2. Alangkah bahagianya, sebuah kematian yang meninggalkan jejak hidup yang menjadi pelajaran kebaikan bagi mereka yang masih menjalani kehidupan.
  3. Alangkah gembiranya, bila kematian kita memberikan kesan dari amal-amal soleh yang bermanfaat untuk orang lain.

Di akhirat kelak, tidak ada sesuatu yang paling disesali oleh penghuni syurga kecuali penyesalan mereka terhadap waktu yang hilang di dunia tanpa diisi dengan amal soleh.

Oleh kerana itu, ketika ada seorang yang soleh ditanya :

"Kenapa engkau meletihkan jiwamu dalam beribadah?"

Ia menjawab :

"Aku ingin mengistirehatkan jiwaku."

Istirehat yang dimaksudkan adalah :

  1. Istirehat di dunia dengan jiwa yang tenang setelah beribadah.
  2. Istirehat di akhirat dengan memasuki kehidupan yang begitu mententeramkan dan menggembirakan.

Umur hidup ini, menurut Ibnul Jauzi rahimahullah tidak ada bezanya dengan tempat jual beli berbagai macam barangan.

  1. Ada barang yang bagus.
  2. Ada juga yang buruk.

Orang yang berakal pasti akan membeli barang yang bermutu meskipun harganya mahal kerana barang itu lebih mempunyai nilai dari barang yang buruk meskipun harganya murah.

"Orang yang tahu akan kemuliaan alam semesta mesti meraih sesuatu yang paling mulia yang ada di alam semesta ini dan sesuatu yang paling mahal nilainya di dunia ini adalah, mengenal Allah swt."

Demikian kata-kata lbnul Jauzi.

Seseorang yang mengenal Allah swt bererti ia mengetahui ke-Maha Besaran-Nya. Dalam masa yang sama ia juga mengetahui :

  1. Kekerdilan dirinya.
  2. Kelemahan dirinya.
  3. Kebergantungan dirinya.

dengan Yang Maha Berkuasa.


Pengenalan yang seperti inilah yang boleh memunculkan kekuatan dan keteguhan dalam mengharungi gelombang kehidupan.

Tidak takut, tidak lemah dan tidak bergantung kepada sesiapapun kecuali Allah dan selama mana ia berada di jalan Allah, ia tidak akan senang, gembira dan sukacita kecuali bersama Allah swt.

Lihatlah perkataan Masruq, seorang mufassir yang juga sahabat Said bin Jubair yang pernah berkata :

"Tidak ada lagi yang lebih menyenangkan diriku dari meletakkan wajahku di tanah (sujud). Aku tidak pernah bersedih kerana sesuatu melebihi kesedihanku kerana tidak dapat bersujud kepada Allah." (kitab Siyar A’lam An Nubala’ karangan Az Zahabi).

  1. Sujud adalah saat-saat seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya.
  2. Sujud merupakan tanda ketundukan dan kerendahan seorang hamba di hadapan Tuhannya.
  3. Sujud juga menandakan kepasrahan, ketaatan, kerinduan dan kecintaan seorang hamba pada Tuhannya.

Keadaan-keadaan seperti itulah yang sangat didambakan oleh Masruq hingga tidak ada lagi kesedihan baginya kecuali jika ia tidak mampu melakukan sujud di hadapan Allah swt.

Itulah gambaran keyakinan yang tertanam kuat dalam jiwa orang-orang soleh, para pejuang dakwah Islam.

Ketundukan, kedekatan dan keyakinannya kepada Allah menjadikan tekad mereka seperti besi waja dan keberanian yang tidak pernah kenal takut.

  1. Basahnya lidah mereka oleh zikir.
  2. Larutnya hati mereka dalam kecintaan kepada Allah.
  3. Tunduknya jiwa mereka pada keagungan Allah.

Semua itu memunculkan suatu keperibadian yang kuat dan teguh.

Setiap orang, dinilai tinggi rendahnya berdasarkan kekuatan, kualiti serta sifat istiqamahnya dalam beribadah kepada Allah swt.

Ianya bukan dinilai :

  1. Dari kekayaan material / harta yang dimilikinya.
  2. Oleh ibubapanya.
  3. Dari rupa paras, ketampanan dan keindahan fizikalnya.

Ini adalah kerana, semua itu hanya fatamorgana yang hanya dapat dinikmati se saat.

Peribadi yang kuat dan teguh sentiasa muncul dari habitat kehidupan yang penuh dengan tentangan dan halangan,

bukan

dari suasana kehidupan yang serba mudah, memanjakan dan melemahkan jiwa.


Mari kita lihat bagaimana penjelasan salah seorang anak dari Syaikh Ahmad Yasin rahimahullah, tokoh pejuang Palestin abad ini yang beberapa tahun lepas telah gugur oleh pesawat Israel.

"Ayah tidak mencintai dunia. Ia lebih mencintai rumah akhirat. Ramai orang yang menyarankan agar ayah mendiami rumah sebagaimana selayaknya seorang pemimpin.

Pemerintah Palestin juga pernah menawarkan sebuah rumah yang besar di perkampungan Gaza namun ayah menolak tawaran itu.

Ayahku lebih menginginkan akhirat sehingga ia tidak begitu memperhatikan perabot duniawi.

Ruangan rumahnya amat kecil yang hanya menempatkan tiga ruangan kecil. Tanpa siramik di lantai dan ruang dapur yang sudah rosak.

Bila musim sejuk tiba, keadaan rumah menjadi sangat sejuk. Sebaliknya bila musim panas datang, ruangan rumah terasa panas sekali.

Ayah tidak pernah berfikir untuk memperbaiki rumahnya. Sekali lagi, ia benar-benar sibuk mempersiapkan rumahnya di akhirat."

Itulah rahsia keteguhan Syaikh Ahmad Yasin.


RUMAH AKHIRAT.

Pernahkah terlintas di dalam hati kita tentang rumah itu?

Pernahkah kita merancang dan bermimpi untuk memiliki rumah yang indah di akhirat dan bukan di dunia?

Bagaimana kita membayangkan kesan akhir yang kita tinggalkan pada keluarga kita setelah kita berpisah dengan mereka di dunia?

  1. Apakah menjadi kebanggaan mereka apa yang kita tinggalkan atau sebaliknya?
  2. Apakah mereka juga akan berkata, kita lebih mencintai dan menginginkan rumah akhirat?

Syaikh Ahmad Yasin memberikan pelajaran besar bagi kita tentang keyakinannya kepada keputusan Allah swt.

Bahwa apa yang diputuskan oleh Allah tetap akan berlaku, walauapapun usaha yang kita lakukan.

Syaikh Ahmad Yasin juga memberi pendidikan secara langsung kepada sesiapapun, tentang batas apa yang mesti diberikan oleh seseorang yang menginginkan mati di jalan Allah swt.

Sekitar lima minit sebelum pesawat Israel ditembakkan ke arahnya yang sedang duduk di kerusi roda itu, seorang anaknya, Abdul Ghani sempat mengingatkannya untuk berhati-hati dengan mengatakan :

"Ayah, ada pesawat pembunuh di atas."

Apa jawaban Syaikh Ahmad Yasin ketika itu?

Dengan tenang ia menjawab :

"Ya, aku di sini juga sedang menanti pesawat pembunuh itu."

Sesungguhnya, tidak ada keraguan dan ketakutan sedikit pun di dalam hatinya.

Kita di sini, sedang :

  1. Menanti detik demi detik kematian yang pasti menjemput.
  2. Menunggu saat kita menarik nafas terakhir dan menghembuskannya lagi untuk yang terakhir.
  3. Melambai udara dingin yang merayap dari hujung jemari kaki hingga ke bahagian kepala.
  4. Menantikan saat mata tertutup dan tidak mampu terbuka lagi. Ketika badan terbujur dan tidak dapat bergerak lagi. Ketika kita masuk dalam keranda dan diangkat oleh anggota keluarga dan teman-teman kita.

Setelah itu semua,

Biarlah manusia berbicara tentang diri kita.

Ya Allah, kurniakanlah kesedaran yang hakiki ke dalam hati kami tentang rumah akhirat yang sepatutnya kami usahakan untuk mendapatkannya di dunia ini dan juga terhadap penantian yang pasti berlaku iaitu kematian yang akan menyentuh setiap yang bernyawa sehingga akhirnya habislah catatan kehidupan kami di dunia yang kemudiannya akan dinilai oleh manusia yang masih mendiami dunia ini.


Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

<yusuf hanapi>

memahami maqam ikhlas




Dan mereka tidak diperintah, kecuali hanya untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan di dalam menjalankan ajaran agama”. (QS Al-Bayyinah : 5)

Keikhlasan adalah inti dan ruh ibadah.


Ibnu Hazm berkata, niat adalah rahsia peribadatan. Kedudukan niat terhadap amal adalah sama dengan kedudukan ruh terhadap jasad. Mustahil apabila suatu ibadah itu hanya berupa amalan yang tidak ada ruhnya sama sekali, seperti jasad yang tidak bernyawa.


Ikhlas adalah asas samada diterima atau ditolaknya sesuatu amalan dan ia merupakan kunci samada :


1. Untuk menuju kemenangan atau kerugian yang abadi.

2. Untuk merintis jalan menuju syurga atau neraka.


Apabila keikhlasannya itu cacat maka ia akan membawa pelakunya menuju neraka, tetapi apabila keikhlasan mampu direalisasikan, maka ia akan membawa pelakunya menuju syurga.


Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”. (QS Al-Kahfi : 110)


MAKNA IKHLAS


Ikhlas berasal dari perkataan khalasha, yang memberi erti kejernihan dan hilangnya segala sesuatu yang mengotorinya.


Oleh yang demikian, perkataan ikhlas menunjukkan kepada sesuatu yang jernih, bersih dan bebas dari campuran dan kotoran.


Di antara makna ikhlas lagi menurut ulama’ adalah :


“Amal yang dilakukan hanya kerana Allah, tidak untuk selain Allah”


“Keikhlasan itu adalah berusaha melindungi amal yang dilakukan dari pengetahuan makhluk termasuk dari pengetahuan dirimu sendiri….”


Fudhail bin Iyadh berkata :


“Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riya’, beramal kerana manusia itu syirik. Ikhlas itu adalah engkau beramal dan engkau dilindungi Allah dari kedua keadaan tadi.”


Ya’qub Al Makhfuuf berkata :


“Orang yang ikhlas adalah yang menyembunyikan kebaikannya sebagaimana ia menyembunyikan keburukannya.”


Ibnu Taimiyah mengatakan :


Orang yang Ikhlas (mukhlis) adalah orang yang tidak peduli bila ia tidak dianggap baik di hati manusia demi kebaikan hatinya dengan Allah dan dia tidak ingin menampakkan amalnya meskipun hanya sebiji sawi kepada orang lain.”


Manakala Ibnul Qayyim pula berkata dalam kitab Madarij As Saalikin” :


“Barangsiapa yang bersaksi atas keikhlasan dirinya, maka keikhlasannya itu memerlukan keikhlasan. Kayu ukur kekurangan orang yang ikhlas dalam keikhlasannya ialah sejauh mana ia merasakan dirinya ikhlas, bererti dialah seorang ikhlas dan benar-benar ikhlas.”


Ibnu Taimiyah menceritakan bahwa Abu Hamid Al Ghazali pernah mendengar kata-kata hikmah yang menyebutkan bahwa barangsiapa yang berbuat ikhlas semata-mata kerana Allah selama 40 hari maka akan memancar hikmah dalam hati orang tersebut melalui ucapannya.


Abu Hamid Al Ghazali mengatakan :


“Maka aku berbuat ikhlas selama empat puluh hari, tapi ternyata tidak memancar apa-apa dariku lalu aku sampaikan perkara ini kepada sebahagian ahli ilmu, di antara mereka mengatakan :


“Sesungguhnya engkau ikhlas hanya untuk mendapatkan hikmah dan bukan kerana Allah semata-mata…”


IKHLAS MODAL TERBESAR


Modal terbesar kita adalah keikhlasan. Itulah inti kekuatan kita dalam berjalan , beramal dan berjuang.

Sungguh, keikhlasan menjadi suatu kata-kata yang kerap kita dengar tapi jarang kita mendapati wujudnya dalam kehidupan kita. Memang ia adalah suatu sifat yang paling sukar diwujudkan.


Junaid Al Baghdadi mengatakan :


“Keikhlasan itu adalah rahsia antara Allah dan seorang hamba. Tidak diketahui oleh malaikat sehingga tidak dapat ditulis, tidak diketahui oleh syaitan sehingga tidak boleh dirosakkan oleh syaitan. Juga ia tidak boleh dikenali oleh hawa nafsu sehingga tidak boleh diselewengkan oleh hawa nafsu.”


Ertinya, keikhlasan tidak boleh :


a. Dibuat-buat.

b. Direka-reka.

c. Dikendalikan.

d. Dirasa-rasakan.


Ia akan muncul begitu sahaja dalam diri kita lalu mengalir ke dalam darah dan menguasai jiwa. Oleh yang demikian, mengendalikan jiwa itu menjadi suatu pekerjaan yang sangat sukar bagi para Salafus Soleh.

Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al Ghazali mengutip ungkapan Sahl bin Abdullah At Tusturi ketika ditanya :


“Apakah yang paling berat dilakukan oleh jiwa?”


Ia mengatakan :


“Keikhlasan, kerana jiwa tidak mempunyai bahagian untuk mengendalikannya.”


BERATNYA MERAIH KESEMPURNAAN IKHLAS


Para salaf mengakui bahwa merealisasikan ikhlas dan memperbaiki niat adalah perkara yang sangat sulit.

Ini disebabkan hati kita memiliki sifat suka berubah dan berbolak-balik sehingga boleh jadi seseorang pada mulanya berniat ikhlas, namun di tengah jalan niatnya ternoda atau bahkan berubah. Demikian pula sebaliknya, ada yang mulanya salah dalam niat, namun akhirnya sedar akan kekeliruannya lalu memperbaiki niat tersebut.


Maka mengetahui berbagai persoalan yang berkaitan dengan keikhlasan amat perlu bagi kita sebagai salah satu usaha menjaga hati agar sentiasa lurus menuju kepada Allah dan tidak goyah oleh segala gangguan dan godaan yang terdiri dari :


a. Was-was dari syaitan.

b. Segala kecenderungan buruk oleh hawa nafsu.


Keikhlasan yang sempurna amatlah sukar digambarkan kecuali oleh orang yang telah menyerahkan cintanya secara utuh kepada Allah dan mengutamakan akhirat.


Apalagi mengingatkan bahwa manusia memiliki sifat banyak lupa dan mempunyai kecenderungan yang besar terhadap kehidupan duniawi dan bahkan banyak pula yang terpedaya olehnya.


Biasanya keikhlasan akan sukar untuk menembusi hati orang yang telah terpesona dan terpengaruh dengan kehidupan dunia kecuali atas taufik dari Allah.


Tidak perlu pergi lebih jauh, cuba kita tengok dalam hati kita masing-masing dalam perkara yang paling ringan sahajapun seperti makan atau tidur misalnya, apakah kita melakukan itu biasanya kerana memang kita menginginkannya?


Jarang sekali terdetik di dalam fikiran kita ketika melakukan itu agar badan kita kuat dan sihat sehingga dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan baik. Demikian pula dalam melakukan berbagai amal yang lain, kita sering merasakan adanya berbagai bisikan dan gangguan yang cuba menggigit kemurnian niat ikhlas kita kepada Allah swt.


Maka adalah selayaknya kita masing-masing :


1. Bersikap waspada.

2. Membenteng diri kita.

3. Memusatkan niat dan tujuan pada keikhlasan yang sempurna.

4. Jangan hiraukan was-was syaitan kerana was-was dan bisikan syaitan akan menghancurkan dan melemahkan kita.


Ketika amal-amal soleh yang kita kerjakan terkena pencemaran, maka janganlah merasa lemah, kerana kotoran-kotoran tersebut boleh dihilangkan sehingga amal tersebut menjadi benar-benar jernih dan tidak hilang pahalanya.


APABILA KEIKHLASAN TELAH DINODAI


Bagaimana seseorang bersikap apabila keikhlasan suatu amal yang dia kerjakan telah dinodai? Ini adalah kerana tidak jarang orang yang menghadapi masalah ini lantas surut dari berbuat kebaikan kerana khuatir akan terkena riya’.


Abu Thalib al-Makki berkata :


“Seseorang tidak boleh meninggalkan amal soleh kerana takut terkena penyakit pada amal kerana memang itulah yang dikehendaki oleh musuhnya iaitu syaitan. Namun dia mesti kembali kepada niatnya semula, niat yang benar. Jika amal tersebut diresapi oleh penyakit, maka hendaklah ia segera mencari ubatnya, berusaha menghilangkannya dan tetap pada niat yang benar dan tujuan yang baik.


Tidak boleh meninggalkan suatu amalan kerana manusia atau kerana malu terhadap mereka. Ini adalah kerana :


a. Beramal kerana manusia adalah syirik.

b. Meninggalkannya kerana mereka adalah riya’.

c. Meninggalkan amal kerana khuatir akan masuknya penyakit (riya’) di dalam hati adalah kebodohan.

d. Meninggalkannya ketika amal tersebut sedang dilakukan (kerana keikhlasannya terganggu) adalah suatu kelemahan.


Siapa sahaja yang beramal kerana Allah dan meninggalkannya juga kerana Allah, maka tidak ada masalah baginya selagi masih berada dalam wilayah ini, tentunya setelah ia dapat membuang jauh-jauh segala niat buruk. ”


BOLEHKAH NIAT YANG ROSAK DIPERBAIKI?


Sebahagian orang ada yang menyangka bahwa apabila amal kebaikan dimulai dengan niat yang salah, maka amal tersebut mesti ditinggalkan. Ini adalah anggapan yang salah. Niat itu boleh diperbaiki dan dibangunkan di atas amal perbuatan tersebut, tanpa perlu meninggalkannya.


Sebahagian salaf ada yang pernah mencari ilmu tanpa niat yang sempurna dan benar, kemudian mereka menyedari dan akhirnya kembali kepada Allah serta memperbaiki niat mereka, memulai niat menuntut ilmu dengan niat yang benar.


Imam Az-Zahabi mengatakan :


“Para salaf mencari ilmu kerana Allah sehingga mereka menjadi mulia dan menjadi imam yang diteladani.” Ada juga di antara mereka yang mulanya mencari ilmu bukan kerana Allah, namun setelah mereka mendapatkan ilmu, mereka introspeksi diri, maka ilmu mereka telah menghantarkan mereka kepada keikhlasan di tengah jalan.


Mujahid berkata :


“Kami mencari ilmu, dan pada mulanya kami tidak memiliki niat yang benar, kemudian Allah mengurniakan niat kepada kami.”


APAKAH NODA MENGHAPUSKAN PAHALA KESELURUHANNYA?


Seseorang yang telah berusaha beramal dengan ikhlas, namun ternyata masih ada noda yang mengotorinya seperti kealpaan atau syahwat, maka pahala amalnya tidak hilang secara keseluruhannya. Ini merupakan keutamaan dari Allah untuk hamba-hambaNya sehingga kaum muslimin tidak terjatuh ke dalam keputusasaan dan kesempitan hidup.


Kotoran-kotoran yang semacam ini sangat sukar dihilangkan kecuali sebahagian kecil sahaja. Namun demikian ia bukanlah bererti bahwa noda tersebut tidak berpengaruh terhadap amal bahkan ia tetap membuat pahala suatu amal namun ianya menjadi berkurang kesempurnaannya, tapi tidak sampai kepada tahap menghapuskannya sama sekali.


Oleh kerana itu seorang hamba setelah berusaha semaksima mungkin, hendaklah sentiasa khuatir antara ditolak dan diterima amal perbuatannya, takut kalau amal ibadahnya terdapat penyakit yang bahayanya lebih besar daripada pahalanya. Oleh kerana itu, jangan sampai ada ujub dan bangga dengan amalnya bahkan yang perlu dilakukan adalah terus meningkatkan kualitinya.


MEMPERLIHATKAN AMAL KEBAIKAN


Memang, pada dasarnya amal kebaikan mestilah disembunyikan dan tidak perlu di pertunjukkan kepada orang lain kecuali yang memang perlu dinampakkan seperti solat berjamaah dan haji.


Namun dalam keadaan tertentu, memperlihatkan amal soleh adalah dibenarkan asalkan memenuhi dua syarat iaitu:


PERTAMA : Bebas dari riya’ (bukan untuk mempamirkan)


KEDUA : Terdapat faedah deeniyah dari menampakkannya seperti :


a. Untuk memberikan contoh kebaikan.

b. Menguatkan orang yang lemah.

c. Menenangkan orang yang tertindas.

d. Memberikan khabar gembira.


Ini sepertimana yang pernah dikatakan oleh Abu Sufyan bin Harits, salah seorang bapa saudara Nabi menjelang wafatnya :


“Janganlah kamu menangisi aku, kerana sejak masuk Islam aku tidak pernah melakukan dosa.”


IKHLAS DI JALAN DAKWAH


Jika kita berada di jalan dakwah, maka keikhlasan itu memiliki definasinya yang tersendiri sepertimana yang disampaikan oleh Imam Hasan Al Banna :


“Ikhlas adalah bila seorang pejuang Muslim yang mengorientasikan perkataannya, amalnya dan jihadnya semuanya untuk Allah swt dan mengharapkan ridhanya dan kebaikan pahalanya tanpa melihat kepada :


1. Perolehan harta.

2. Manfaat.

3. Penampilan.

4. Kedudukan.

5. Kemasyhuran.

6. Kemajuan.

7. Kemunduran.


Agar, ia menjadi seorang yang ikhlas, menjadi bala tentera fikrah (ideologi) dan aqidah (keyakinan), bukan bala tentera keinginan atau manfaat.”


MELANGKAH TERUS


Berjalan dan melangkahlah terus dan jangan berhenti.

Mungkin sahaja ada kebahagiaan dan kenikmatan yang dapat menyenangkan kita di sini, namun itu tidak boleh menyimpangkan niat dan tujuan kita di sini bahkan kita disuruh meluruskannya hanya :

  1. Untuk Allah swt.
  2. Untuk ridhaNya.
  3. Untuk dakwahNya.

Ketika kita melangkah, berlari , diam dan berbahagia di jalan ini, maka semuanya itu adalah untuk dan kerana Allah swt.

Lalu :

  1. Jika ada aral dan batu di jalan ini yang mengganggu langkah.
  2. Jika ada cuaca dan suasana jalan ini terasa menekan hati untuk berhenti.
  3. Jika ada peristiwa yang boleh melelehkan airmata dalam hati, kedukaan atau luka di jalan ini.

Tetaplah berjalan dan jangan berhenti.

Kita akan terus berjalan di sini agar, hanya Allah yang tahu semua kepahitan dan luka itu adalah sebahagian dari persembahan, pengabdian, pengorbanan untukNya dan di jalanNya.

Hanya dengan itulah, kesulitan dan kepahitan akan menjadi nikmat dan kebahagiaan kerana kita di sini adalah keranaNya dan untukNya bukan untuk siapa-siapa.

Semoga kita ikhlas menerima dan menjalani semuanya.

Ya Allah tetapkanlah keikhlasan di dalam hati kami walaupun ianya digoncang oleh badai was-was syaitan dan keinginan hawa nafsu kerana kami tidak tahu amal manakah yang benar-benar diterima olehMu di akhirat nanti. Kuatkanlah jiwa kami supaya kami tidak terpedaya dengan perasaan bahwa kami lebih banyak beramal berbanding saudara-saudara kami yang lain. Sesungguhnya Engkau hanya menerima amal yang ikhlas tanpa dikotori dan dicemari oleh perasaan ‘ujub dan riya’.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS 

<yusuf hanapi>